MALAYSIAN GHOST RESEARCH IN EDUCATION

Terakhir Dikemaskini

15 February 2014 08:03:50 am



Misi

Misi utama Malaysian Ghost Research In Education adalah menyediakan satu pusat rujukan Geografi secara online dan percuma untuk semua peringkat dalam usaha memartabatkan Pendidikan Geografi sebagai satu mata pelajaran penting dalam pembangunan negara. Untuk menjayakan misi ini maka sudut pendidikan di dalam laman ini akan menyediakan pelbagai bahan pembelajaran dari semasa ke semasa.


Ruangan Pendidikan

Malaysian Ghost Research in Education adalah sebahagian daripada bahan pembelajaran dan juga bahan penyelidikan yang dijalankan melalui projek-projek kajian Geografi yang akan diadakan dari semasa ke semasa di samping bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan dengan pendidikan dalam pelbagai bidang termasuklah kesusasteraan, ICT dan Geografi.


Translation Service

Now you can read our website in your own language. Please choose your own language and the translation service do the rest for you.


Page View Counter

Page View :


Keupayaan manusia mengubahsuai persekitaran fizikal dan landskap budaya melalui penggunaan teknologi.

February 07th, 2012 by Augustine Towonsing

Pengenalan.

Manusia yang menjalankan aktiviti di permukaan bumi sebagai ‘rumah’ telah banyak mengubahsuai keadaan alam sekitar sehingga kesan hasil aktiviti manusia itu dapat dilihat sehingga ke hari ini. Dalam pada itu, walaupun bumi mengalami perubahan dalam usaha memulihkan semula ‘kerosakan’ yang berlaku dalam proses keseimbangan alam secara semula jadi melalui pergerakan bumi seperti pembentukan sungai, kitaran air dan kitaran udara dan sebagainya tetapi kesan kegiatan manusia merupakan penyebab utama terhadap kemusnahan dan perubahan alam sekitar sama ada peringkat mikro atau peringkat global. Kesan yang dimaksudkan ialah masalah kemusnahan ozon yang menjadi isu hangat pada masa kini. Menurut kajian yang dibuat oleh U.S National Climatic Data Center (2001) menyatakan bahawa suhu permukaan bumi telah meningkat sebanyak 1F yang berlaku sejak 2 dekad yang lalu. 

Sehubungan dengan itu, kenaikan suhu ini adalah disebabkan oleh pertambahan gas rumah hijau yang bertanggungjawab dalam penipisan dan kemusnahan lapisan ozon. Tambahan pula, gas rumah hijau atau Kloroflurokarbon (CFC) berkenaan boleh bertahan selama 140 tahun sebelum musnah secara semula jadi (Rowland, 1990: p.56 –57). Kejadian pertambahan gas rumah hijau ini membuktikan bahawa manusia telah pun mempunyai keupayaan mengubah persekitaran fizikal dengan bantuan teknologi sejak 140 tahun yang lalu malah lebih awal daripada itu selaras dengan kewujudan tamadun manusia di Lembah Tigris – Euprates, tamadun Cina, tamadun Indus dan beberapa tamadun lain.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat penyelidik simpulkan bahawa sebenarnya keupayaan manusia mengatasi halangan fizikal dan keupayaan manusia menghasilkan landskap budaya dengan bantuan teknologi sudah lama berlaku malahan mungkin teknologi yang digunakan lebih canggih daripada teknologi yang digunakan pada masa sekarang seperti teknologi yang digunakan dalam pembinaan lanskap Taman Tergantung Babylon dan Piramid di Mesir yang menjadi tanda tanya sebahagian daripada pengkaji kerana lanskap yang ditinggalkan oleh tamadun sebelum ini masih kukuh dan bertahan sehingga hari ini.

Penjelasan objek manusia, Persekitaran Fizikal, Landskap budaya dan teknologi.

Sebelum perbincangan kajian ini diteruskan ada baik diperjelaskan beberapa istilah yang menjadi kata kunci dalam kajian ini untuk memudahkan perbincangan dan memperjelaskan perkaitan di antaranya.

Manusia.

Mengikut Kamus Dewan (2000 : p.859) manusia dirujuk sebagai makhluk yang mempunyai akal budi manakala Foster, (1979: p.70) menyebut Aristotle telah membuat tanggapan bahawa manusia sebagai objek yang selalu bertindak untuk mencari kebahagiaan. Ini bermakna manusia sentiasa berusaha mencari sesuatu yang boleh memenuhi keperluan mereka dan dalam konteks perbincangan ini penyelidik menganggap bahawa manusia mempunyai keupayaan dan terus berusaha mengatasi halangan untuk mendapatkan sesuatu.

Walau bagaimanapun dalam konteks geografi, manusia selalu dirujuk sebagai manusia geografi ( Human Geography )  yang mana Boehm (1996) menyebut bahawa manusia geografi merupakan manusia yang menumpukan aspek – aspek persekitaran, kebudayaan, aktiviti ekonomi dan hubungan sosial kelompok manusia. Manakala,  Ballard (1998: p.41 - 42) menyatakan bahawa semangat menjelajah adalah sebahagian daripada sifat manusia dan setiap manusia itu merupakan penjelajah. Walau bagaimanapun, beliau menambah bahawa manusia menjelajah kerana sains. Ini membuktikan bahawa manusia sentiasa menjelajah dan mencari jawapan terhadap halangan – halangan persekitaran fizikal dengan tujuan dapat memanfaatkannya.

Dapat disimpulkan di sini bahawa objek manusia boleh dianggap sebagai manusia yang boleh berfikir, sentiasa berusaha dan mempunyai minat terhadap hubungan dengan persekitaran, hubungan dengan nilai, menjalankan kegiatan ekonomi dan sentiasa berhubung di antara ahli komuniti yang dapat memperlihatkan sifat manusia sebagai manusia yang dinamik.

Persekitaran Fizikal.

Persekitaran fizikal dihubungkaitkan dengan persekitaran fizikal semula jadi seperti cuaca, tanah – tanih, bentuk muka bumi, geomorfologi, hidrologi dan tumbuh – tumbuhan. Manusia geografi adalah wujud seiring dengan persekitaran fizikal. Walau bagaimanapun, Boehm (1996) menyebut bahawa Geografi Fizikal mempunyai perkaitan yang kuat dengan sains melalui Geografi Fizikal dan Sains Bumi. Oleh yang demikian, bidang ini meliputi kaji Iklim ( Climatology ), Kaji Bintang ( Meteorology ), Kaji Lautan ( Oceanography ), Kajian Batuan ( Geomorphology ), tanah – tanih, pembahagian dan ekologi tumbuhan (Biogeography ), Pembahagian dan ekologi haiwan ( Zoogeography ) dan sumber semula jadi.

Jadi, jika diteliti definisi yang diberikan oleh Boehm nampak bahawa ‘rumah’ manusia ini sangat luas dan jelas terdapat banyak halangan yang membolehkan manusia menguasai kesemua bidang dalam persekitaran fizikal. Tetapi dalam konteks ini, persekitaran fizikal ini dirujuk sebagai alam sekitar menjadi ‘rumah’ pada hidupan bumi dan manusia adalah sebahagian daripada perumah berkenaan. Persekitaran fizikal merupakan ruang yang mana manusia geografi menjalankan aktiviti kehidupannya. Dalam pada itu terdapat banyak halangan fizikal yang terpaksa manusia akur yang mana keadaan persekitaran fizikal dalam kehidupan manusia silam adalah terkongkong dengan halangan persekitaran.

Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan bahawa persekitaran fizikal merupakan ruangan permukaan bumi yang menampung kehidupan dengan kehadan tertentu yang membataskan kehidupan manusia khasnya halangan yang menghalang aktiviti manusia seperti penempatan, pertanian dan pembinaan infrastruktur.

Lanskap budaya.

Mengikut Vogeler (1996) menyatakan bahawa Landskap Budaya ( Cultural Landscapes ) meliputi kajian tentang bentuk muka bumi mikro, tumbuhan semula jadi, bangunan dan pola – pola penempatan. Rajah 1 yang ditunjukkan di bawah, menunjukkan contoh gambaran pandang darat budaya yang terhasil akibat daripada aktiviti dan kegiatan yang dijalankan oleh manusia di sesebuah kawasan. Dalam menjalankan kegiatan, manusia pula menggunakan bantuan teknologi mengubahsuai persekitaran fizikal tempat berkenaan sehingga membentuk lanskap yang baru.

Rajah 1 : Contoh lakaran Lanskap Budaya.

Sumber : Library Of Congress, 2000.

Manakala LOC – Library Of Congress (2000) pula menyatakan bahawa:

Geografi lanskap budaya merupakan pendokumentasian dalam kategori peta dalam skala besar seperti pengukuran tanah, atlas dan peta pemilikan tanah, peta topografi berskala besar, peta tematik yang menunjukkan kegiatan ekonomi. Peta ini menunjukkan perubahan budaya lanskap fizikal apabila manusia menetap di sesebuah kawasan penempatan, membina dan merangkaikan sistem pengangkutan dan memberikan nama kawasan sekitar mereka.”

Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh LOC di atas, persekitaran fizikal boleh diubah sementara Kimball (1917) pula menyatakan lanskap sebagai “Seni halus’ yang mana fungsi utamanya adalah untuk mencipta dan memelihara kecantikan alam sekitar yang diduduki oleh manusia termasuk kawasan semula jadi negara.”

Manakala menurut Eckbo (1950) menyebut lanskap sebagai:

“Sebahagian lanskap yang dibentuk oleh manusia dengan tujuan utamanya sebagai ruang untuk manusia hidup ( tidak termasuk pertanian dan perhutanan).”

jelas sekali definisi yang diberikan oleh Garret Echkbo ini tidak selaras dengan konteks perbincangan dalam geografi tetapi lebih pada lanskap seni bina. Walau bagaimanapun, perkaitan yang dapat dilihat di sini ialah lanskap terhasil akibat daripada aktiviti manusia yang menjalankan kegiatan untuk hidup.

Ini bermaksud manusia boleh menghasilkan bentuk permukaan yang baru dengan mengubasuai keadaan persekitaran asal dengan menggunakan kemampuan teknologi untuk disesuaikan dengan keperluan kelompok manusia yang berinteraksi dengan persekitaran dalam ruang lingkup permukaan bumi untuk tujuan kebahagiaan hidup dan memaksimumkan keuntungan dalam konteks manusia ekonomi kerana manusia geografi juga merupakan manusia ekonomi.

Landskap budaya dalam konteks geografi boleh disimpulkan sebagai pandang darat budaya yang terhasil hasil daripada interaksi manusia geografi dengan persekitaran fizikal yang mana dalam interaksi tadi manusia geografi iaitu manusia dengan kepakaran yang ada dengan bantuan teknologi berusaha sebaik mungkin mengatasi halangan  persekitaran fizikal dan dalam masa yang sama menghasilkan pandang darat budaya seperti kawasan pertanian, kawasan penempatan, jalan – jalan pengangkutan dan sebagainya.

Teknologi.

Kamus Dewan (2000: p.1397) mendefinisikan teknologi sebagai aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain – lain. Ia juga dirujuk sebagai sains gunaan. Selain daripada itu, istilah teknologi juga membawa maksud kaedah atau proses menangani masalah teknikal.

Manakala mengikut Dr. Abdul Ma’in M., SS. (2001) menyebut istilah teknologi sebagai pelaksanaan ilmu, sinonim dengan ilmu terapan. Walau bagaimanapun, berbalik pada definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan nampak lebih relevan pada topik perbincangan ini kerana istilah yang diberikan oleh Dr. Abdul Ma’in terlalu umum.

Sebubungan dengan itu, dalam konteks geografi istilah teknologi di sini sebenarnya terlalu umum. Dalam konteks perbincangan dalam kajian ini nampak bahawa istilah teknologi yang dimaksudkan di sini ialah peralatan yang digunakan oleh manusia  dalam aktiviti kehidupan yang boleh membantu mereka melakukan tugas tertentu. Walau bagaimanapun, penyelidik berpendapat istilah teknologi ini merangkumi peralatan dan bidang kepakaran manusia sama ada dalam aspek peralatan dan juga pengetahuan.

Jadi selaras dengan definisi pertama yang diberikan oleh Kamus Dewan secara umum dapat difahami sebagai teknologi yang merupakan pengetahuan dan peralatan yang digunakan oleh manusia menangani masalah atau membantu aktiviti manusia. Yakni teknologi boleh dianggap sebagai sains gunaan atau peralatan sains dan pengetahuan yang mampu membantu manusia menjalankan aktiviti seharian mereka yang selaras dengan topik perbincangan dalam kajian ini yang melihat bagaimana penggunaan teknologi berkenaan digunakan oleh manusia mengubahsuai lanskap persekitaran fizikal dan menghasilkan landskap budaya.

Manusia sebagai objek dinamik.

Dalam perbincangan ini, penyelidik menganggap manusia sebagai objek yang dinamik dengan bertitik tolak daripada pendapat para sarjana yang mendokong pemikiran serba kemungkinan (Environmental Possibilism) yang menyatakan bahawa manusia mempunyai peranan yang positif dan boleh mengatasi rintangan atau sekatan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, para pendokong pendapat ini memang tidak menolak secara total pengaruh alam sekitar sebaliknya Blache (1926) menyatakan bahawa perbezaan komuniti yang terdedah pada alam sekitar fizikal yang serupa boleh dijelaskan oleh perbezaan dalam sistem nilai, sifat dan kelakuannya. Ini bermakna bahawa persekitaran fizikal tidak menentukan corak aktiviti manusia di sesuatu kawasan tetapi persamaan yang terjadi adalah disebabkan oleh nilai, latar belakang budaya dan sifat kelakuan kelompok komuniti di sesebuah kawasan berkenaan.

Lantaran itu, istilah dinamik di sini merujuk pada corak pemikiran manusia dan tingkah laku manusia yang suka menerokai bidang baru, berusaha mencari penyelesaian halangan yang dihadapi. Jadi, dalam konteks hubungan manusia dengan persekitaran fizikal manusia sentiasa berusaha mencari kaedah tertentu bagaimana halangan – halangan seperti tanah tidak subur, iklim yang tidak sesuai, air hujan tidak mencukupi dapat diatasi. Oleh itu, Boehm (1996) menyebut “Terdapat hubungan yang kuat di antara geografi budaya (Cultural geography) dengan antropologi dan arkeologi.” Hubungan ini bermaksud manusia mempunyai minat yang luas dalam bidang kajian yang bertujuan untuk memahami persekitaran fizikal dengan tujuan interaksi positif yang mendatangkan manfaat kepada manusia geografi. Beliau menambah lagi sebagai berikut:

“Pengkaji geografi budaya sering kali mencuba membina semula persekitaran lepas ( Past environments ) dan untuk melakukan ini mereka perlu mempunyai kepakaran dalam penyelidikan sumber, bidang kajian dan menginterpretasikan tinggalan artifak – artifak lama. Ahli sejarah geografi berminat membina semula keadaan geografi masa lampau. Jadi untuk melakukan ini, mereka bekerjasama dengan sejarawan dan aktivis yang banyak memberi pemahaman terhadap keadaan geografi semasa.”

Boehm (1996)

Pendapat beliau ini membuktikan bahawa manusia geografi adalah manusia yang dinamik yang sering berusaha dan cuba memahami keadaan geografi pada masa yang lepas untuk memahami keadaan geografi semasa. Pemahaman inilah yang nantinya akan mendorong manusia geografi mengatasi halangan persekitaran fizikal dengan pengetahuan dan kepelbagaian kepakaran dapat menghasilkan pelbagai bentuk landskap budaya.

Oleh itu, hubungan manusia yang erat dengan persekitaran fizikal membawa pada pemahaman manusia terhadap keadaan persekitaran fizikal yang memberi kelebihan kepada manusia memahami halangan yang mereka hadapi dan dengan pengetahuan ini membolehkan mereka mengatasi halangan berkenaan seperti pendapat Boehm (1996) yang menyebut:-

“Mereka yang mempunyai latar belakang yang baik dalam geografi fizikal adalah mereka yangmempunyai persediaan berhadapan dengan masalah pencemaran udara, pencemaran air, pengurusan pelupusan bahan tak reput, toksik dan bahan buangan berbahaya. Ahli geografi fizikal juga mengkaji tentang kesan bahaya bencana alam seperti ribut kencang, puting beliung, letupan gunung berapi dan gempa bumi.”

Boehm (1996)

Sehubungan dengan pendapat di atas, boleh dikatakan bahawa manusia yang berinteraksi dengan persekitaran fizikal telah banyak mempelajari tentang halangan – halangan seperti yang dinyatakan oleh Richard G. Boehm. Dengan masalah dan halangan seumpamannya telah mendorong manusia memikirkan fenomena cuaca dan menghasilkan pelbagai teknologi yang digunakan untuk mengkaji fenomena cuaca.

Kedinamikan manusia dan kefahaman terhadap halangan persekitaran fizikal dengan berlatar belakangkan pengetahuan tentang persekitaran fizikal manusia semakin banyak menghasilkan teknologi moden dan era globalisasi yang membawa manusia menuju suatu penyatuan yang mana manusia tidak lagi dibatasi oleh batasan sempadan dan persekitaran fizikal tidak lagi mengongkong hubungan manusia dengan manusia di atas ruang permukaan bumi. Yakni manusia kini mampu membawa pembentukan landskap budaya yang semakin bertambah dengan skop yang semakin luas dengan bantuan teknologi moden.

Halangan Persekitaran Fizikal dalam aspek geografi.

Dalam aspek geografi, halangan persekitaran fizikal dikaitkan dengan konsep persekitaran fizikal bersifat dominan menentukan komuniti haiwan atau tumbuhan yang menghuni di sesuatu ruang. Kenyataan ini selaras dengan kenyataan Ratzel (1892) yang menyatakan bahawa komuniti manusia seperti juga komuniti tumbuhan dan haiwan terpaksa bertungkus lumus untuk hidup.

Oleh yang demikian, ini bermakna manusia perlu membuat penyesuaian mengikut keadaan dan keperluan selaras dengan persekitaran fizikal yang mana manusia menduduki ruang permukaan bumi. Lantran itu, aktiviti kelompok manusia di sesuatu kawasan ditentukan oleh persekitaran fizikal dan pola penempatan atau landskap budaya dibina berdasarkan kesesuaian halangan persekitaran fizikal yang ditempuh.

Walau bagaimanapun, keadaan seperti ini mungkin berlaku pada zaman lampau. Tetapi, dalam konteks era globalisasi halangan persekitaran fizikal bukan lagi menjadi determinism yang menentukan aktiviti manusia kerana dengan pengetahuan dan kepakaran manusia berdasarkan pengetahuan dan pengalaman lampau manusia mampu mengatasi halangan berkenaan.

Lanjutan daripada itu, oleh kerana persekitaran fizikal menjadi ‘rumah’ pada kehidupan manusia maka tidak dapat ditolak secara total bahawa memang wujud halangan persekitaran fizikal yang mempengaruhi sebahagian daripada kegiatan manusia. Walau bagaimanapun, halangan ini dapat diatasi oleh manusia dengan bantuan kepakaran dan juga teknologi. Halangan – halangan persekitaran fizikal yang dimaksudkan adalah lebih pada faktor geografi fizikal.  Walau bagaimanapun, dalam konteks perbincangan ini pengkaji hanya membentangkan 3 aspek halangan persekitaran fizikal iaitu halangan bentuk muka bumi, tanah tanih dan iklim.

Halangan Persekitaran Fizikal dan Landskap Budaya yang terhasil oleh manusia dengan bantuan teknologi dalam interaksi dengan persekitaran fizikal.

Halangan bentuk muka bumi.

Halangan yang dimaksudkan ialah keadaan permukaan bumi dan halangan seumpamanya sering dikaitkan dengan kawasan tanah tinggi yang mempunyai sudut kecerunan serta altitud yang berbeza - beza. Keadaan cerun yang sangat curam adalah menyukarkan aktiviti pertanian, pembinaan kawasan penempatan dan juga pembinaan jalan raya. Halangan seumpama ini dalam aspek pertanian adalah menyukarkan pengurusan sama ada proses penanaman atau pemungutan hasil.

Walau bagaimanapun, dengan penggunaan teknologi manusia mampu mengatasi halangan berkenaan. Sebagai contoh, kawasan tanah tinggi dapat diratakan dengan menggunakan jentolak. Pembinaan jalan raya yang merentas kawasan tanah tinggi, manusia tidak perlu lagi bersusah paya memotong tebing dan meratakan puncak kawasan tanah tinggi sebaliknya membina terowong seperti yang dilakukan oleh PLUS pengendali lebuh raya Utara – Selatan di negara ini.

Rajah 2 : Lanskap Genting Highlands.

Sumber : Http://www.genting.com.my/

Rajah 2 yang ditunjukkan di atas menunjukkan lanskap kawasan tanah tinggi di Genting Highlands, Pahang yang telah diubah suai oleh manusia dengan menggunakan teknologi moden untuk tujuan tertentu seperti pelancongan. Dalam Rajah 2, kelihatan puncak kawasan tanah tinggi diratakan dan tebing dipotong untuk membolehkan pembinaan pola penempatan yang terancang.

Rajah 3 : Lanskap jalan raya di kawasan tanah tinggi.

Sumber : Http://www.genting.com.my/

Rajah 3 yang ditunjukkan di atas pula menunjukkan bahawa dengan penggunaan teknologi moden, kini manusia mampu membina jalan di kawasan tanah tinggi. Halangan PF dengan keadaan permukaan yang curam bukan lagi halangan secara total kerana dengan teknologi moden manusia mampu mengatasi halangan berkenaan.

Sebagai kesimpulan, walaupun bentuk muka bumi pada sesetengah kes agak sukar diatasi tetapi dengan kemajuan dan kepakaran manusia kini berjaya mengatasi halangan – halangan berkenaan. Dengan bantuan teknologi manusia dengan mudah sahaja mengubahsuai lanskap PF kepada LB.

Halangan tanah tanih.

Mengikut Kamus Dewan (2000: p.1374) merujuk tanah (tanih) sebagai lapisan tanah yang subur di bawah lapisan tanah yang di atas sekali. Manakala, mengikut Kamus Macmillan English Dictionary (2002: p.1360 ) menyatakan bahawa tanah (tanih) dirujuk sebagai sejenis lapisan yang terdapat di atas permukaan bumi di mana tumbuh– tumbuhan tumbuh.

Oleh itu, berdasarkan definisi yang diberikan di atas, tanah merupakan sejenis lapisan yang terdapat di atas permukaan bumi yang mana lapisan ini adalah subur yang membolehkan tumbuh – tumbuhan tumbuh. Sehubungan dengan itu, boleh dikatakan di sini bahawa lapisan permukaan bumi yang terdapat di lapisan atas kerak bumi adalah subur yang membolehkan hidupan menjalani kehidupan di atasnya.

Walau bagaimanapun, tidak semua permukaan bumi memiliki permukaan tanah yang subur. Tambahan pula, taburan jenis tanah tanih adalah berbeza – beza mengikut ruang permukaan bumi dan tidak semua jenis tanah berkenaan sesuai untuk kegiatan aktiviti pertanian. Oleh itu, dalam konteks negara Malaysia, antara jenis tanah tanih yang boleh didapati adalah seperti tanah laterit, aluvium, gambut dan lain – lain yang sering dikaitkan dengan tanaman tertentu.

Apa yang menarik di sini ialah halangan tanah tanih lebih banyak mempengaruhi kegiatan industri pertanian. Selain daripada industri pertanian, industri lain seperti pengangkutan dan pembinaan juga terpaksa berhadapan dengan masalah yang dikaitkan dengan tanah – tanih. Yakni, industri pembinaan dan pengangkutan sering berhadapan dengan kejadian tanah runtuh dan tanah jerlus.

Dalam bidang pertanian mengikut Boehm (1996 ) para petani sangat bergantung pada agensi pembangunan tanah dan agensi pertanian untuk memberikan maklumat berkaitan dengan keadaan tanah, kejadian tanah runtuh, keadaan cerun tanah dan pelbagai masalah berbangkit berkaitan dengan tanah yang mungkin membawa kesan buruk ke atas kegiatan pertanian.

Jadi, berdasarkan kenyataan Boehm menunjukkan bahawa halangan tanah tanih mempunyai kesan buruk ke atas industri pertanian dan ini bermaksud jika manusia tidak mampu mengatasi halangan ini maka sumber bekalan makanan manusia akan berkurangan sedangkan populasi manusia semakin bertambah.

Walau bagaimanapun, kerana manusia mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam geografi fizikal telah membantu manusia mengatasi halangan tanah tanih yang mana tanah yang tidak subur dapat diatasi dengan penggunaan baja kimia, tanah yang tidak

produktif untuk pertanian seperti kawasan tanah paya ditebus guna untuk tujuan pertanian atau dijadikan kolam penternakan ikan.

Sehubungan dengan itu, dalam kes negara Malaysia khususnya dalam industri pertanian kelapa sawit telah memanfaatkan teknologi moden untuk mengatasi halangan ketidaksuburan tanah dengan menggunakan bantuan teknologi. Untuk itu, menurut Premalatha Jayaraman (1998) menyatakan bahawa terdapat teknik terbaru dalam usaha meningkatkan pengeluaran kelapa sawit dengan penggunaan teknologi moden yang menggunakan baja yang diimport dari Amerika yang dikenali sebagai ‘Miracle Gro’. Teknologi ini menggunakan mesin penebuk dan paip PVC dan baja disuntik terus ke dalam batang pokok kelapa sawit. Kaedah ini dikatakan dapat meningkatkan kesuburan pokok sehingga 50%.

Lanjutan daripada itu, penggunaan teknologi moden yang semakin meningkat dalam aktiviti pertanian terutama berkaitan dengan pengurusan tanah telah membawa perubahan persekitaran fizikal di kawasan luar bandar dengan bertambahnya usaha pembangunan luar bandar dan dengan pengetahuan serta kepakaran manusia tentang teknologi moden telah membawa peningkatan pengeluaran hasil pertanian. Bukan sekadar menggunakan teknologi moden untuk mengubahsuai kesuburan tanah tetapi manusia dengan kepakaran yang ada mencuba mengatasi halangan kekurangan kawasan pertanian akibat daripada persaingan guna tanah dalam pembangunan.

Justeru itu, kita boleh rujuk kes ini di Malaysia. Hassan Omar (1998) telah melaporkan bahawa MADA telah membuat penyelidikan dengan menanam padi di atas bumbung bangunan Pusat Bacaan Rakyat, Paya Pahlawan di Jetra, Kedah dan penyelidikan ini telah berjaya yang memungkinkan usaha seumpama ini dijalankan dan diperluaskan di bandar – bandar besar.

Sebagai kesimpulan, jelas bahawa manusia tidak pernah berhenti menjalankan kegiatan untuk terus hidup. Untuk itu, manusia dengan apa cara sekalipun berusaha berinteraksi secara positif dengan persekitaran fizikal untuk kelansungan hidup dan dalam pada itu banyak landskap budaya terhasil.

Halangan Iklim.

Kamus Dewan (2000: p.481) mendefinisikan iklim sebagai keadaan cuaca (suhu, hujan) dalam jangka masa panjang di sesuatu tempat. Manakala, Martin & James (1993) mendefinisikan iklim sebagai cuaca secara purata sesuatu kawasan yang diukur dalam tempoh jangka masa yang panjang mewakili nilai purata keadaan melampau dan frekuensi bagi nilai meterorogikal seperti tekanan udara, litupan awan, suhu dan kelembapan.

Jika dilihat kedua – dua definisi ini yang menyebut keadaan cuaca dalam jangka masa panjang dan keadaan melampau dan frekuensi bagi nilai meterorogikal sebenarnya sudah membayangkan tentang halangan iklim terhadap aktiviti manusia geografi. Dalam pada itu, halangan yang dimaksudkan di sini seperti kejadian suhu melampau, kemarau, iklim melampau dan sebagainya merupakan halangan persekitaran fizikal terhadap aktiviti manusia.

Walau bagaimanapun, dengan kewujudan teknologi halangan – halangan seumpama ini dapat diatasi. Sebagai contoh kes di negara Malaysia yang mengalami kemarau akibat  kesan El – Nino pada tahun 1997 yang telah menyebabkan Empangan Durian Tunggal di Melaka menjadi kering. Dalam pada itu, dengan adanya teknologi moden manusia telah berjaya menghasilkan hujan tiruan yang dianggap berjaya kerana telah menyebabkan kejadian hujan lebat di sekitar Lembah Klang pada tahun berkenaan. Kini dengan teknologi moden juga kawasan gersang seperti kawasan padang pasir yang dahulunya sukar untuk ditanam tetapi dengan kewujudan teknologi moden maka

kawasan seumpamanya dapat ditanam dengan tanaman dengan membina empangan dan sistem saliran ke kawasan gersang. Teknologi empangan membawa perubahan persekitaran fizikar dari keadaan yang gersang menjadi kawasan yang ditumbuhi oleh tumbuhan.

Sehubungan dengan itu, National Geographic Society (1961 : p.196) menyatakan bahawa air merupakan penentu, penghalang kemusnahan dan digunakan sebagai kunci penentu keadaan masa depan sesebuah kawasan. Dalam pada itu, pembinaan empangan menjanjikan sesebuah kawasan lebih banyak kawasan pengairan, air, sumber tenaga dan juga penghalang kejadian banjir. Empangan akan membawa perubahan sangat besar terhadap tanah gersang.

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa sejak dahulu lagi manusia sudah mampu mengatasi halangan persekitaran fizikal kerana manusia yang mempunyai kemampuan berfikir dan mempunyai daya cipta yang tinggi telah membawa pada pelbagai perubahan persekitaran fizikal sehingga wujud pelbagai rupa bentuk landskap budaya. Dalam pada itu, dengan teknologi moden juga manusia sudah mampu mencipta iklim tiruan yang dikenali sebagai rumah kaca dengan suhu yang dikawal untuk membolehkan tumbuhan dapat tumbuh mengikut keadaan yang tertentu.

Sebagai kesimpulan, halangan persekitaran fizikal dengan penggunaan teknologi moden dengan mudah sahaja manusia atasi. Malahan penggunaan teknologi dalam pelbagai bidang telah menghasilkan landskap budaya yang mempunyai kepelbagaian. Kini manusia mampu melihat dunia yang terletak di dasar laut malahan telah mampu mengatasi halangan graviti dan telah pun berjaya mengembara jauh dari luar bumi dengan kejayaan manusia mendarat di bulan pada tahun 1969.

Kesimpulan .

Berbalik pada kenyataan Ratzel (1892 ) yang menyatakan bahawa manusia merupakan komuniti yang sama dengan haiwan dan tumbuhan terpaksa bertungkus lumus untuk hidup memang bertepatan sekali kerana dengan jelas sekali bahawa manusia dari sejak dahulu lagi berusaha bertungkus – lumus untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal tetapi dalam konteks perbincangan ini penyelidik nampak bahawa maksud ‘bertungkus – lumus’ di sini merujuk pada usaha manusia mengatasi halangan persekitaran fizikal dan bukan sekadar menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal yang dianggap dominan menentukan kehidupan manusia. Malahan pada zaman ini, persekitaran fizikal telah dilihat sebagai dorongan kepada manusia terus berusaha menghasilkan pelbagai teknologi dalam pelbagai bidang dengan tujuan ‘menguasai’ dunia. Sehubungan dengan itu, konsep globalisasi yang berteraskan kemajuan sains dan teknologi telah menghapuskan sama sekali halangan persekitaran fizikal. Ini bermaksud komuniti manusia dapat berkongsi maklumat di dalam ruang maya yang boleh diperolehi dalam beberapa saat tanpa perlu bergerak merentas sempadan negara dan benua.

Dalam aspek geografi, pelbagai landskap budaya yang wujud pada masa kini merupakan interaksi manusia dengan alam sekitar iaitu persekitaran fizikal secara positif seolah – olah halangan persekitaran fizikal ini mendorong manusia secara semula jadi menggunakan kemampuan berfikir untuk mencipta pelbagai jenis teknologi dalam pelbagai bidang. Justeru itu, kemunculan GIS (Geographic Information System ) menjadi alat penting kepada manusia memanipulasikan persekitaran fizikal untuk tujuan pembangunan seperti melihat taburan populasi, pembinaan alternatif sistem pengangkutan dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa teknologi moden dimanfaatkan sepenuhnya oleh manusia dalam interaksi dengan persekitaran fizikal dan pada masa yang sama telah menghasilkan pelbagai bentuk landskap budaya. Pada masa kini, di mana – mana sahaja kita pergi di kota besar, ke tepi laut, ke luar bandar kita melihat PERSEKITARAN FIZIKAL telah banyak berubah. Pelbagai bentuk landskap budaya menyambut kedatangan kita. Semua ini sekadar menyedarkan kita bahawa manusia kini mampu mengatasi halangan persekitaran fizikal dan penyelidik berpendapat bahawa semakin kuat halangan persekitaran fizikal semakin ramai yang berminat mengkajinya dan mencari jawapan disebaliknya dan akan terhasil pula teknologi baru yang sudah tentunya mempunyai kesan terhadap persekitaran fizikal.

SUMBR RUJUKAN

Abdul Ma’in M., 2001. Teknologi Informasi Dalam Sistem Jaringan Perpustakaan Perguruan Tinggi. Diperolehi pada 19 November 2002 dari http://www.geocities.com/HotSprings/6774/j-3.html.

 

Ballard, R.D. (1998). “Why Explore?,” National Geographic, February 1998.

Boehm, R. G. (1996). Association Of American Geographers : Cartpgraphy and Geographic Informations Systems.Diperolehi pada 4 November 20002 dari http://www.aag.org/Careers/Carto_GIS.html

________________,1996. Association Of American Geographers : Cultural & Human Geography. Diperolehi pada 4 November 20002 dari http://www.aag.org/Careers/Cultural_Human_Geography.html

________________,1996. Association Of American Geographers : Physical Geography & Earth Science .Diperolehi pada 4 November 20002 dari http://www.aag.org/Careers/Physical_Geography.html

Eckbo, G.1950. Modern Landscapes For Living. University Of California Press.

Entwistle, R. (1990). Iklim dan Cuaca. London,

De La Blache, V. (1926). The Geographical Tradition. Oxford: Blackwell.

Foster E.M., 1979. Aspek –aspek Novel. Kuala Lumpur : DBP.

Genting Groups, 2002. Genting Highlands : Lokasi menarik. Diperolehi pada 18 November 2002 dari http://www.genting.com.my/

Hassan Omar, (Oktober 1998). “Kaedah Baru Tanam Padi : MADA buat penyelidikan tanam padi di atas bumbung.”, Berita Harian, 23 Oktober 1998.

Hubbard & Kimball (1917). Landscape Cultural in Geography Environment. Dubuque: W.M.C. Brown Company Publishers.

Kamus Dewan, 1992. Kuala Lumpur : DBP

Library Of Congress, 2002. Cultural Landscapes. Diperolehi pada 5 November 2002 dari http://Icweb2.loc.gov/ammem/gmdhtml/setlhome.html

Macmillan English Dictionary, 2002. Macmillan Publisher Limited (Dicetak di Malaysia, 2002).

Martin, G.J. & James, P. E. (1993). All Possible Worlds. New York: John Wiley and Sons, inc

National Geographic Society, 1961. “New Dams Change The Face Of The South Central United States”.National Geographic. Washington D. C, February 1961.

Premalatha Jayaraman, (Ogos 1998). “Teknik Baru Kelapa Sawit Tingkatkan Keluaran.” Dewan Kosmik, Media Network Sdn. Bhd, p.30 – 31.

Ratzel, F. (1882). Anthropogeographie. Stuttgart: J. Engelhorn.

Vogeler, I. 1996. Culture and Cultural Landscapes. Diperolehi pada 5 November 2002 dari http://www.uwec.edu/geography/Ivogeler/w188/define.htm

 

Print Friendly and PDFPrintPrint Friendly and PDFPDF

Suntingan terakhir: 07/02/2012


Respond dan komen:

Jika anda mempunyai pertanyaan atau sebarang komen mengenai kajian ini sila pos komen anda di bawah:



Creative Commons License

 

Except where otherwise noted, content on this site is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike license: http://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/3.0/.