MALAYSIAN GHOST RESEARCH IN EDUCATION

Terakhir Dikemaskini

15 February 2014 08:05:39 am



Misi

Misi utama Malaysian Ghost Research In Education adalah menyediakan satu pusat rujukan Geografi secara online dan percuma untuk semua peringkat dalam usaha memartabatkan Pendidikan Geografi sebagai satu mata pelajaran penting dalam pembangunan negara. Untuk menjayakan misi ini maka sudut pendidikan di dalam laman ini akan menyediakan pelbagai bahan pembelajaran dari semasa ke semasa.


Ruangan Pendidikan

Malaysian Ghost Research in Education adalah sebahagian daripada bahan pembelajaran dan juga bahan penyelidikan yang dijalankan melalui projek-projek kajian Geografi yang akan diadakan dari semasa ke semasa di samping bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan dengan pendidikan dalam pelbagai bidang termasuklah kesusasteraan, ICT dan Geografi.


Translation Service

Now you can read our website in your own language. Please choose your own language and the translation service do the rest for you.


Page View Counter

Page View :


Kesan kemusnahan lapisan ozon terhadap cuaca dan iklim dunia.

February 05th, 2012 by Augustine Towonsing

Pengenalan.

Sedar tak sedar memang ada insan yang tidak merasakan perubahan suhu yang berlaku tetapi berbeza dengan ahli sains yang terlibat dengan kajian berterusan terhadap perubahan suhu dunia dan menurut Akademi Sains Kebangsaan (NAS) suhu permukaan bumi telah meningkat sebanyak -17.2C yang berlaku sejak 2 dekad yang lalu. Ditambah pula terdapat bukti kuat mengenai pemanasan bumi sejak 50 tahun yang lalu akibat daripada aktiviti manusia yang telah menyebabkan perubahan unsur kimia yang terdapat dalam atmosfera melalui pembentukan gas rumah hijau yang terdiri daripada karbon dioksida, metana dan nitrus oksida.

Rajah 1 : Perubahan Suhu dunia (1880 – 2000)

Sumber : U.S National Climatic Data Center,2001

Berdasarkan Rajah 1 di atas, memang jelas kelihatan berlakunya perubahan suhu dunia yakni telah meningkat dan peningkatan ini mempunyai kesan terhadap cuaca dan iklim dunia secara am. Perubahan suhu ini berpunca daripada tenaga matahari yang mempengaruhi cuaca dan iklim dunia serta pemanasan permukaan bumi. Secara semula jadi, sebahagian daripada tenaga yang diterima oleh bumi akan dipantulkan semula ke angkasa oleh gas dan partikel yang terapung di ruang udara dan sebahagian daripada tenaga yang dipantulkan ke angkasa terperangkap oleh gas-gas rumah hijau yang menyebabkan berlaku peningkatan suhu.

Masalah yang timbul akibat daripada aktiviti ini menyebabkan perubahan suhu sedunia. Malahan kesan yang lebih teruk lagi ialah berlaku kemusnahan lapisan ozon yang menjadi pelindung permukaan bumi daripada sinaran ultra – ungu (UV).

Definisi Ozon.

Ozon merupakan molekul yang tidak stabil terdiri daripada 3 atom oksigen. Menurut Rowland lapisan ozon membentuk perisai yang melindungi bumi yang terletak pada ketinggian 10 - 60 kilometer di ruang atmosfera yang bertanggungjawab untuk menyerap UV. Ozon juga mempunyai bau yang kuat mudah dikesan semasa berlaku ribut petir atau berhampiran dengan mesin elektrik serta mempunyai warna kebiruan yang mengandungi atom oksigen yang diikat oleh 2 atom oksigen dan atom yang ketiga tidak digabung dengan erat. Ozon juga boleh ditemui di permukaan bumi sebagai satu komponen asbut (Rowland, 1990 : 56 – 57). Sehubungan dengan itu, lapisan ozon terdiri daripada 3 atom oksigen yang diikat bersama yang lebih bersifat kimia daripada molekul oksigen. Sebahagian besar daripada ozon terdapat dalam lapisan atmosfera yang terletak sekitar 25 kilometer dari permukaan bumi dan kuantiti ozon di atmosfera bumi adalah tidak banyak dan sekiranya ia dimampat hanya sekitar 3 milimeter tebal tetapi sangat berguna kepada hidupan di permukaan bumi (Ryden, 2002).

Rajah 2 : Kedudukan dan kepekatan lapisan ozon

Sumber : www.temis.nl

Rajah 2 di atas, menunjukkan kepekatan lapisan ozon terdapat di dalam stratosfera berbanding di bahagian mesosfera dan troposfera.

Fungsi Ozon.

Seperti yang diketahui umum, lapisan ozon berfungsi sebagai lapisan penapis dan lapisan ini sangat penting pada permukaan bumi sebagai perlindungan daripada pancaran UV yang berlebihan. Pancaran yang dimaksudkan ialah semua bentuk tenaga yang bergerak dalam kelajuan cahaya yang biasanya dikaitkan dengan radiasi elektromagnet atau cahaya. Pancaran cahaya ini pula mempunyai perbezaan dari segi gelombang, frekuensi dan jumlah tenaga yang dipancarkan.

Lapisan ozon juga sangat penting kerana melindungi tumbuhan dan haiwan daripada sinaran UV matahari yang boleh menyebabkan kanser kulit, katarak , merosakkan tahap daya ketahanan dan juga boleh mengubah DNA tumbuhan dan haiwan ( Johansen, 2000).

Persoalan Mengapa Berlaku Penipisan Ozon?

Jika kita ingin melihat dan mengkaji kesan kemusnahan lapisan ozon terhadap perubahan cuaca dan iklim rasanya perlu juga diketahui apakah punca yang menyebabkan berlakunya penipisan ozon. Seperti kata Walt Kelly “Kita telah bertemu dengan musuh dan musuh itu adalah kita sendiri.” Jadi, jelas bahawa punca kemusnahan lapisan ozon adalah hasil kegiatan manusia itu sendiri. Dalam kegiatan ini, manusia telah mencipta pelbagai jentera yang membantu serta memudahkan kehidupan sejagat tetapi dalam masa yang sama kesan sampingan terjadi seperti kewujudan gas rumah hijau. Gas rumah hijau inilah yang bertanggungjawab dalam penipisan dan kemusnahan lapisan ozon. Tambahan pula gas rumah hijau atau Klorofluorokarbon (CFC) berkenaan boleh bertahan selama 140 tahun sebelum musnah secara semula jadi (Rowland, 1990 : 56 – 57).

Punca utama CFC adalah penyembur aerosol yang digunakan termasuk dalam peti sejuk dan penyaman udara yang digunakan di rumah dan juga dalam kenderaan. Selain daripada itu, sumber lain seperti tindak balas Bromin (Br), Nitrik Oksida (NO) dan Hydroxyl Radikal (OH). Lapisan ozon juga boleh musnah secara semula jadi melalui tindak balas kimia dalam atmosfera seperti radiasi UV yang melalui lapisan ozon yang boleh membina dan memusnahkan lapisan ozon (Forest, 1993).

Walau bagaimanapun, kesan kehilangan lapisan ozon secara semula jadi tidaklah seburuk akibatnya berbanding kesan kegiatan manusia yang telah dibuktikan telah menyebabkan perubahan cuaca dan iklim secara global. Jika diambil salah satu contoh tempatan melalui aktiviti kegiatan manusia dalam bidang pertanian yang melibatkan pembukaan kawasan baru untuk tujuan pertanian dan sebagainya yang melibatkan penggunaan teknologi moden seperti racun serangga, baja kimia dan pertambahan karbon dioksida dalam udara hasil daripada pembakaran kawasan ladang pertanian telah menyebabkan perubahan suhu setempat secara mikro yakni kegiatan tadi secara langsung telah menyumbangkan pertambahan gas rumah hijau yang mempunyai hubungan yang rapat dengan lapisan ozon. Aktiviti manusia adalah punca menyebabkan kemusnahan lapisan ozon yang mana aktiviti manusia telah menjadi sumber pembentukan gas rumah hijau yang dibebaskan ke atmosfera yang kemudiannya memusnahkan lapisan ozon. Penyelidikan saintifik telah membuktikan bahawa kegiatan manusia merupakan sumber utama yang telah membawa pemusnahan dan penipisan lapisan ozon terutama sekali unsur bahan kimia tertentu yang telah menunjukkan kesan penipisan dan kebocoran lapisan ozon di Antartika yang membuktikan kehilangan ozon secara menyeluruh.

Kemusnahan Lapisan Ozon.

Penyelidikan yang dijalankan sejak 1992 dan 1993 menunjukkan bahawa lapisan ozon di kebanyakan tempat telah menunjukkan penurunan lapisan ozon. Malahan semasa musim bunga di kawasan pertengahan garisan latitud di utara menunjukkan pengurangan 20 peratus termasuk pengurangan yang teruk di kawasan lubang ozon di Antartika. Mengikut sejarah, kemusnahan lapisan ozon dikesan seawal 1960an oleh Saintis British di Antartika dan didapati bahawa pada tahun 1980an terdapat lubang dalam lapisan ozon di Antartika setiap musim bunga pada bulan September – Oktober. Pada tahun 1988 lubang ozon mempunyai keluasan meliputi Antartika dan sebahagian Australia dan New Zealand. Walau bagaimanapun kesan lubang ozon ini tidaklah merisaukan kita kerana kejadian berlaku di kawasan Antartika yang tidak berpenghuni. Walaupun demikian, punca yang dikenal pasti yang telah menyebabkan kemusnahan ozon ialah CFC. Mengikut kajian yang dibuat pada tahun 1993 menunjukkan bahawa setiap tahun pelepasan CFC ke atmosfera sentiasa bertambah dan oleh kerana gas berkenaan tidak musnah maka sebahagian daripada gas berkenaan akan menyerang lapisan ozon yang menyebabkan kemusnahan dan penipisan lapisan ozon. Rajah yang ditunjukkan dalam Rajah 3 memperlihatkan lebih 20 milion tan CFC yang dibebaskan ke udara.

Rajah 3 : Kesan kumulatif AS terhadap lapisan ozon.

Sumber : ww.epa.gov

Kesan Penipisan Dan Kemusnahan Lapisan Ozon Terhadap Perubahan Cuaca Dan Iklim.

Memang tidak dapat dinafikan kesan kemusnahan lapisan ozon telah menyebabkan perubahan cuaca dan iklim secara menyeluruh. Impak daripada kemusnahan lapisan ozon ini sangat ketara sehingga memberi kesan negatif secara menyeluruh kepada tumbuhan dan hidupan. Oleh kerana kemusnahan dan penipisan lapisan ozon ini mempunyai hubungan yang rapat dengan gas rumah hijau maka tidak dapat ditolak daripada mengelak membincangkan berkaitan dengan gas – gas rumah hijau.

Aktiviti manusia yang sentiasa mengejar kesejahteraan hidup telah menyebabkan pertambahan bahan pencemar yang menyebabkan kenaikan suhu dunia secara global. Kesan rumah hijau telah bermula sejak revolusi perindustrian dan kepekatan karbon dioksida telah bertambah sehingga 30 peratus manakala metana bertambah lebih 2 kali ganda sementara nitrus oksida telah meningkat sebanyak 15 peratus. Kesan akibat daripada peningkatan gas rumah hijau berkenaan telah menyebabkan pembentukan perangkap haba yang memerangkap haba yang dibebaskan semula ke angkasa. Oleh kerana kewujudan perangkap haba ini telah menyebabkan peningkatan suhu maka berlaku pemanasan suhu dunia secara global yang telah mempengaruhi keadaan cuaca dan iklim.

Rajah 4 : Kesan rumah hijau.

Sumber : science.howstuffworks.com

Berdasarkan Rajah 4 di atas, sinaran matahari yang dipancarkan ke bumi sebanyak 100 peratus. Sebahagian daripada tenaga ini akan sampai ke bumi melalui kawasan atmosfera yang tidak mempunyai halangan. Sebahagian pula akan diserap oleh permukaan bumi dan akan memanaskan permukaan bumi dan sebahagian daripada radiasi tenaga matahari tadi akan dipantulkan semula ke angkasa oleh atmosfera.

Dalam pada itu, bumi pula memantulkan sebahagian daripada tenaga yang diterima dan dibebaskan semula ke angkasa lepas. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada tenaga tadi diserap dan terperangkap oleh bahan pencemar di dalam atmosfera yang menyebabkan peningkatan suhu permukaan bumi. Kesan pemanasan inilah yang akan menyebabkan kesan negatif terhadap suhu, cuaca dan iklim secara global.

Peningkatan Suhu.

Kesan ketara daripada kemusnahan lapisan ozon ini ialah peningkatan suhu secara global yang menyebabkan pelbagai fenomena. Kesan ketara dapat dilihat dengan jelas semasa musim bunga pada bulan September dan Oktober yang menunjukkan kadar penyusutan lapisan ozon terutamanya di kawasan Antartika iaitu lebih rendah 30 - 40 peratus berbanding dengan kawasan Artik. Keunikan keadaan musim bunga di kawasan Artik yang sangat sejuk di mana udara di kawasan ini tidak bercampur dengan udara dari luar.

Rajah 5 : Keadaan Ozon di Amerika Utara.

Sumber : Earth System Science Committee, NASA, 1994

Dalam Rajah 5 di atas menunjukkan penipisan lapisan ozon yang menjelaskan bahawa kesan penipisan ini memberi kesan kepada kita juga. Akibat daripada peningkatan suhu ini maka ia akan menyebabkan perubahan suhu setempat yang seterusnya mengubah iklim kawasan berkenaan. Perubahan ini pula tidak sekadar berlaku di kawasan yang berkenaan sahaja tetapi juga berlaku secara global dan kesannya telahpun dibincangkan dalam perbincangan ini. Steve Hipskind, Ketua Bahagian Atmosfera dan Dinamik Kimia di Pusat Penyelidikan Ames, Moffett Field, California menyatakan bahawa atom klorin menggunakan awan sebagai tempat memulakan pemusnahan lapisan ozon di mana awan ini biasanya berada pada tempat yang mempunyai suhu yang rendah. Pembentukan kristal ais yang merupakan sebahagian daripada awan telah membantu proses pemusnahan ozon. Kesan daripada proses ini berlaku pada tahun 1999 – 2000, suhu atmosfera di kawasan Artik telah mencapai suhu yang sangat rendah -120 Celcius yang merupakan rekod terendah.

Jadi, daripada penyelidikan ini jelas bahawa berlaku pemanasan suhu dunia secara global. Sebagai tambahan, para saintis mendapati bahawa sebaik saja musim bunga berakhir penipisan lapisan ozon beralih ke kawasan yang berpenduduk padat di Amerika Utara dan Eurasia dan perubahan ini banyak diramalkan berlaku di kawasan pertengahan garisan latitud di Amerika Syarikat. Oleh itu, jelas bahawa kita dapati terdapat trend dalam aktiviti penipisan ozon yang berlaku mengikut peredaran musim.

Menurut seorang saintis Paul Newman, menyatakan bahawa suhu stratosfera dikawal oleh cuaca yang datang dari kawasan atmosfera rendah. Ini bermaksud sekiranya kita mempunyai stratosfera yang sejuk dan atmosfera yang panas maka keadaan suhu dunia akan meningkat dari tahun ke tahun. Kesan ini pula adalah disebabkan oleh pelepasan CFC ke ruang atmosfera. Seperkara yang membimbangkan kita tentang kesan penipisan ozon yakni kita telah mengetahui bahawa keadaan suhu di bahagian stratosfera adalah amat sejuk dan ini membantu pembentukan awan tetapi pada masa yang sama menyebabkan pemusnahan ozon.

Penipisan lapisan ozon dan kejadian lubang ozon di kawasan kutub sudahpun memperlihatkan kepada kita tentang perubahan cuaca dan iklim di mana kejadian lubang ozon di kawasan ini telah menyebabkan peningkatan sinaran matahari di kawasan ini sekaligus meningkatkan suhu yang boleh menyebabkan pencairan salji seterusnya menyebabkan kehilangan kawasan tanah rendah dan mungkin juga kawasan pelancongan di kawasan pinggir pantai.

Kesan terhadap cuaca dan Iklim.

Dalam pada itu, kesan penipisan ozon telah membawa perubahan cuaca dan iklim sejak 2 dekad yang lalu dan perubahan ini telah membawa banyak kesan ke atas tumbuhan dan hidupan. Kenaikan suhu di kawasan kutub menyebabkan banyak kesan ke atas cuaca dan iklim setempat dan juga telah mempengaruhi suhu bumi secara umum. Perubahan cuaca dan iklim ini menyebabkan penambahan keluasan kawasan padang pasir. Mengurangkan sumber makanan dan mungkin juga menyebabkan perubahan kekal ke atas kawasan taman negara. Sebagai contoh, diramalkan bahawa secara keseluruhan di Amerika Syarikat mengalami peningkatan suhu walaupun para saintis masih tidak dapat meramalkan kawasan mana yang menjadi kering atau sebaliknya.

Di negara kita sendiri Hasil kajian Strategik Dan Antarabangsa mendapati bahawa 1,200 km persegi di Semenanjung Malaysia akan ditenggelami air jika pencairan ais berterusan dan meningkat pada kadar 0.9 sm setahun (Alias Bakar,1998). Ini menunjukkan bahawa kesan pemusnahan dan penipisan lapisan ozon telah mempengaruhi suhu cuaca dan iklim secara menyeluruh.

Sementara di tempat lain seperti di kawasan Utara Benua Asia, kesan cuaca dan iklim sangat ketara sehingga menampakkan kesan yang buruk khususnya Laut Aral. Sejak diketahui berlaku penipisan dan pemusnahan lapisan ozon dari tahun 1961 – 1989 keluasan Laut Aral telah menyusut daripada 66,000 kilometer persegi kepada 36,500 kilometer persegi pada tahun 1989 iaitu berlaku penyusutan sebanyak 55.3 peratus daripada saiz asal. Keadaan ini telah menyebabkan air Laut Aral semakin masin dan kebanyakkan ikan mati. Bukan sekadar perubahan saiz Laut Aral tetapi juga telah menyebabkan kerugian ekonomi kepada nelayan di kawasan ini.

Apapun kita dapati bahawa kesan besar mungkin lebih ketara akibat daripada penipisan dan kesan gas rumah hijau. Pemusnahan lapisan ozon bermakna tumbuhan dan hidupan di permukaan bumi terdedah kepada pancaran UV yang keterlaluan yang bukan sekadar memberi kesan negatif kepada bekalan makanan, struktur daya ketahanan, DNA hidupan dan juga pelbagai jenis penyakit kulit tetapi juga mengancam perubahan suhu secara global.

Kesimpulan.

Persoalannya, apakah yang boleh kita buat untuk melindungi bumi dan hidupan di muka bumi? Pertama ialah mengurangkan pemusnahan lapisan ozon dengan menghentikan atau mencari bahan baru bagi peralatan yang menggunakan CFC dalam pengeluaran perindustrian dan ini telahpun dilaksanakan oleh kebanyakan negara yang telah menandatangani Protokol Montreal 1987. kedua, mengurangkan pembentukan karbon dioksida dalam atmosfera dengan menanam tumbuhan hijau di kawasan bandar seperti mana yang dilaksanakan oleh negara kita melalui kempen bandar dalam taman, sekolah dalam taman dan sebagainya. Kita juga patut mengurangkan penggunaan bahan api fosil tetapi mungkin agak mustahil kerana penggunaan arang batu, minyak dan gas telah sebati dengan aktiviti ekonomi. Apa yang boleh dilakukan mungkin patut juga kita mencari bahan baru untuk menggantikan bahan api yang sedia ada. Harapan kita kini bergantung pada usaha para penyelidik mencari bahan api baru seperti yang dilakukan oleh oleh para penyelidik di Universiti Wisconsin, Madison, Amerika Syarikat yang diketuai oleh Jim Dumesic yang menyatakan bahawa berjaya menjumpai kaedah bagi mendapatkan hidrogen bagi sumber minyak bersih daripada glukos yang terdapat di dalam gula yang boleh digunakan untuk menggerakkan jentera. Walaupun, masih  dalam peringkat penyelidikan tetapi harapan kita untuk mencari bahan api baru semakin cerah. Jadi, apapun yang kita lakukan sekarang seharusnya tidak sekadar mementingkan keuntungan tetapi juga perlu melihat kesan terhadap persekitaran khasnya kesan yang boleh menyebabkan impak yang besar ke atas cuaca dan iklim.

SUMBER RUJUKAN

Alias Bakar.(24 Oktober 1998). “Pemanasan Iklim Global”. Berita Harian M/S 23

Harvey, A., Matthews, E. & Sarma, D. (2002). The GreenhouseEffect, Greenhouse Gases, and Global Warming. Diperolehi pada 24 September 2002 dari http://icp.giss.nasa.gov/research/methane/greenhouse.html

_______. Ozone Layer. Tiada Tarikh. Diperolehi pada 27 September 2002. http://www.encyclopedia.com/html/ol/ozonelay.asp/

_______. December 1997 is Coldest Month on Record in theStratosphere. January 20, 1998. diperolehi pada 22 september 2002 dari http://science.msfc.nasa.gov/newhome/headlines/essd20jan98_1.htm

 _______. Global Temperature Trends: 1998 Global SurfaceTemperature Smashes Record. Diperolehi pada 12 September 2002 dari http://www.giss.nasa.gov/research/observe/surftemp/

 _______. Global Warming. [Editorial] The Financial Times, March 11, 1997. Diperolehi pada 22 September 2002 dari http://benetton.dkrz.de:3688/homepages/georg/kimo/0254.html

 Rowland, S. (2009). The ozone depletion phenomenon. [Online] diperolehi pada 06 Februari, 2012 dari http://www.beyonddiscovery.org/content/view.page.asp?I=89

 Ryden, B.(2002). Ozone Layer & GreenHouse Effect. Diperolehi dari http://www-astronomy.mps.ohio-state.edu/~ryden/ast161_7/ozone_hole.html

Johansen, B.E. (2002). The Relationship Of Ozone Depletion And Greenhouse Effect. Greenwood Press. Diperolehi pada 25 September 2002. http://www.ratical.com/ratville/ozoneDepletion.htm

Ceosr. (2002). Atmospheric Ozone. Diperolehi pada 26 September 2002 http://www.ceosr.gmu.edu/

Compuserve. (2002) The Earth’s Ozone Layer. Diperolehi pada 24 September 2002. http://ourworld.compuserve.com/homepages/Cvisco/Apenviro.htm

EPA.(2002). Our Changing Atmosphere. April 22, 2002 http://www.epa.gov/globalwarming/climate/indext.html.

Paul, E., Grabbher, G.,  Karl, T., Thompson, E.M., Renberth, K.T. & Woodwell, G.M. Current Effects: Global Climate Change.An Ozone Action Roundtable. Washington, D.C., June 24, 1996. Diperolehi pada23 September 2002 dari http://www.ozone.org/curreff.html

Forrest M. Mims.(1995). Tracking The Ozone Layer. Jun, 23 1995. Diperolehi pada 22 September 2002 dari http://www.arn.org/currpage/TrackOzone.htm

Joel S. Levine (1999). Ozone, Climate and Global Atmospheric Change. Diperolehi pada 26 September 2002 darihttp://asd-www.larc.nasa.gov/people_html/pkc.html

Kirby, Alex .(1998). Climate Change: It's the Sun and Us. British Broadcasting Corp. News, November 26, 1998. (Kirby, 1998B) Diperolehi pada 16 September 2002 dari http://news.bbc.co.uk/hi/english/sci/tech/newsid_222000/222437.htm

Nsf. (2002). Effect Of The Ozone Hole On Oceanic Life. Diperolehi pada 25 September 2002. http://www.nsf.gov/pubs/1996/nstc96rp/chiii.htm

Purdue.(2002). Water Erosion. Diperolehi pada 25 September 2002. http://soil.ecn.purdue.edu/~wepphtml/wepp/wepptut/jhtml/intro2.html

Thinkquest.(2002). Impacts : Alteration To Geographical Landscapes : Erosion. Tiada Tarikh. Diperolehi pada 24 September 2002. http://library.thinkquest.org/C0111040/Text/impacts_altg_ero.htm?tqskip1=1&tqtime=0916

Warrick, Jody. (1998). Earth at Its Warmest In Past 12 Centuries; Scientist Says Data Suggest Human Causes. Washington Post, December 8, 1998. Diperolehi pada 28 September 2002 dari http://www.asoc.org/currentpress/1208post.htm

 

Print Friendly and PDFPrintPrint Friendly and PDFPDF

Suntingan terakhir: 06/02/2012


Respond dan komen:

Jika anda mempunyai pertanyaan atau sebarang komen mengenai kajian ini sila pos komen anda di bawah:



Creative Commons License

 

Except where otherwise noted, content on this site is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike license: http://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/3.0/.