Geography Education, Pemikiran Geografi

Faktor Penentu Pola Penempatan dan Impak Terhadap Sumber Air

Rasional Isu Kajian Faktor Penentu Pola Penempatan dan Impak Terhadap Sumber Air

Kajian Faktor Penentu Pola Penempatan dan Impak Terhadap Sumber Air ini merupakan projek kajian Geografi Tempatan yang melibatkan murid Geografi Menengah Rendah yang bertujuan memberi pendedahan terhadap kepentingan pengurusan dan penjagaan sumber alam supaya sentiasa kekal khasnya sumber air akibat kesan aktiviti manusia. Dalam pada itu, kajian berkaitan faktor penentu pola penempatan bukan sekadar kajian yang terhad pada aspek Geografi Fizikal tetapi juga aspek Geografi Manusia bagi menentukan sejauh mana sumber alam musnah akibat kesan interaksi dalam kalangan penduduk dalam hubungannya dengan alam sekitar sebagai manusia ekonomi dalam perancangan pembangunan khasnya dalam perancangan pembinaan kawasan penempatan.

Sehubungan dengan itu, kajian pola penempatan dan impak terhadap sumber air telah dijalankan di tiga stesen terpilih iaitu dua stesen di Kg. Titi Raga yang terletak di Tandop dan juga Padang Kg. Titi Raga serta anak sungai Sungai Kunyit di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun.

Faktor Penentu Pola Penempatan

Bentuk-bentuk pola penempatan di sesuatu kawasan adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Walau bagaimanapun, faktor fizikal memainkan peranan yang sangat berkesan dalam penentuan bentuk pola penempatan di sesetengah tempat diikuti dengan faktor fizikal mikro dan faktor-faktor lain seperti pengaruh geografi budaya yang lain. Dalam pada itu, kajian faktor yang mempengaruhi bentuk pola penempatan di kawasan kajian adalah seperti yang berikut:

Bentuk Muka Bumi Makro

Bentuk muka bumi makro adalah bentuk muka bumi fizikal yang dilihat secara umum di kawasan kajian yang menjadi bentuk muka bumi asas pada sesuatu kawasan. Oleh yang demikian, bentuk muka bumi makro di kawasan kajian hanya dapat dibahagikan tiga jenis bentuk muka bumi yang utama iaitu tanah tinggi, dataran dan kawasan pinggir pantai seperti yang ditunjukkan Peta 1 di bawah dan bentuk muka bumi ini merupakan asas bentuk-bentuk pola penempatan yang terdapat di kawasan kajian.

Tanah Tinggi

Secara am Gunung Jerai yang mempunyai ketinggian 1217 meter yang membentuk tulang belakang daratan di Daerah Yan dan juga Daerah Kuala Muda. Tanah tinggi ini membentuk banjaran tanah tinggi yang menganjur dari utara ke selatan dari Guar dan berakhir di Merbok dengan panjang 13.2 kilometer yang berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan dan juga punca utama sungai di kawasan sekitar.

Oleh yang demikian, pembinaan kawasan penempatan di kawasan tanah tinggi adalah terhad pada tempat tertentu sahaja. Malahan faktor kos pembinaan untuk mengubah suai bentuk muka bumi menjadi faktor penentu utama bentuk pola penempatan di kawasan tanah tinggi. Sebagai contoh, dalam gambar Foto 1 menunjukkan keadaan bentuk pola penempatan yang terdapat di kawasan tanah tinggi Gunung Jerai yang kelihatan hampir berbentuk bulatan dan tertumpu pada kawasan yang datar.

 Dataran

Kedua-dua daerah di kawasan kajian ini mempunyai kawasan dataran yang luas yang mana ke dua-dua daerah ini memberi sumbangan kawasan dataran yang luas membentuk Dataran Kedah. Kawasan dataran di kedua-dua kawasan kajian ini dimanfaatkan oleh penduduk sebagai kawasan pertanian, pusat penempatan, pusat perindustrian, pengangkutan dan juga pelbagai aktiviti ekonomi yang lain.

Dalam pada itu, kawasan dataran adalah kawasan yang sesuai untuk pembinaan kawasan penempatan. Foto 2 dan 3 menunjukkan tumpuan kawasan penempatan yang terletak di kawasan dataran di kawasan kaki Gunung Jerai.

Pinggir Pantai

Kawasan pinggir pantai juga merupakan satu ciri bentuk muka bumi di kawasan kajian terutama sekali di Daerah Yan. Kawasan pinggir pantai di kawasan kajian ini mempunyai panjang 16.2 kilometer yang menganjur dari Yan Besar dan berakhir di Tanjung Dawai. Kawasan pinggir pantai ini dimanfaatkan oleh penduduk sebagai pusat perikanan, penempatan dan juga rekreasi seperti di Pantai Murni dan juga Pantai Merdeka di Merbok.

Kajian Kes Faktor Penentu Pola Penempatan

Dalam kajian untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan sesebuah kawasan penempatan di Yan dan di Gurun kajian ini telah dijalankan dengan memilih Kg. Titi Raga dan juga kawasan penempatan kawasan sekitar cawangan anak Sungai Kunyit untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan sesebuah pusat penempatan.

Kajian kes 1: Kg. Titi Raga, Yan

Untuk menentukan dengan lebih dekat lagi faktor yang mempengaruhi perkembangan pusat penempatan maka Kg. Titi Raga yang mana kampung ini mempunyai lebih kurang 300 orang penduduk dengan 30 buah rumah persendirian yang dibina secara berpusat. Pekerjaan utama penduduk di kampung ini adalah penoreh getah, nelayan dan pesawah. Antara faktor yang mempengaruhi perkembangan penempatan di Kg. Titi Raga adalah seperti berikut:-

Faktor Bentuk Muka Bumi

Secara am bentuk muka bumi di kawasan ini adalah dataran yang mempunyai ketinggian di antara sembilan hingga 16 meter dari aras laut. Oleh yang demikian, kawasan ini dimanfaatkan oleh penduduk sebagai pusat penempatan di samping pembinaan sistem pengangkutan seperti Foto 4 .

Kesan daripada keadaan bentuk muka bumi yang datar dan luas menyebabkan penyebaran pembinaan kawasan penempatan semua arah dapat dilihat di kawasan penempatan ini. Penempatan dibina secara berpusat tetapi tidak teratur seperti Foto 5.

Faktor Sistem Pengangkutan

Bentuk pola penempatan yang kelihatan tersebar ke semua arah dan tidak tersusun di kawasan ini adalah disebabkan juga oleh faktor pembinaan sistem pengangkutan yang dibina selepas kawasan penempatan ini telah dibina. Sebagai kesan, sistem pengangkutan di kawasan ini adalah padat tetapi terlalu sempit menghala hampir semua arah membolehkan perhubungan ke semua kawasan. Oleh yang demikian, keadaan ini menggalakkan pembinaan rumah secara tidak teratur.

Faktor Pemilikan Tanah Persendirian

Faktor pemilikan tanah persendirian oleh penduduk di kampung ini merupakan salah satu keunikan dalam keputusan membina rumah. Tanah  di kampung ini adalah milik persendirian atau milik keluarga maka pembinaan lokasi penempatan adalah ditentukan oleh pemilik tanah. Dalam pada itu, pembinaan rumah di kawasan ini masih dipengaruhi oleh faktor kemudahan pengangkutan yang telah dibina melalui kawasan tanah persendirian.

Faktor Jarak Dan Lokasi

Faktor jarak dan lokasi juga memainkan peranan penting dalam perkembangan sesebuah penempatan. Hasil tinjauan di kawasan kajian ini menunjukkan kawasan penempatan ini terletak di kawasan lokasi yang strategi iaitu berada dalam lingkungan satu hingga tiga kilometer dari Pekan Yan.

Dalam pada itu, kawasan penempatan ini juga terletak dalam zon kawasan pelancongan yang membolehkan perkembangan kawasan penempatan ini pada masa hadapan menjadi lebih maju.

Kajian Kes Penempatan Di Gurun, Kedah

Berbeza dengan bentuk penempatan yang terdapat di Yan bentuk penempatan yang terdapat di kawasan sekitar cawangan anak Sungai Kunyit menunjukkan bentuk penempatan memanjang dibina di sepanjang Jalan raya Sungai Petani – Gurun. Pola penempatan yang terdapat di kawasan ini adalah pola penempatan berpusat dan juga pola penempatan terancang seperti Taman Sri Utama, Kg. Baru dan Taman Gurun Jaya. Pola penempatan terancang di kawasan ini dibina secara terancang seperti Foto 6.

Manakala, kawasan lain seperti Kg. Kilang Ketapan memiliki ciri yang sama dengan faktor yang mempengaruhi pembinaan penempatan di Kg. Titi Raga, Yan. yang mana, kawasan ini rumah dibina oleh orang perseorangan di atas tapak tanah persendirian yang menyebabkan rumah dibina tidak teratur membentuk pola penempatan berpusat seperti Foto 7 tetapi masih dipengaruhi oleh sistem pengangkutan sedia ada.

Manakala penempatan berjajar juga dapat dilihat di kawasan kajian seperti Kg. Panjang yang terletak di kawasan pertanian yang mana sistem pengangkutan jalan raya tunggal yang menjadi penentu utama bentuk pola penempatan di kawasan ini menjadikannya sebagai kawasan penempatan berjajar seperti yang ditunjukkan Foto 8.

Dalam pada itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi bentuk pola penempatan seperti yang dinyatakan di atas iaitu:-

Persaingan Guna Tanah

Sungguhpun, bentuk muka bumi yang terdapat di Gurun terdiri daripada dataran namun bentuk pola penempatan adalah dipengaruhi oleh faktor lain iaitu persaingan guna tanah yang menyebabkan berlaku kesesakan ruang. Sebahagian besar ruang di kawasan ini digunakan untuk tujuan pertanian seperti ladang kelapa sawit, kawasan perkuburan, penempatan dan pengangkutan yang banyak mempengaruhi pola penempatan di kawasan ini.

Persaingan guna tanah adalah sangat ketara terutama sekali kawasan yang berada di kawasan sekitar Pekan Gurun yang menjadi tumpuan kawasan penempatan dan juga aktiviti ekonomi seperti Foto 9 yang menunjukkan guna tanah di kawasan kajian.

Faktor Jaringan Sistem Pengangkutan

Kepadatan jaringan sistem pengangkutan memainkan peranan yang sangat penting  dalam pembentukan pola penempatan di sesebuah kawasan. Hasil daripada kajian menunjukkan jaringan sistem pengangkutan yang terdapat di Gurun adalah padat dan terancang membawa kesan yang  nyata ke atas bentuk pola penempatan. Dalam Foto 9 menunjukkan kawasan penempatan terancang dengan sistem jaringan pengangkutan yang sangat padat.

Selain daripada itu, sistem pengangkutan juga memainkan peranan penting dalam pembinaan bentuk pola penempatan di kawasan ini. Kawasan yang kurang atau memiliki sistem pengangkutan jalan raya tunggal menyebabkan pola penempatan yang terbentuk ialah pola penempatan berjajar seperti di Kg. Kilang Ketapan dan juga Kg. Panjang yang hanya memiliki jalan raya tunggal seperti yang ditunjukkan Foto 8.

Kepelbagaian Kegiatan Ekonomi

Kepelbagaian kegiatan ekonomi penduduk sesuatu kawasan juga menentukan kepadatan dan bentuk pola penempatan di sesebuah pusat penempatan. Kawasan yang mempunyai kepelbagaian infrastruktur ekonomi serta kepelbagaian aktiviti ekonomi akan menarik ramai penduduk tertumpu di kawasan berkenaan yang membawa pada pembentukan pola petempatan terancang.

Oleh yang demikian, kegiatan ekonomi sekunder dan tertier yang melibatkan perkhidmatan pemprosesan dan perkhidmatan kepakaran seperti bank dan klinik kesihatan juga menjadikan sesebuah kawasan penempatan menjadi lebih teratur dan terancang. Dalam aspek perkembangan ekonomi di Kedah, secara keseluruhan yang melibatkan bandar utama iaitu Langkawi, Alor Setar, Kulim, Sungai Petani dan Gurun menunjukkan Gurun telah diletakkan sebagai sebuah bandar penting yang dikenali sebagai Bandar Kenderaan Nasional (Kedah ICT, 2006) berdasarkan penilaian ekonomi oleh kerajaan negeri.

Oleh kerana Gurun terletak di tengah-tengah persinggahan perjalanan ke utara dari Sungai Petani maka tidak hairanlah aktiviti ekonomi berasaskan perindustrian industri penting terdapat di Gurun seperti Modenas, Petronas dan juga pembuat kereta nasional Naza. Sehubungan dengan itu, kemasukan penduduk di kawasan berkenaan akan menyebabkan permintaan terhadap keperluan tempat tinggal.

Impak Pembinaan Pola Penempatan Terhadap Sumber Air

Dalam penentuan impak pola penempatan terhadap sumber air, fenomena ini dikaji berasaskan pada sumber air yang terdapat di kawasan sekitar penempatan. Oleh itu, dalam kajian kualiti air di stesen kajian terpilih beberapa kaedah pensampelan dan uji kaji telah dilaksanakan berdasarkan prosedur tertentu untuk menentukan kesahihan hasil uji kaji. Antara kaedah uji kaji yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

Kajian Kes di Kg. Titi Raga, Yan

Kajian kes yang pertama untuk menentukan impak negatif kesan impak pembinaan pola penempatan terhadap sumber air telah dijalankan di dua stesen di Kg. Titi Raga seperti di dalam Foto 11 di bawah. Kampung ini mempunyai lebih kurang 300 orang penduduk dengan 30 buah rumah persendirian yang dibina secara berpusat. Pekerjaan utama penduduk di kampung ini adalah penoreh getah, nelayan dan pesawah.

Hasil kajian menunjukkan sistem saliran adalah baik dengan pengurusan sistem saliran yang terancang dengan pemasangan perangkap sampah pada sistem parit utama. Sistem air kumbahan diurus secara persendirian. Malahan, usaha penjagaan pencegahan hakisan di tebing sungai di kampung ini juga dibina untuk mengekalkan sistem ekologi sungai terjamin selaras dengan keperluan sungai berkenaan sebagai sumber air domestik dan juga sebagai pusat rekreasi penduduk tempatan. Gambar-gambar yang berikut menunjukkan usaha pengekalan kualiti air sungai di Kampung Titi Raga.

Dalam pada itu, untuk menentukan kesan pembinaan penempatan di kawasan ini ke atas sumber air maka kajian kualiti air telah dijalankan melalui beberapa siri ujian dengan tumpuan ujian ke atas nilai pH air, oksigen terlarut (DO – Dissolved Oxygen ), ujian kekeruhan (JTU – Jackson Turbity Unit), Ujian bahan pencemar terlarut (TDS – Total Dissolved Solids) dan juga suhu seperti yang ditunjukkan jadual di bawah.

Ujian Suhu Air

Ujian suhu air telah dibuat di dua stesen berbeza dan hasil daripada kajian menunjukkan suhu air Sungai Titi Raga adalah 28°C.  Proses mendapatkan suhu air dari stesen kajian di Kg. Titi Raga ditunjukkan  gambar di sebelah.

Ujian pH (Potential Hydrogen)

Dalam ujian pH yang dijalankan di dua stesen kajian terpilih di Kg. Titi Raga hasil kajian menunjukkan kualiti pH air sungai ialah pH 7 iaitu neutral yang amat sesuai untuk kegunaan domestik dan kepentingan hidupan akuatik.  Hasil kajian pH di stesen kajian seperti gambar di bawah.

Ujian DO (Dissolved Oxygen)

Dalam ujian DO yang dijalankan, hasil ujian menunjukkan nilai DO ialah lapan ppm atau bersamaan dengan kepekatan 102% dalam 1mg/L seperti gambar di bawah.

Ujian Kekeruhan

Dalam ujian kekeruhan yang dijalankan hasil ujian menunjukkan nilai kekeruhan ialah kosong JTU iaitu air Sungai Titi Raga adalah jernih seperti gambar di bawah.

Ujian TDS (Total Dissolved Solids)

Dalam ujian TDS di kedua-dua lokasi stesen kajian di Kg. Titi Raga menunjukkan bacaan TDS meter satu ppm atau bersamaan dengan 10 ppm yang diketogerikan sebagai air minuman ideal berdasarkan pada standard piawai kualiti air yang dikeluarkan oleh EIA (Environmental Impact Assessment) yang mana standard air minuman ideal ialah kosong ppm hingga 50 ppm. Hasil kajian ditunjukkan seperti gambar di bawah.

Ujian Elektrolisis

Ujian Elektrosis yang dijalankan ke atas sampel air yang diperolehi dari Sg. Titi Raga dan dibandingkan dengan salah satu jenama air galian terpilih di pasaran menunjukkan bahawa perubahan warna yang sedikit sahaja berbanding dengan air galian seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.

Dalam perbandingan ini, bacaan TDS untuk air galian ialah 12 ppm atau bersamaan dengan 120 ppm berdasarkan jadual piawai penentuan kualiti air yang ditetapkan oleh EIA.

Hakisan Tebing Sungai

Dalam kerja lapangan untuk mendapatkan keratan rentas sungai yang telah di buat di Stesen Padang Sg. Titi Raga menunjukkan kesan penempatan di kawasan ini telah mendedahkan lurah sungai pada aktiviti hakisan akibat daripada penebangan dan pembersihan kawasan sekitar.

Bentuk lurah ‘U’ lebar ini telah diperolehi melalui kerja lapangan di salah satu stesen projek kajian di padang Kg. Titi Raga yang telah melibatkan kerja mengambil ukuran sebenar lurah berkenaan seperti yang ditunjukkan dalam gambar-gambar di bawah.

Hasil kerja ukur yang telah dibuat maka hasil ukuran adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2 di bawah berdasarkan pada Rajah 1 sebagai panduan kerja-kerja mengukur.

Proses menukar ukuran adalah berdasarkan skala 1 sentimeter bersamaan dengan 1 meter seperti Jadual 1 di atas. Oleh yang demikian, selepas pemindahan maklumat ke dalam bentuk rajah maka hasil keratan rentas alur sungai yang diperolehi dari Stesen Padang Kg. Titi Raga adalah alur sungai berbentuk ‘U’ lebar yang biasanya merupakan ciri bentuk muka bumi alur sungai yang terdapat di bahagian hilir sungai atau peringkat dewasa alur sungai seperti yang ditunjukkan  dalam Rajah 2 di bawah.

Namun demikian, pembentukan lurah ‘U’ lebar ini adalah akibat daripada kesan hakisan tebing yang pesat sama ada disebabkan oleh aliran sungai dan juga disebabkan oleh aktiviti hakisan larian air permukaan dari kawasan sekitar yang tidak mempunyai tutup bumi menyebabkan tebing sungai runtuh dan lurah sungai semakin lebar.

Oleh yang demikian, hasil kajian impak negatif pembinaan petempatan di Kg. Titi Raga terhadap sumber air dapat disimpulkan iaitu kesan negatif tindakan pembinaan petempatan masih berada pada tahap minimum. Sumber air berada pada tahap sangat bersih dengan usaha meminimumkan kesan pembinaan petempatan di kawasan sekitar dilaksanakan oleh penduduk untuk memastikan sumber air di kawasan berkenaan dapat dikekalkan sebagai sumber air domestik yang murah dan semula jadi.

Kajian Kes Stesen Cawangan Sungai Kunyit, Gurun

Kajian kes yang dijalankan di stesen Cawangan Sungai Kunyit yang terletak di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun untuk mengenal pasti impak negatif kesan pembinaan penempatan terhadap sumber air telah dijalankan dalam beberapa siri ujian kualiti air. Lokasi stesen kajian kualiti air ini terletak di belakang kawasan taman perumahan Taman Sri Utama yang mempunyai populasi penduduk lebih daripada 1000 orang.

Berdasarkan kajian lepas yang dibuat di stesen kajian menunjukkan sistem saliran di kawasan ini adalah baik dengan sistem perparitan yang mampu menyalirkan air hujan yang berlebihan. Walau bagaimanapun, stesen kajian kualiti air di cawangan Sungai Kunyit ini telah kehilangan fungsi sebagai sumber air domestik akibat daripada kesan pencemaran pembuangan air kumbahan domestik yang datang dari dua kawasan petempatan sekitar dan juga longkang dari sekolah berdekatan. Lokasi kawasan kajian  ditunjukkan dalam Foto 28.

Tinjauan awal di kawasan kajian menunjukkan cawangan Sungai Kunyit berfungsi sebagai agen pengangkutan dan penyaliran bahan buangan air kumbahan domestik yang menjejaskan kualiti air di sungai tersebut seperti yang ditunjukkan Foto 29 dan 30. Perubahan tahap kualiti air sungai bergantung penuh pada perubahan cuaca untuk meneutralkan tahap pencemar yang terlarut  dalam sungai.

Kajian kualiti air secara berterusan telah dibuat di stesen kajian cawangan Sungai Kunyit dengan hasil ujian seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual 3 di bawah.

Ujian Suhu Air

Ujian suhu air telah dibuat dalam beberapa siri ujian di cawangan Sungai Kunyit dan suhu purata bagi stesen ini adalah 26.8°C. Gambar di bawah adalah gambar yang diambil dalam salah satu ujian yang telah dibuat.

Ujian pH (Potential Hydrogen).

Dalam ujian pH yang dijalankan di stesen kajian kualiti air cawangan Sungai Kunyit menunjukkan kualiti pH air sungai ialah di antara pH6 hingga pH7. Perubahan nilah pH adalah berkait rapat dengan perubahan cuaca hari sebelum kajian dibuat.

Ujian DO (Dissolved Oxygen)

Dalam ujian DO yang dijalankan hasil ujian menunjukkan nilai DO di stesen kajian kualiti air Cawangan Sungai Kunyit berada di antara empat ppm hingga lapan ppm atau bersamaan dengan kepekatan purata oksigen terlarut 70.4% dalam 1mg/L. Gambar di bawah adalah salah satu gambar aktiviti semasa kajian dijalankan.

Ujian Kekeruhan

Dalam ujian kekeruhan yang dijalankan, hasil ujian menunjukkan nilai kekeruhan ialah 0 JTU iaitu air sungai di cawangan Sungai Kunyit adalah jernih seperti dalam gambar di bawah.

Ujian TDS (Total Dissolved Solids)

Dalam ujian TDS menunjukkan bacaan TDS meter ialah tiga ppm atau bersamaan dengan 30 ppm yang diketogerikan sebagai air minuman ideal berdasarkan pada standard piawai kualiti air yang dikeluarkan oleh EIA (Environmental Impact Assessment).

Ujian Elektrolisis

Ujian Elektrosis yang dijalankan ke atas sampel air yang diperolehi dari cawangan Sungai Kunyit dan dibandingkan dengan sampel air tulen Osmosis Songsang yang mempunyai bacaan kosong ppm.

Dalam perbandingan ini, bacaan TDS untuk sampel air sungai ialah 3 ppm atau bersamaan dengan 30 ppm berdasarkan jadual piawai penentuan kualiti air yang ditetapkan oleh EIA.

Oleh yang demikian, hasil daripada kajian impak negatif pembinaan penempatan di sungai cawangan Sungai Kunyit terhadap sumber air dapat disimpulkan iaitu kesan negatif tindakan pembinaan petempatan adalah sangat ketara yang mana tahap pencemar terlarut dalam air sungai akan bertambah apabila ketiadaan hujan. Dalam pada itu, peranan mengurangkan kesan pencemaran akibat impak negatif kesan pembinaan penempatan diambil sepenuhnya oleh kitaran cuaca

Langkah Dan Cadangan Mengatasi Impak Negatif Pembinaan Pola Penempatan dan Impak Terhadap Sumber Air 

Hasil daripada kajian ke atas dua lokasi kajian kualiti air akibat daripada impak negatif pola penempatan dan impak terhadap sumber air yang telah dijalankan di Kg. Titi Raga, Yan dan stesen cawangan Sungai Kunyit, Gurun menunjukkan tahap kualiti air akibat daripada pencemaran impak negatif aktiviti manusia lebih ketara di cawangan Sungai Kunyit yang dikaitkan dengan masalah perancangan pembinaan pola penempatan Taman Sri Utama yang tidak mesra alam.

Dalam pada itu, ujian kualiti air sungai secara berterusan yang telah dijalankan di stesen kajian kualiti air cawangan Sungai Kunyit menunjukkan kualiti air sungai merosot akibat daripada aliran masuk secara berterusan air buangan domestik dari kawasan penempatan yang disalurkan terus ke dalam longkang yang bersambung terus ke dalam sungai. Oleh yang demikian, penurunan tahap pencemaran dan pemulihan tahap kualiti air bergantung penuh pada kitaran cuaca.

Berbeza dengan Sungai Titi Raga yang terletak di tengah-tengah Kg. Titi Raga yang mempunyai kualiti air berada pada tahap sangat bersih kerana terdapat usaha penduduk setempat mengambil inisiatif untuk mengurangkan impak negatif pembinaan penempatan seperti memasang papan tanda “Cintai Sungai Kita” dan juga pengurusan sistem perparitan yang baik di samping terdapat usaha pencegahan hakisan tebing sungai.

Namun demikian, apa yang jelas bagi stesen kajian cawangan Sungai Kunyit nampak seolah-olah sungai berkenaan telah menjadi agen pemindahan serta pembuangan bahan buangan domestik. Oleh itu, antara masalah yang jelas kelihatan yang perlu tindakan semua pihak adalah seperti yang berikut:

Masalah 

Buangan Air Kumbahan Domestik Berterusan Dari Kawasan Penempatan

Hasil daripada tinjauan yang telah dibuat di stesen kajian kualiti air di cawangan Sungai Kunyit menunjukkan berlaku penyaluran terus bahan pencemar yang berterusan dari longkang utama ke dalam sungai menyebabkan tahap pencemaran bertambah dan kualiti air sungai terus merosot terutama sekali pada musim kemarau.

Longkang tanpa perangkap sampah

Punca pencemaran bahan bukan organik juga dapat dikesan dalam sungai cawangan Sungai Kunyit yang tersangkut pada tebing sungai menunjukkan sampah sarap bukan sahaja menjadi bahan pencemar ruang fizikal tetapi juga membuktikan kekurangan kesedaran penduduk setempat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar. Malahan, mulut longkang yang bersambung ke dalam lurah sungai tidak dipasang perangkap sampah seperti yang dibuat di dalam longkang utama di Kg. Titi Raga, Yan.

Hakisan tebing sungai

Di dalam kajian ini juga menunjukkan tiada usaha yang dibuat untuk mengurangkan kesan kadar hakisan yang berlaku di tebing sungai yang bukan sahaja menyebabkan kerosakan struktur tebing tetapi juga dalam masa jangka panjang kesan hakisan berkenaan akan menjejaskan ruang fizikal kawasan setempat.

Malahan, didapati juga kadar hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan telah menyebabkan perubahan bentuk muka bumi fizikal berbanding dengan keadaan fizikal kawasan berkenaan di dalam kajian lepas yang dapat dilihat melalui Foto 40 dan 41.

Cadangan dan langkah mengatasi masalah.

Untuk mengatasi masalah impak negatif akibat pembinaan penempatan terhadap sumber semula jadi seperti sumber hutan dan air sememangnya tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, impak negatif akibat pembinaan penempatan terhadap sumber semula jadi di sesuatu kawasan boleh diminimumkan dengan perancangan pembangunan dan juga langkah-langkah berterusan untuk memelihara alam sekitar.

Namun begitu, hasil kajian terhadap impak negatif pembinaan penempatan di Kg. Titi Raga dan di stesen kajian kualiti air di cawangan Sungai Kunyit menunjukkan impak negatif akibat daripada pembinaan penempatan adalah paling ketara di cawangan Sungai Kunyit. Oleh yang demikian, usaha bersungguh-sungguh diperlukan untuk memastikan sumber semula jadi yang kehilangan fungsi dapat dimanfaatkan semula dan antara langkah yang perlu diambil perhatian adalah seperti berikut:-

Memasang Perangkap Sampah

Untuk mengurangkan kadar pencemaran bahan buangan domestik bukan organik yang terdiri daripada sampah sarap. Maka, adalah perlu mulut longkang yang bersambung dengan sungai dipasang dengan perangkap sampah supaya sampah sarap tidak terlepas ke dalam sungai. Walau bagaimanapun, penyelenggaraan perangkap sampah juga adalah perlu supaya tidak membawa masalah lain pada sistem saliran.

Penstrukturan Semula Sistem Perparitan

Masalah utama yang dapat dikesan di kawasan penempatan yang terdapat di kawasan sekitar cawangan Sungai Kunyit khasnya Taman Sri Utama ialah sistem perparitan disalurkan terus ke dalam sungai tanpa rawatan. Malahan, penyaluran berterusan air kumbahan domestik terus ke dalam sungai menyebabkan tahap kualiti air merosot lebih-lebih lagi pada musim kemarau yang mana tahap kualiti air boleh merosot secara mendadak. Oleh itu, penstrukturan semula sistem perparitan di kawasan ini adalah perlu. Semua air kumbahan domestik seharusnya disalurkan terlebih dahulu ke dalam kolam rawatan sebelum ia boleh disalurkan ke dalam sistem saliran sungai. Dengan cara ini maka bahan kimia yang terkandung dalam air kumbahan domestik dapat dineutralkan terlebih dahulu di dalam kolam rawatan.

Pembinaan Kolam Rawatan

Masalah utama yang dikesan dengan jelas di kawasan sekitar penempatan yang terdapat di sekitar cawangan Sungai Kunyit ialah tidak terdapat kolam rawatan sama ada kolam rawatan terbuka atau kolam rawatan bawah tanah. Oleh itu, jelas menunjukkan perancangan kawasan penempatan di kawasan ini adalah lemah kerana tidak mengambil kira kesan terhadap alam sekitar khasnya sumber semula jadi seperti sumber air yang sepatutnya memberi manfaat sebagai air percuma kepada penduduk setempat.

Maka dicadangkan agar pihak kerajaan memperuntukkan sejumlah wang supaya sistem perparitan daripada kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan perlu dibina saluran paip khas supaya air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.

Sehubungan dengan itu, maka selaras dengan cita-cita negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air (Utusan Malaysia, 2006) adalah wajar supaya untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu disediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi di kawasan ini.

Pencegahan Hakisan Tebing Sungai

Masalah utama yang dapat dilihat dengan jelas di kawasan cawangan Sungai Kunyit ialah hakisan tebing akibat daripada aliran sungai yang deras yang menyebabkan pelebaran lurah sungai dan dalam masa yang sama mengancam struktur ruang fizikal kawasan berdekatan dalam tempoh masa yang panjang.

Oleh itu, adalah perlu usaha pencegahan dan kawalan hakisan di tebing sungai berkenaan dengan memasang sangkar batu pada tebing yang aktif dengan hakisan. Dengan cara ini, maka aktiviti hakisan tebing dapat dikurangkan. Kaedah ini telah pun digunapakai dalam usaha pencegahan hakisan tebing sungai di Sungai Titi Raga, Yan seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di bawah.

Memasang Papan Tanda “Cintai Sungai Kita”

Memasang papan tanda “Cintai Sungai Kita” merupakan salah satu kaedah untuk menanam kesedaran dalam kalangan penduduk terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar khasnya sungai.

Sungguhpun, kempen ini adalah pasif tetapi boleh menimbulkan kesedaran diri dalam kalangan penduduk setempat bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang bertanggungjawab untuk menjaga sumber di tempat sendiri. Kempen ini juga telah dilaksanakan di Kg. Titi Raga dalam kempen memberi kesedaran kepada penduduk terhadap tanggungjawab bersama menjaga sumber semula jadi iaitu sumber air secara halus dan berkesan seperti gambar yang ditunjukkan di sebelah.

Perbandingan Pola Penempatan dan Impaknya Terhadap Sumber Air Di Yan dan Gurun, Kedah

Melalui kajian ini dengan meneliti ciri-ciri penempatan dan faktor yang mempengaruhi perkembangan penempatan di Yan dan di Gurun serta kesan perkembangan penempatan berkenaan terhadap alam sekitar khasnya kualiti air bukan sahaja memberi peluang kepada para peserta kajian menyedari kepentingan perancangan pembangunan di sesuatu kawasan tetapi juga menyedari impak negatif pengabaian terhadap kepentingan perancangan  kawasan penempatan secara mapan.

Dalam aspek pola penempatan, kedua-dua lokasi mempunyai faktor penentuan pola penempatan yang hampir sama yang dipengaruhi oleh faktor geografi fizikal dan geografi manusia. Walau bagaimanapun, kedua-dua lokasi menunjukkan perbezaan yang ketara terhadap aspek impak pola penempatan terhadap sumber air. Secara perbandingan menunjukkan kualiti air yang terdapat di Kg. Titi Raga adalah sangat baik berbanding dengan kualiti air sungai di Gurun. Walhal, dalam aspek perkembangan didapati pola penempatan yang terdapat di Gurun adalah lebih maju dan terancang berbanding di Kg. Titi Raga.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan terdapat pengabaian dalam aspek perancangan pola penempatan yang diperlukan untuk memenuhi syarat sebagai sebuah penempatan mesra alam. Hasil daripada kajian juga, menunjukkan hanya terdapat satu kolam kumbahan yang terdapat di Taman Gurun Jaya sedangkan taman perumahan yang lain kolam kumbahan tidak kedapatan. Dalam pada itu, hasil kajian juga mencadangkan bahawa kawasan penempatan yang terdapat di Gurun selain daripada Taman Gurun Jaya menjadikan sungai sebagai agen penyaluran pembuangan kumbahan domestik seperti yang terdapat di stesen kajian kualiti air di cawangan anak Sg. Kunyit.

Dalam aspek kesedaran terhadap kepentingan penjagaan sumber air penduduk Kg. Titi Raga menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan sumber air berbanding dengan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kualiti air sungai di stesen kajian air cawangan anak Sg. Kunyit. Di kawasan kajian kes di Kg. Titi Raga penduduk berusaha menangani isu-isu semasa yang berkaitan dengan alam sekitar yang menjejaskan kualiti air sungai.

Rumusan

Dalam kajian ini telah memberi ruang kepada kita menyedari bahawa banyak faktor yang boleh mempengaruhi pola penempatan di sesebuah kawasan. Dalam pada itu, kajian ini juga memberi ruang untuk memberi kesedaran kepada kita bahawa pola penempatan mempunyai impak terhadap sumber air. Oleh itu, pembinaan pola penempatan memerlukan satu perancangan yang mapan dan mesra alam dengan membuat penilaian dan perancanga teliti pembinaan pola penempatan terhadap alam sekitar iaitu aspek pengurusan sumber semula jadi adalah perlu untuk memastikan sumber semula jadi terus dapat dimanfaatkan oleh penduduk sebagai sumber yang murah dan percuma sejajar dengan arus pembangunan negara terutama sekali sumber air. Di samping itu juga, adalah menjadi harapan agar hasil kajian ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak sebagai panduan dan iktibar dalam menangani isu-isu semasa berkaitan dengan alam sekitar khasnya di cawangan Sungai Kunyit dan di Pusat Rekreasi Titi Hayun sebagai ingatan kepada kita dalam aspek pembangunan di kawasan kajian supaya aspek bersangkutan dengan alam sekitar tidak diabaikan.

Cite this article as: Augustine Towonsing. (June 28, 2017). Faktor Penentu Pola Penempatan dan Impak Terhadap Sumber Air. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/faktor-penentu-pola-penempatan-dan-impak-terhadap-sumber-air/

Sumber Rujukan

Eppresso Planet. 2005. What is TDS?. Diperolehi dari laman web http://www.espressoplanet.com/what_is_tds.htm

Dorota Z. Haman dan Del B. Bottcher .1986. Home Water and Quality Safety. Diperolehi dari laman web http://edis.ifas.ufl.edu/pdffiles/AE/AE00900.pdf

Google Incorporation. 2008. Software Google Earth Version 4.3. 1600 Amphitheatre Parkway Mountain View.

Haliza Abdul Rahman. 2007. Suatu Tinjauan Terhadap Isu Pencemaran Sungai di Malaysia, 8-9 September 2007, dibentangkan di Persidangan Geografi 2007, Anjuran UPSI. Diperolehi dari laman web http://sssums.files.wordpress.com/2007/09/suatu-tinjauan-terhadap-isu-pencemaran-sungai-di-msia.pdf

Kedah ICT. 2006. Broadband for All Malaysians – Realising MyICMS 886 Goals  pembentengan dalam workshop MYICMS 886 WORKSHOP pada 8hb. Ogos 2006. Diperolehi  dari laman web http://www.skmm.gov.my/Admin/WhatIsNew/myicms886/session3/SESSION3.kedah.pdf

Jackson Bottom Wetland Preserve. 2007. Water Quality Concept. Diperolehi dari laman web http://www.jacksonbottom.org/waterquality_concepts.htm

Lamotte Company. 2009. World Water Monitoring Day.Chestertown, Maryland.

Utusan Malaysia. 2006. dalam National Biotecnology and Bioinformatics Network. Malaysia jadi pusat bioteknologi rawatan. Diperolehi dari laman web http://www.nbbnet.gov.my/directories/papercut/detail.php?id=1024

The following two tabs change content below.
A member of the UK Geographical Association, the Assistant Afternoon Supervisor of Gurun Secondary School (Kedah, Malaysia), a Geography teacher with 23 years of teaching experience and holds a masters degree in Geography, an outdoor education trainer, an education application developer, an environmental researcher, a photographer, a videographer, a solo paranormal and ghost researcher, as well as the sole founder of Malaysian Ghost Research.

Copyright © 2017 Malaysian Ghost Research. All Rights Reserved.
Information about how to reuse or republish this work may be available at Malaysian Ghost Research Copyright.

Loading Facebook Comments ...

Leave a Comment