MALAYSIAN GHOST RESEARCH IN EDUCATION

Terakhir Dikemaskini

15 February 2014 08:06:35 am



Misi

Misi utama Malaysian Ghost Research In Education adalah menyediakan satu pusat rujukan Geografi secara online dan percuma untuk semua peringkat dalam usaha memartabatkan Pendidikan Geografi sebagai satu mata pelajaran penting dalam pembangunan negara. Untuk menjayakan misi ini maka sudut pendidikan di dalam laman ini akan menyediakan pelbagai bahan pembelajaran dari semasa ke semasa.


Ruangan Pendidikan

Malaysian Ghost Research in Education adalah sebahagian daripada bahan pembelajaran dan juga bahan penyelidikan yang dijalankan melalui projek-projek kajian Geografi yang akan diadakan dari semasa ke semasa di samping bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan dengan pendidikan dalam pelbagai bidang termasuklah kesusasteraan, ICT dan Geografi.


Translation Service

Now you can read our website in your own language. Please choose your own language and the translation service do the rest for you.


Page View Counter

Page View :


Pembangunan di Malaysia dan implikasi pada pembangunan wilayah.

February 07th, 2012 by Augustine Towonsing

Latar Belakang Pembangunan Malaysia.

Pembangunan bermakna usaha mencapai kemajuan (Kamus Dewan, 2000) atau perubahan mengikut skala masa (Macmillan English Dictionary, 2002). Oleh yang demikian, dalam konteks pembangunan sesebuah wilayah maka dapat dikatakan bahawa pembangunan merupakan usaha menambah dan membaiki taraf ekonomi sesebuah kawasan yang akan berkembang mengikut masa. Ini bermakna pembangunan sesuatu wilayah hanya dapat dilihat mengikut skala masa.

Walau bagaimanapun, dalam konteks pembangunan negara ini jelas bahawa proses pembangunan telah melalui beberapa tahap yang mana pembangunan telah diasas oleh pihak British walaupun berlaku ketidakseimbangan akibat dasar kerajaan British yang lebih mementingkan sumber ekonomi berbanding sosial. Dalam perkembangan pembangunan di negara ini pemerintahan penjajah British adalah penting kerana aktiviti ekonomi koloni telah mewujudkan pembangunan ruang yang tidak merata yang sebelum ini tidak pernah dialami. Sungguhpun bentuk "ruangan struktur tradisional" sememangnya sudah sedia wujud pada zaman sebelum koloni, namun kedatangan pemerintah koloni bertindak sebagai penamat utama struktur ruangan dan komersial sedia ada masyarakat  peribumi (Universiti Sains Malaysia, n.d.).

Dalam pada itu, tindakan British  mengasingkan kegiatan ekonomi Tanah Melayu merupakan satu usaha supaya orang Melayu tidak merasa tergugat yang menjalankan kegiatan ekonomi tradisional, orang Cina terlibat dalam aktiviti perlombongan dan orang India pula terlibat dengan perladangan getah. Sehubungan dengan itu, kesan daripada pengasingan ini berlaku ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dalam kalangan etnik khasnya penduduk Melayu yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar.

Sebagai kesan akibat ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan penduduk Tanah Melayu telah mencetuskan sejarah hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei, 1969.  Dalam aspek ekonomi, kesan penjajahan Inggeris telah menghasilkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum yakni orang Melayu  di kampung, imigran Cina di bandar dan India di estet. Akibatnya orang Melayu hidup miskin manakala Cina kaya di bandar (Fuad, 2004).

Ketidakseimbangan inilah yang telah membawa satu proses perancangan yang sistematik untuk memastikan pembangunan negara dapat dinikmati secara sama rata oleh semua penduduk. Walaupun begitu, faktor penting wujudnya kestabilan politik selama ini yang memungkinkan negara ini menikmati pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya yang boleh dikatakan ‘lumayan’ berbanding dengan beberapa negara membangun yang lain. Tentu ada sebab mengapa perpaduan etnik di negara yang komposisi etnik penduduknya  boleh dikatakan agak ‘kompleks’ dan cukup ‘sensitif’ dapat dipelihara selama ini. Antara ‘formulanya ialah struktur kuasa politik yang dikongsi sama (Hassan Ahmad, 1998).

Peranan Kerajaan Menentukan Hala Tuju Pembangunan.  

Hala tuju pembangunan banyak dipengaruhi oleh dasar kerajaan dan juga sejarah sesebuah negara contohnya negara Malaysia yang mana peristiwa 13 Mei telah menjadikan proses pembangunan menjadi mantap. 

Oleh yang demikian, dalam pembangunan mengikut Islam pembangunan sesebuah negara adalah di bawah tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan peluang yang sama rata kepada penduduknya untuk memenuhi keperluan sosial dan juga ekonomi (Muhammad Asad, 1980). Di  samping itu juga, kerajaan juga mempunyai tiga fungsi utama iaitu fungsi peruntukan alokasi (allocation), agihan (distribution), dan kestabilan (stabilization) (Richard  A, Musgrave & P. B. Musgrave, 1973).

 Di samping itu juga, kerajaan boleh  menjadi lebih cekap dan berkesan jika mengubah daripada pendekatan tradisi kepada pendekatan yang lebih efisien (Osborne & Gaebler, 1993) seperti dalam Jadual 2.0.

Jadual 2.0 : Pendekatan yang harus digunakan oleh kerajaan untuk menentukan peranan dalam  

Sumber: Disesuaikan daripada Osborne & Gaebler, 1993.

Dalam perancangan pembangunan negara khasnya dalam konteks Malaysia, kerajaan telah pun melaksanakan 8 Rancangan pembangunan yang dikenali sebagai Rancangan Malaysia termasuk Rancangan Malaysia ke-8 yang akan berakhir pada tahun 2005 (Unit Perancang Ekonomi Negeri, n.d.).

Hala Tuju Strategi Pembangunan Wilayah dan Implikasi pada Pembangunan Wilayah Dalam Konteks Malaysia. 

Sesetengah pihak berpendapat bahawa strategi pembangunan bergantung penuh pada pemimpin yang mana dalam konteks pembangunan negara Malaysia strategi pembangunan telah dicoraki dasar bekas perdana menteri masa itu iaitu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mana beliau telah merangka dasar pembangunan masa depan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara industri melalui Dasar Pandang Ke Timur. Ia bertujuan memindahkan teknologi canggih dan terkini dari Jepun dan Korea Selatan ke Malaysia dengan penghantaran pelajar-pelajar yang menuntut dalam bidang sains, teknologi dan pengurusan (Bulletin Malaysia, 2003). 

Hala Tuju Strategi Pembangunan Wilayah.  

Untuk melihat hala tuju strategi pembangunan wilayah dan implikasinya terhadap pembangunan wilayah di negara ini, pengkaji telah membuat kajian ke atas perancangan negara melalui Rancangan Malaysia Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-5, Rancangan Malaysia Ke-6 dan Rancangan Malaysia Ke-7.

Sehubungan dengan itu juga, pengkaji akan melihat hala tuju pembangunan menerusi kajian ke atas bidang pertanian, sumber manusia, pelancongan dan pengangkutan. Teras utama pembangunan wilayah akan ditumpukan pada meningkatkan keseimbangan wilayah melalui pembangunan pesat negeri kurang maju.

Penekanan dasar pembangunan menerusi rancangan boleh dilihat menerusi Jadual 3.0 yang mana rancangan ini mempunyai pertalian dengan dasar pembangunan sebelum.

Jadual 3.0: Penekanan Dasar Pembangunan Melalui Rancangan Malaysia Ke-4 hingga Ke-7.

Sumber : Disesuaikan daripada Fuad, 2004.

Jika dilihat sepintas lalu Jadual 3.0 di atas jelas bahawa Rancangan Malaysia ke-4 dan ke-5 masih menekankan penyusunan semula masyarakat yang dilihat sebagai kesan akibat jurang perbezaan pendapatan dalam kalangan penduduk. Walau bagaimanapun, bagi Rancangan Malaysia ke-6 lebih kepada pembangunan seimbang tetapi dalam Rancangan Malaysia ke-7 pembangunan seimbang adalah lebih jelas.

Hala Tuju Strategi Pembangunan Sumber Manusia.

Pembangunan sumber manusia adalah penting sebagai asas mencapai matlamat pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama (Fuad, 2004). Ini bermakna pembangunan sumber manusia adalah perlu bagi meningkatkan daya saing, pengetahuan dan juga kapasiti kerja bagi pelbagai sektor. Kemampuan dan keupayaan Malaysia memperoleh dan mengguna pengetahuan dan teknologi baru akan ditentukan oleh kualiti sumber manusianya. Tenaga buruh yang cekap, berdisiplin dan berkemahiran tinggi dengan nilai etika dan moral yang kukuh serta sanggup berusaha untuk mencapai kecemerlangan perlu dibangunkan. Tumpuan yang lebih akan diberi pada pembangunan sumber manusia, produktiviti serta keupayaan menyerap dan mengguna pengetahuan. Pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti yang berasaskan kecekapan dan kaya dengan kandungan pengetahuan membolehkan negara mencapai pertumbuhan yang mapan dengan inflasi yang rendah dan harga yang stabil. Tambahan pula, ianya membuka peluang yang terbaik untuk meningkatkan dengan lebih cepat taraf hidup rakyat Malaysia bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 (Prime Minister Office, n.d)

Tumpuan pembangunan sumber tenaga manusia dalam Rancangan Malaysia Kelima (RML) ialah meninggikan produktiviti tenaga buruh melalui pendidikan dan latihan serta meningkatkan kemahiran untuk memenuhi perkembangan keperluan tenaga manusia negara. Untuk mencapai matlamat tersebut, sistem pendidikan dan latihan telah diubahsuai mengikut keperluan tenaga manusia pada masa hadapan. Dalam tempoh kajian semula, pertumbuhan guna tenaga yang lembap pada tahun 1985/86 berikutan daripada pertumbuhan ekonomi yang perlahan telah pulih semula pada tahun 1987 dan 1988 setelah keadaan ekonomi bertambah baik. (Prime Minister Office, n.d.)

Sungguh pun demikian usaha untuk  memperkukuhkan sektor awam  diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RM6) dan untuk mencapai matlamat ini, langkah-langkah fiskal dan kewangan telah ditumpukan dalam bidang pengurusan sumber secara lebih bijaksana bagi memastikan pembangunan yang berterusan. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Lapan (RM8), pembangunan sumber manusia terus diberi  keutamaan untuk menyokong pelaksanaan pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti yang memerlukan tenaga manusia berkemahiran tinggi, mudah dilatih dan berpengetahuan. Penekanan terus diberi bagi meningkatkan peluang mendapatkan pendidikan di semua peringkat sejajar dengan pendemokrasian dasar pendidikan. Di samping itu, program pendidikan dan latihan ditumpukan kepada memperbaiki kualiti kaedah pengajaran dan pembelajaran,  latihan perguruan  dan perkhidmatan sokongan pendidikan (Prime Minister Office, n.d.)

Walaupun lebih daripada 460,000 pekerjaan telah diwujudkan dalam tempoh 1986-88, kadar pengangguran  masih tetap tinggi berikutan pertumbuhan pesat penawaran buruh. Berhubung dengan pembangunan sumber tenaga manusia, program-program di institusi pendidikan dan latihan telah disusun semula termasuk pengubahsuaian kurikulum dan menjalin kerjasama rapat dengan perindustrian  untuk menambah penawaran tenaga manusia terlatih dan mahir di semua peringkat. Kadar perwujudan pekerjaan dijangka meningkat dalam tahun-tahun terakhir RML dengan prospek pertumbuhan yang bertambah baik, terutamanya bagi sektor-sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan. Tumpuan untuk mewujudkan tenaga buruh berkemahiran tinggi dan produktif akan diteruskan memandangkan tenaga kerja sedemikian amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dinamik. Pada masa yang sama, perhatian akan diberi untuk meningkatkan keberkesanan sistem latihan kemahiran supaya dapat bergerak balas segera terhadap perubahan permintaan kemahiran 

 Sebagai kesimpulan, pembangunan  sumber manusia sangat penting bagi pembangunan negara yang mana program pendidikan dan latihan akan ditumpukan pada  meningkatkan kualiti dan peluang serta mengurangkan jurang prestasi antara kawasan luar bandar dan bandar. Strategi pendidikan dan latihan bertujuan melahirkan pelajar berpengetahuan luas, mempunyai kemahiran berfikir dan berinovatif yang seterusnya menyumbang pada ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Dalam hubungan itu, sistem penyampaian pendidikan dan latihan akan diperkukuh untuk mewujudkan lebih ramai tenaga manusia terlatih, mahir dan berpengetahuan selaras dengan kemajuan teknologi.  Sumbangan pembangunan sumber manusia melalui program pendidikan dapat dilihat melalui Jadual 3.2.0 yang merupakan bekalan tenaga kerja dalam tempoh 1995 hingga 2005. 9

Jadual 3.2.0:    Enrolmen Dan Graduan Di Peringkat Ijazah Pertama Dari Institusi Pendidikan Awam.

Nota:  1 Termasuk pengajian Islam, bahasa, kesusasteraan, kebudayaan Melayu, sains sosial, sains perlukisan dan reka bentuk. Termasuk perakaunan, pengurusan perniagaan, ekonomi sumber dan perTermasuk sains rumah tangga dan pembangunan manusia. 4 Merujuk kepada biologi, kimia, fizik daTermasuk farmasi, sains gunaan, pengajian alam sekitar, teknologi makanan serta sains dengan pendidik pengurusan harta. 

Sumber : (Prime Minister Office, n.d.)

Hala Tuju Strategi Pembangunan Pertanian.

 Walaupun sektor swasta telah  diberi peranan untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara, namun Kerajaan masih memainkan peranan penting dalam bidang-bidang berkaitan pembangunan sosial dan keselamatan. Ini kerana sektor swasta mengutamakan keuntungan dan akan melabur dalam sektor-sektor yang menghasilkan pulangan tinggi. Sebaliknya sektorsektor yang pulangannya rendah seperti sektor pertanian tidak diambil perhatian (Wan Abdul Aziz, 2004). Tambahan pula Pembangunan sektor pertanian dalam tempoh RM6  terus  berpandukan pada Dasar Pertanian Negara dan peralihan ekonomi negara  ke arah perindustrian dan kelemahan struktur yang wujud dalam sektor pertanian, pendekatan yang lebih strategik akan diamalkan untuk memampankan  pertumbuhannya dalam tempoh RM7 dan seterusnya. 

Untuk itu, strategi dan program sebagaimana yang terkandung dalam Dasar Pertanian Negara termasuk dasar guna tanah akan dikaji semula. Bagi meningkatkan daya saingan dan kemapanan sektor pertanian, kerajaan di antara lainnya akan meneliti kemungkinan menarik balik pemberian subsidi secara beransur-ansur terutamanya dalam bidang yang kos pengeluarannya semakin meningkat. Usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P) ke atas aktiviti hiliran akan dipergiatkan untuk menghasilkan lebih banyak keluaran akhir dan seterusnya meningkatkan kegunaan komoditi pertanian (Prime Minister Office, n.d.). Sebagai kesan perubahan ini maka dalam RM6 Oleh kerana penekanan pada pembangunan tanah baru akan dikurangkan, FELDA yang dahulunya menerima peruntukan yang tertinggi,  akan diperuntukkan lebih kurang RM1,304 juta. Penekanan pada pembangunan in-situ sebagai strategi yang berkesan dari segi kos akan  disokong dengan menambah peratusan peruntukan, terutamanya program PPPB, penanaman semula, pemulihan tanah, pengairan dan saliran dan projek tebatan banjir. Bagi memudahkan pembangunan pertanian,  program-program khidmat sokongan akan terus menerima peruntukan yang sewajarnya dan yang jelas dalam RM7 penekanan lebih kepada pembangunan  in-situ (Prime Minister Office, n.d).

Walau bagaimanapun, dalam RM8 memperlihatkan hala tuju sektor pertanian melalui perubahan positif apabila sektor pertanian menjadi sektor penting pada ekonomi negara. Dalam tempoh kajian semula, sektor ini berkembang 1.5 peratus berikutan peningkatan keluaran kelapa sawit dan komoditi makanan. Hasil eksport pertanian meningkat sebanyak 26 peratus daripada RM23 bilion pada tahun 2000 kepada RM 29 bilion pada tahun 2003 disumbangkan oleh kenaikan harga komoditi utama dan makanan (Dr. Mahathir Mohamad, 2003)

Sebagai kesimpulan, pada masa hadapan sektor pertanian semakin cerah dengan perubahan pembangunan ke atas guna tanah pertanian yang dikaji semula yang memperlihatkan perubahan positif. 123.2.2 Hala Tuju Strategi Pembangunan Infrastruktur. Pembangunan bagi sektor ini termasuklah pembekalan air, tenaga, sistem pengangkutan dan kemudahan lain di mana kerajaan telah meletakkan sektor ini sebagai sangat penting  bagi memenuhi keperluan di samping menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi yang lain. 

Dalam RM6 kelemahan penyediaan kemudahan infrastruktur mendapat bantuan daripada sektor swasta bagi mempercepatkan penambahan dan penyediaan infrastruktur (Prime Minister Office, n.d.) yang mana kelambatan menyediakan kemudahan infrastruktur boleh menyebabkan kesan negatif kepada sektor ekonomi dan sosial (Tarumingkeng, 2001)

Sehubungan dengan itu mutu infrastruktur sangat penting bagi  mewujudkan persekitaran yang kondusif  bagi inisiatif swasta serta untuk menggiatkan pembangunan industri yang berdaya saing bagi membantu industri tempatan menghadapi persaingan yang lebih hebat dengan meningkatkan usaha liberalisasi perdagangan (Institute for Development Studies, n.d). Oleh yang demikian, bagi mencapai matlamat ini kerajaan telah merancang projek infrastruktur bagi memenuhi keperluan semasa khas dalam RM8 seperti dalam Jadual 3.2.2.

Walaupun kemajuan ekonomi diberi keutamaan, namun komitmen terhadap keperluan sosial tidak boleh diketepikan. Pembelaan rakyat termiskin dan mereka yang berada di luar bandar terus mendapat perhatian. Program sosioekonomi bagi menangani masalah  kadar kemiskinan yang agak tinggi dan penyediaan infrastruktur, rumah kos rendah dan sederhana akan terus  dipergiatkan bagi kemajuan yang seimbang (Musa, 2004).

Jadual 3.2.2: Jumlah peruntukan dan bilangan projek bagi memenuhi keperluan infrastruktur.

Sumber data: Laporan Tahunan Kementerian Kerja Raya 2000/2001

Hala Tuju Strategi Pembangunan Pelancongan.

pelancongan mempunyai potensi sebagai sumber pendapatan tukaran asing, pelaburan, guna tenaga serta pembangunan sumber-sumber ekonomi, berbagai-bagai langkah yang telah diambil bagi tempoh RM5 akan terus dilaksanakan. Penekanan diberikan terhadap penggabungan usaha-usaha penggalakan dan pemasaran untuk kedua-dua pasaran asing dan tempatan, meningkatkan mutu daya tarikan, kemudahan dan perkhidmatan yang penting, mempertingkatkan kemahiran yang diperlukan serta menyenangkan pergerakan pelancong datang ke Malaysia dan sewaktu berada di negara ini.

Walau bagaimanapun, dalam RM6 Bagi mempercepatkan lagi kadar pembangunan industri pelancongan beberapa produk sedang dimajukan. Produk-produk tersebut termasuklah tempat-tempat peranginan baru yang indah di tasik dan empangan, pulau,  pantai, air panas dan gua serta pembangunan SPA kesihatan, marin, padang golf dan aktiviti lain yang berkaitan dengan sukan dan istirahat. Selain daripada menambah penginapan yang mampu dibayar seperti hotel yang berharga murah dan sederhana, kawasan perkhemahan, rumah rehat, medan karavan dan chalet di destinasi pelancongan terpilih, usaha memperbaiki dan meningkatkan kemudahan penginapan yang sedia ada akan dilaksanakan. Bagi tujuan menyediakan berbagai tarikan kepada pelancong, perhatian yang lebih besar akan diberi kepada pemuliharaan dan pemugaran bangunan dan kawasan tinggalan sejarah serta pembangunan industri kraf tangan (Prime Minister Office, n.d).

Oleh yang demikian, jelas bahawa hala tuju bagi sektor ini mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dan peruntukan bagi sektor ini juga telah ditambah di dalam RM7 dan RM8 seperti yang ditunjukkan oleh Jadual 3.2.3 di bawah.

Sumber: Prime Minister Office, n.d.

Implikasi hala tuju pembangunan sektor pelancongan, infrastruktur, sumber manusia dan pertanian  kepada ketidakseimbangan pembangunan.

Berdasarkan perbincangan dalam 4 sektor yang telah dibincangkan, jelas bahawa hala tuju pembangunan di negara ini lebih pada pengurusan sumber secara mapan. Malahan, jika dilihat dalam sektor pertanian yang sebelum ini tidak mendapat perhatian tetapi kini sektor ini  mendapat perhatian hasil daripada kesan sumbangan bidang ini dalam KNK khasnya tanaman kelapa sawit. Sebagai contoh, Hasil eksport pertanian meningkat sebanyak 26 peratus daripada RM23 bilion pada tahun 2000 meningkat RM 29 bilion pada tahun 2003 disumbangkan oleh kenaikan harga komoditi utama dan makanan. Eksport barangan makanan yang lebih baik adalah kesan daripada peningkatan pelaburan dalam pengeluaran makanan berskala besar dan pembaikan kualiti yang  dicapai dalam konteks pendekatan MOA Incorporated (Mahathir Mohamad, 2003). 

Demikian juga dalam sektor pelancongan  juga telah mendapat perhatian dan yang telah membawa pembangunan infrastruktur telah ditambah, aspek sumber manusia juga diambil perhatian yang sememangnya mempunyai kesan ke atas pembangunan wilayah. Malahan, pembangunan sektor pertanian dan pelancongan yang merupakan produk penting kawasan luar bandar memperlihatkan bahawa hala tuju pembangunan ke arah keseimbangan pembangunan menjadi agenda penting pada pembangunan negara dalam rancangan negara pada masa akan datang. 

Dalam pada itu, walaupun kemajuan ekonomi diberi keutamaan, namun komitmen terhadap keperluan sosial tidak boleh diketepikan yang mana pembangunan di kawasan luar bandar juga diambil perhatian sama penting (Musa, 2004) yang membuktikan bahawa hala tuju pembangunan negara ke arah pembangunan mapan.

Kesimpulan.

 Sebagai kesimpulan, dalam usaha kerajaan menjadikan negara mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh tetapi pembangunan disebarkan sehingga ke kawasan luar bandar melalui pembangunan sektor pertanian dan juga pelancongan di samping mengadakan infrastruktur yang mencukupi membuktikan bahawa hala tuju pembangunan negara ini semakin matang.  Malahan, kerajaan memastikan manfaat daripada pembangunan disalurkan kepada semua lapisan masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan sosial yang mencukupi dan berkualiti, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan golongan yang kurang upaya, yang ada keperluan khusus (Institute for Development Studies, n.d.). Tetapi apa yang penting ialah Malaysia hari ini tetap bebas dan ekonominya dikuasai sepenuhnya oleh kita sendiri seperti kata bekas perdana Menteri yang berkata:

“...Malaysia hari ini tetap bebas dan ekonominya dikuasai oleh  kita sendiri sebabnya ialah kerana tidak ramai rakyat yang belot yang secara  langsung atau tidak langsung bersubahat dengan orang asing. Kerana ini kita dapat memulihkan ekonomi negara jauh lebih baik daripada negara-negara yang mendapat pinjaman dan "bantuan" daripada pihak asing. Dunia sekarang, termasuk pengkritik yang mencemuh kita, terpaksa akui hakikat ini. Cuma ada segelintir orang di Malaysia yang buta hati kerana benci dan tidak dapat melihat kenyataan di depan mata...

Dr. Mahathir Mohamad, 2003.

SUMBER RUJUKAN

Fuad.(2004). Politik Tanah Melayu Selepas Kemerdekaan. (Online) Diperolehi pada 12 November, 2004 dari Laman Web http://members.tripod.com/~fuad_2/tajuk4.htm

Hassan Ahmad. (1998). Perpaduan Bangsa dan Kemajuan Negara. (Online) Diperolehi pada 13 November, 2004 dari Laman Web http://www.dbp.gov.my/dbp98/majalah/budaya99/db08bic.htm

Institute for Development Studies. (n.d.). Rancangan Malaysia Ke Lapan. (Online) Diperolehi Pada 12 November, 2004 dari Laman Web http://www.ids.org.my/planpolicy/fokus.htm

Macmillan English Dictionary. (2002). Macmillan Publishers Limited. p.379

Mahathir Mohammad. (2003). Kajian Separuh Penggal RM8. (Online) Diperolehi Pada 12 November, 2004 dari Jabatan Pertanian Laman Web http://agrolink.moa.my/doa/TunDrM'sMotion-Usul%20MTR-RM8.htm

Muhammad Asad.  (1980). The Principles of State and Government in Islam. Dar-AlAndalus, Gibraltar.

Musa Haji Aman. (2004). Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah. Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Jabatan Ketua Menteri, Kota Kinabalu.

Musgrave, R. A & Musgrave, P.B. (1973). Public Finance in Theory and Practice, McGraw Hill.

Osborne, D & Gaebler, T. (1993).  Reinventing Government: How The Entrepreneurial Spirit Is Transforming The Public Sector. A Plume Book.

Prime Minister Office. (n.d.).  Rancangan Malaysia. (Online) Diperolehi pada 10 November, 2004 dari Laman Web http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/opp3/kan1.pdf.

___________________.(n.d.). Kajian Semula Rancangan Malaysia Ke Lima (RML) (1986-1990). (Online) Diperolehi pada 9 November, 2004 dari Laman Web http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/

Rancangan.nsf/c510367f425395614825673

___________________.(n.d.). Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Enam (1991 – 1995). (Online) Diperolehi Pada 10 November, 2004  dari Laman Web http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/

Rancangan.nsf/e41c5915b8875bd64825673

___________________.(n.d.).  Rancangan Malaysia Ke Tujuh (RMT).  (Online) Diperolehi pada 11 November, 2004. Dari Laman Web http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/

Rancangan.nsf/e2eb45b5229534fe4825673119

___________________.(n.d.).  Kajian Rancangan Malaysia Ke Tujuh (RMT). (Online) Diperolehi pada 11  November, 2004. Dari Laman Web http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/KRM7/mtr_chap8.pdf

___________________.(n.d.).  Rancangan Malaysia Ke Lapan (RM8).  (Online) Diperolehi Pada 12 November, 2004 dari Laman Web http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/RM8/kan4.pdf

Kamus Dewan. (2000). Kuala Lumpur: DBP. p.103

Tarumingkeng, R.C. (2001). Strategi Penyiapan Sumber Daya Manusia Propinsi Sulawesi Utara Pada Era Autonomi. (Online) Diperolehi Pada 9 November, 2004 dari Laman Web http://tumoutou.net/OTDA/SEMINAR%20SULUT27Jan01.htm

Unit Perancang Ekonomi Negeri. (n.d.).  Peranan UPEN dalam Konteks Pembangunan. (Online) Diperolehi pada 11 November, 2004 dari Kerajaan Negeri Kelantan di Laman Web http://www.kelantan.gov.my/upen/peranan.htm

Universiti Sains Malaysia.(n.d.). Semenanjung Malaysia: Pembangunan Ekonomi dan Ketidaksamaan Wilayah, 1874-1990.(Online) Diperolehi Pada 12 November, 2004 dari Universiti Sains Malaysia Laman Web http://www.lib.usm.my/press/MOS/bab2.html

Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah. (2004). “Peranan Kerajaan Dalam Pembangunan Negara.”  Seminar    Indeks-indeks Petunjuk Pembangunan dari Prospektif Islam. 28 – 29 Ogos, 2004. Kuala Lumpur.

 

Print Friendly and PDFPrintPrint Friendly and PDFPDF

Suntingan terakhir: 07/02/2012


Respond dan komen:

Jika anda mempunyai pertanyaan atau sebarang komen mengenai kajian ini sila pos komen anda di bawah:



Creative Commons License

 

Except where otherwise noted, content on this site is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike license: http://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/3.0/.