MALAYSIAN GHOST RESEARCH IN EDUCATION

Terakhir Dikemaskini

29 February 2012 07:25:06 AM



Misi

Misi utama Malaysian Ghost Research In Education adalah menyediakan satu pusat rujukan Geografi secara online dan percuma untuk semua peringkat dalam usaha memartabatkan Pendidikan Geografi sebagai satu mata pelajaran penting dalam pembangunan negara. Untuk menjayakan misi ini maka sudut pendidikan di dalam laman ini akan menyediakan pelbagai bahan pembelajaran dari semasa ke semasa.


Ruangan Pendidikan

Malaysian Ghost Research in Education adalah sebahagian daripada bahan pembelajaran dan juga bahan penyelidikan yang dijalankan melalui projek-projek kajian Geografi yang akan diadakan dari semasa ke semasa di samping bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan dengan pendidikan dalam pelbagai bidang termasuklah kesusasteraan, ICT dan Geografi.


Translation Service

Now you can read our website in your own language. Please choose your own language and the translation service do the rest for you.


Page View Counter

Page View :


Landskap Budaya: Hubungan dan peranan dalam petempatan manusia.

February 05th, 2012 by Augustine Towonsing

Pengenalan.

Apabila memperkatakan tentang penempatan manusia maka kita tidak dapat melarikan diri daripada memperkatakan lanskap budaya kerana penempatan manusia adalah sebahagian daripada lanskap budaya dan lanskap budaya itu sendiri merupakan hasil daripada kegiatan manusia di sesebuah lokasi. Dalam lanskap budaya itu sendiri meliputi kajian bentuk muka bumi mikro, tumbuhan semula jadi, bangunan dan pola – pola penempatan (Vogeler, 1996). Tetapi, penyelidik berpendapat bahawa lanskap budaya membawa makna sebagai segala unsur yang wujud di atas permukaan bumi hasil daripada kegiatan manusia dalam menjalankan kehidupan harian dalam berinteraksi dengan persekitaran untuk  menjalankan kegiatan ekonomi sebagai manusia ekonomi dan dalam konteks ini penyelidik berpendapat dalam konteks hubungan penempatan manusia dengan lanskap budaya tumpuan perbincangan ini hanya merujuk pada lanskap budaya di atas permukaan bentuk muka bumi fizikal yang mengalami perubahan.

Walau bagaimanapun, persoalan yang timbul di sini ialah di antara dua unsur tadi iaitu objek manusia dan lanskap budaya perlu ditentukan unsur dominan yang  mendominasikan unsur lain. Oleh  yang demikian, penyelidik menganggap bahawa manusia merupakan unsur dinamik yang mampu mendominasikan persekitaran fizikal untuk kepentingannya yang bertitik tolak daripada pendapat para sarjana yang menyokong pemikiran serba kemungkinan  yang menyatakan bahawa manusia mempunyai peranan yang positif dan boleh mengatasi rintangan atau sekatan alam sekitar dan dalam pada itu pun, penyelidik bersetuju pendapat De La Blache (1926) yang menyatakan bahawa perbezaan komuniti yang terdedah pada alam sekitar fizikal yang serupa boleh dijelaskan oleh perbezaan sistem nilai, sifat dan kebudayaan.

Dalam pada itu juga, penyelidik tertarik  dengan kenyataan Ratzel (1892) yang menyatakan bahawa manusia merupakan komuniti yang sama dengan haiwan dan tumbuhan terpaksa bertungkus - lumus untuk hidup. Memang bertepatan sekali kerana dengan jelas manusia dari sejak dahulu lagi berusaha bertungkus – lumus untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal tetapi dalam konteks perbincangan ini penyelidik nampak bahawa ‘bertungkus – lumus’ di sini merujuk pada usaha manusia mengatasi halangan persekitaran fizikal dan bukan sekadar menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal yang dianggap dominan menentukan kehidupan manusia. 

Oleh yang demikian, berbalik pada topik perbincangan penyelidik berpendapat bahawa penempatan manusia sememangnya mempunyai hubungan dengan lanskap budaya yang mana kedua – dua unsur ini saling berkaitan. Dengan itu dalam perbincangan ini penyelidik akan menggunakan Lanskap budaya Kawasan bandar Sungai Petani sebagai isu dalam memperkatakan hubungan penempatan manusia dengan lanskap budaya.

Pengaruh landskap budaya terhadap penempatan manusia dalam kajian kes Bandar Sungai Petani.

Bandar ini terletak di tebing Sungai Petani dan nama bandar ini juga mengambil sempena nama sungai berkenaan yang merupakan cawangan Sungai Merbok. Merupakan bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar yang mengalami pembangunan pesat sejak tahun 1997 dan kini bandar Sungai Petani mempunyai 2 buah bandar Satelit iaitu Bandar Laguna Merbok dan Bandar Aman Jaya yang melibatkan 271,738 penduduk (Pejabat Daerah Kuala Muda/Yan, 2000). Dari segi fizikal, bandar ini terletak di kawasan dataran yang mempunyai ketinggian lebih kurang 15 meter dari permukaan laut. Dihubungkan dengan kawasan lain dengan sistem pengangkutan darat sama ada dari utara atau selatan, timur dan barat. Bandar ini boleh dimasuki melalui lebuh raya Utara Selatan dengan menggunakan pintu masuk Sungai Petani Utara atau Selatan.

Dari aspek keistimewaan lokasi, sememangnya Bandar Sungai Petani mempunyai kedudukan yang istimewa yang terletak di tengah – tengah perjalanan di antara Kedah Utara dengan Selatan yang mana bandar ini menjadi bandar persinggahan di samping sebagai pusat pentadbiran dan agihan barangan dan perkhidmatan.

Lanskap budaya Bandar Sungai Petani.

Penyelidik berpendapat bahawa ukuran asas untuk menilai maju mundur sesebuah kawasan adalah bertitik tolak pada lanskap budaya kawasan berkenaan. Ini bermakna semakin banyak pembangunan di sesuatu kawasan dengan kewujudan pelbagai lanskap budaya maka andaian seseorang itu ialah kawasan berkenaan telah maju.

Dalam memperkatakan lanskap budaya di Bandar Sungai Petani, penyelidik rasa sudah memadai penyelidik mengambil contoh – contoh lanskap budaya yang utama sahaja sebagai outline pada lanskap budaya yang begitu kompleks di kawasan ini. Secara amnya, bandar ini mempunyai perhubungan darat yang sangat maju dan telah dinaiktaraf sejak tahun 1999 yang menghubungkan dengan kawasan lain.

Lanskap penting di kawasan ini boleh  dibahagikan dalam beberapa zon iaitu pusat bandar yang terdiri daripada bangunan pentadbiran dan perniagaan, zon penempatan yang terletak di kawasan sekitar yang mempunyai kepelbagaian kelas, kawasan pertanian yang terletak 10 kilometer dari kawasan pusat bandar, kawasan perindustrian yang terletak di beberapa kawasan seperti Bakar Arang, Taman Desa, Aman Jaya dan beberapa kawasan lain.

Dalam pada itu corak lanskap budaya yang semakin jauh dari pusat bandar penyelidik dapati dibina penempatan – penempatan  manusia, bangunan perniagaan sederhana, kawasan  perindustrian dan jarak bangunan semakin jauh di antara satu dengan lain. penyelidik berpendapat bahawa penumpuan kawasan bangunan pentadbiran dan bangunan utama di pusat bandar ini sangat signifikan terhadap kawasan penempatan di bandar Sungai Petani yang mana penyusunan lanskap budaya bangunan di pusat bandar membolehkan penduduk sekitar menjalankan kegiatan urusan harian dengan mudah tanpa banyak membuang masa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Jadual 1: Senarai bangunan pentadbiran utama yang diletakkan di Pusat bandar

.

Walau bagaimanapun, jelas kelihatan bahawa bangunan yang dibina pada peringkat awal tidak teratur serta tidak seragam serta kelihatan uzur. Dari segi kepentingan, bangunan yang dibina di kawasan bandar Sungai Petani mempunyai lanskap yang teratur khususnya bangunan baru dan jarak di antara bangunan juga adalah luas berbanding dengan kawasan pusat bandar yang mana kedudukan bangunan yang terlalu rapat.

Gambar 1 : Bangunan – bangunan perniagaan utama dan bangunan pentadbiran Bandar Sungai Petani, Sabli (2001).

Kewujudan setiap bangunan ini tidak  dibina dalam tahun yang sama. Ini disebabkan oleh keperluan semasa mengikut peredaran masa. Dalam konteks ini penyelidik berpendapat bahawa faktor masa sangat berperanan dalam konteks perkembangan aktiviti manusia yang membawa pembangunan. Pembinaan bangunan – bangunan seperti yang dapat dilihat dalam gambar di atas mempunyai peranan dan pengaruh dengan kawasan penempatan di kawasan ini. Bangunan – bangunan ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, menjadi pusat membeli – belah dan juga pusat pentadbiran tetapi juga mempengaruhi pertumbuhan kawasan penempatan manusia. 

Walaupun, Corbett (n.d.) menyatakan bahawa ruang masa mengehadkan aktiviti manusia tetapi penyelidik berpendapat bahawa ruang masa bukanlah  penentu muktamad kerana penyelidik yakin bahawa manusia menghasilkan lanskap budaya seperti bangunan untuk kegunaan bagi memenuhi keperluan semasa.

Hubungan landskap budaya bandar Sungai Petani dengan penempatan kawasan sekitar.

Seperti yang penyelidik katakan tadi bahawa ukuran asas melihat status kemajuan sesebuah bandar adalah dengan melihat  pada keadaan lanskap budaya. Dengan melihat pada unsur ini maka seseorang sudah dapat unjuran penilaian sepintas lalu tentang kemajuan sesebuah kawasan. Oleh yang demikian, lanskap budaya di sesuatu kawasan boleh dilihat hubungannya dengan unsur lain dalam ruang berkenaan.

Sosial Budaya.

Dalam topik ini sebenarnya impak peletakan lanskap budaya sangat besar terhadap peletakan status sosial. Dalam hal ini jelas kerana adanya kemudahan yang mudah didapati dalam lingkungan kawasan penempatan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk. Bangunan pentadbiran kerajaan yang dekat memudahkan urusan harian penduduk berkaitan dengan pentadbiran, mudah mendapatkan bekalan makanan dan juga perkhidmatan lain seperti kemudahan perbankan dan pusat – pusat kesihatan. 

Malahan kemudahan kompleks membeli – belah yang begitu banyak di kawasan bandar ini seperti dalam Gambar 1 telah memberikan bukan sahaja peluang perniagaan tetapi juga telah memberikan kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan keperluan. Malahan pusat –  pusat membeli – belah ini memainkan peranan yang sangat penting dalam penyediaan barangan keperluan pengguna seperti yang dinyatakan oleh Thomas & Bromley (2003) bahawa kemudahan kompleks membeli – belah di sesuatu kawasan merupakan tarikan kepada penduduk sekitar berkunjung ke pusat bandar.

Selain daripada itu, kekerapan pergerakan manusia dalam ruang permukaan bumi juga meningkat. Ini dapat dilihat di bandar Sungai Petani sendiri yang mana penduduk masih kelihatan berada di tempat – tempat tertentu pada waktu malam khususnya kawasan gerai makanan dan sebagainya.

Di samping itu juga, lanskap budaya di Bandar Sungai Petani ini memperlihatkan masyarakat majmuk yang terdiri daripada masyarakat India, Cina dan Melayu yang  mengamalkan cara hidup yang  unik tetapi dalam keadaan harmoni.

Dalam pada itu, fenomena seumpama ini dapat dilihat berdasarkan pada kewujudan lanskap budaya bagi bangunan ibadat serta kawasan tertentu yang didominasikan oleh ras tertentu seperti kawasan Pekan Lama yang didominasikan oleh penduduk Cina manakala kawasan yang lain pula lebih  pada masyarakat majmuk. Oleh yang demikian, budaya masyarakat setempat tadi telah membentuk satu corak lanskap budaya mencerminkan kebudayaan masyarakat setempat yang bukan sahaja mempengaruhi kewujudan satu corak lanskap budaya tetapi mencerminkan penempatan manusia.

kewujudan lanskap budaya bangunan  masjid di sesuatu kawasan mencerminkan bahawa majoriti penduduk di kawasan berkenaan adalah penduduk yang beragama Islam dan kemungkinan besar penduduknya adalah berbangsa Melayu dalam konteks kawasan bandar Sungai Petani dan demikianlah selanjutnya jika didapati bangunan tokong. Kadang kala lanskap budaya itu juga  mencerminkan status ekonomi, sosial dan aktiviti penduduk kawasan berkenaan. 

Gambar 2 : Lanskap budaya mencerminkan status ekonomi penduduk. Gambar : Augustine Towonsing, 14 November 2003.

Jika berdasarkan contoh Gambar 2 di atas, jelas lanskap budaya ini mencerminkan penempatan ini adalah penempatan luar bandar di kawasan kampung. Dari segi ekonomi, boleh andaikan penduduk di kawasan berkenaan berada pada ekonomi peringkat bawah.

Manakala dalam contoh Gambar 3 pula jelas lanskap budaya ini berada di kawasan penempatan terancang dan boleh diandaikan bahawa penduduk yang tinggal  di kawasan ini mempunyai status ekonomi yang lebih tinggi serta taraf sosial yang lebih tinggi berbanding dengan contoh Gambar 2. 

Jadi, ini dapat menjelaskan bahawa lanskap budaya mempunyai hubungan langsung dengan penempatan manusia. Justeru itu, lanskap budaya boleh digunakan sebagai ukuran asas menilai tahap kemajuan penduduk setempat.

Gambar 3 : Lanskap penempatan kelas sederhana di Bandar Laguna Merbok.

Gambar : Augustine Towonsing, 14 November 2003.

Ekonomi.

Dalam bidang ekonomi pula, lanskap budaya di kawasan ini membenarkan penduduk menjalankan kegiatan ekonomi dari skala peringkat primer sehinggalah ke peringkat yang lebih besar peringkat tertier. Pada peringkat primer, penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar seperti Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka para petani dan nelayan menjalankan kegiatan ekonomi peringkat primer yang mana hasil tadi akan di bawah ke pusat bandar untuk dijual. 

Dengan kewujudan sistem perhubungan dan pengangkutan yang semakin maju maka ekonomi penduduk juga meningkat walaupun bermula dari kelas yang paling rendah sebagai pengedar surat khabar, penjual bergerak ke peringkat yang lebih tinggi seperti gerai tetap, kedai makan, restoran seterusnya gedung membeli – belah. Kemajuan ini adalah disebabkan oleh kewujudan lanskap budaya itu sendiri.

Gambar 4 : Lanskap budaya di pusat bandar menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk yang terlibat dalam industri ekonomi peringkat primer, Sabli (2001).

Di pusat bandar pula pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan bermula dari peringkat sekunder sehinggalah peringkat tertier yang mana penduduk dari kawasan lingkungan bandar Sungai Petani datang ke bandar dengan bas, teksi atau kenderaan sendiri untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Jika dilihat dari segi penawaran barangan di kawasan pusat bandar kelihatan pelbagai barangan yang ditawarkan, restoran, kemudahan – kemudahan pusat kesihatan yang mudah didapati. Di kawasan dua kilometer dari pusat bandar barangan yang ditawarkan semakin rendah yang hanya terdapat gerai – gerai makan, pusat membaiki kereta, stesen minyak serta kedai gunting untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Walau bagaimanapun, kerana peranan pusat bandar sebagai lanskap budaya yang mempunyai hubungan langsung dengan kawasan penempatan maka Reilly, W.J (1929) menyatakan bahawa manusia akan bergerak ke kawasan bandar untuk mendapatkan atau memasarkan hasil ekonomi. Jadi, dapat disimpulkan bahawa lanskap budaya kawasan ini mempunyai perkaitan dan hubungan langsung dengan penempatan manusia.

Walau bagaimanapun, dalam konsep peletakan kawasan penempatan yang bertaraf mewah kebanyakan berada di kawasan zon luar pusat bandar seperti Bandar Laguna Merbok. Keadaan ini berlaku kerana kawasan penempatan ini mengamalkan konsep penempatan berpusat di mana  semua kemudahan diletakkan di kawasan penempatan manusia yang bukan sahaja menawarkan kemudahan pusat membeli – belah, pendidikan, perindustrian tetapi juga menyediakan pusat rekreasi (Petani Jaya Sdn. Bhd., 2003) dan untuk kes ini penyelidik mendapati bahawa peletakan kawasan penempatan mewah tidak semuanya berada di kawasan luar bandar dan penyelidik berpendapat penyebaran mengikut guna tanah bandar model Sektor (Hoyt, 1939). 

Walau bagaimanapun, berbeza dengan lanskap budaya di kawasan penempatan Bandar Laguna Merbok yang merupakan bandar satelit bandar Sungai Petani mempunyai hubungan yang lebih jelas  dengan penempatan manusia yang mana kawasan ini nampaknya lanskap budaya bandar memainkan peranan penting dalam pembentukan penempatan manusia. Keadaan ini dapat dijelaskan seperti di dalam Rajah 1 di bawah.

Rajah 1: Model Lanskap Bandar Laguna Merbok.

Sumber Pelan: Petani Jaya Sdn.Bhd, 2003.

Rajah 2 : Model Pelbagai Pusat – Lanskap Budaya Bandar Laguna Merbok.

 

Petunjuk:

1. Pusat bandar –pentadbiran dan perdagangan.

2. perindustrian ringan.

3. Penempatan kelas bawah.

4. Pusat rekreasi.

5. Penempatan kelas sederhana                                                            

6. penempatan kelas mewah.

 

Catatan:

Berdasarkan model Pelbagai Pusat Chauncy D.Haris dan Edward  L. Ullman (1945, dalam Katiman Rostam, 1988)

Berdasarkan Rajah 2 jelas lanskap budaya ini dapat mencerminkan penempatan manusia sama ada aspek kebudayaan, sosial atau ekonomi. Dalam contoh Bandar Laguna Merbok, bandar ini boleh dikatakan sebagai sebuah bandar yang ideal kerana dalam lanskap budaya dalam bandar ini telah disediakan semua kemudahan awam termasuk pasar, balai bomba, sekolah, pusat perdagangan, perindustrian ringan dan rekreasi yang memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan ini. Jika dilihat dalam model yang penyelidik sediakan jelas bahawa penyusunan lanskap budaya yang kemas dan teratur bukan sahaja memudahkan pergerakan sosial penduduk tetapi juga  memperlihatkan susunan lanskap budaya sesebuah kawasan mencerminkan organisasi hubungan lanskap itu sendiri dengan penempatan kawasan sekitar.

Kesimpulan.

Pada masa kini di mana – mana sahaja kita pergi, sama ada di kota besar, tepi laut, ke luar bandar kita melihat persekitaran fizikal telah banyak berubah. Pelbagai bentuk lanskap budaya menyambut kedatangan kita. Semua ini sekadar menyedarkan kita bahawa manusia kini mampu mengatasi halangan persekitaran fizikal dan penyelidik berpendapat bahawa selaras dengan geografi masa semakin banyak lanskap budaya yang akan diwujudkan. Dalam pada itu, lanskap budaya bukan sekadar memperlihatkan bahawa manusia mampu mengatasi halangan fizikal tetapi lanskap budaya juga menjadi ukuran penting dalam melihat kemajuan.

Dalam konteks sosiologi lanskap budaya bukan sekadar memperlihatkan status kemajuan sesebuah kawasan tetapi juga dapat mencerminkan budaya, sosial dan ekonomi penduduk setempat. Oleh yang demikian sememangnya lanskap budaya mempunyai hubungan dengan penempatan manusia. Malahan Boehm (1996) menyatakan lanskap budaya mempunyai hubungan kuat dengan antropologi dan arkeologi. Oleh itu, apa yang kita dapat simpulkan lanskap budaya merupakan gambaran asas pada struktur sosial, ekonomi dan budaya manusia yang menghuni ruang permukaan bumi. Yakni, penempatan manusia merupakan sebahagian daripada lanskap budaya itu sendiri dan lanskap budaya itu sendiri mempunyai hubungan dengan penempatan yang mencerminkan status sosial, ekonomi dan kebudayaan.

Sumber Rujukan.

Boehm, R.G (1996). Association of American Geographers : Cultural and Human Geography. (Online) Diperolehi pada 4 November 2003 dari Laman Web http://www.aag.org/Careers/Cultural_Human_Geography.html

De La Blace, V.(1926). The Geographical Tradition. Oxford : Blackwell.

Corbet, J.(n.d). Torsten Hägerstrand: Time Geography. (Online) Diperolehi pada 10 November 2003 dari Laman Web http://www.csiss.org/classics/content/29

Haris, C.D & Ullman, E.L (1945). “Model pelbagai guna.”, dalam Katiman Rostam. (1988). Pengantar Geografi Bandar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hoyt, H. (1939). “Model Sektor.”, dalam Katiman Rostam. (1988). Pengantar Geografi Bandar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pejabat Daerah Kuala Muda/Yan. (n.d). Statistik/Perangkaan. (Online) Diperolehi pada 12 November 2003 dari Laman Web http://www.kedah.gov.my/jabkedah/DKualaMuda/

Petani Jaya Sdn. Bhd. (2003). Bandar Laguna Merbok: The Resort  Township (Online).  Diperolehi pada 6 November 2003 dari Laman Web http://www.blm.com.my/

Ratzel, F. (1926). Antropologie in geography. Annals of the Association of American Geographers 53:429-40

Sabli. (2001). Sungai Petani Webpage. (Online) Diperolehi pada 5 November 2003 dari Laman Web http://www.webspawner.com/users/sungaipetani/

Thomas, C.J. & Bromley, R. D.F.(2003). Retail revitalization and small town centres: the contribution of shopping lingkages. Applied Geography ,23, 48 – 68.

Vogeler. I. (1996). Culture and Cultural Lanscapes. (Online) Diperolehi pada 5 November 2003 dari Laman Web  http://www.uwec.edu/geography/ivogeler/w188/define.htm

 

Print Friendly and PDFPrintPrint Friendly and PDFPDF

Suntingan terakhir: 06/02/2012


Respond dan komen:

Jika anda mempunyai pertanyaan atau sebarang komen mengenai kajian ini sila pos komen anda di bawah:



Creative Commons License

 

Except where otherwise noted, content on this site is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike license: http://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/3.0/.