Geography Education, Pemikiran Geografi

Geografi Ekonomi: Kepentingan Peranan Dalam Hubungan Tradisi Manusia Dengan Alam Sekitar

PENGENALAN

Manusia merupakan unsur yang paling dinamik serta banyak membawa perubahan pada alam sekitar. Hubungan manusia dengan alam sekitar merupakan fenomena yang unik sehingga berlaku perbelahan pendapat dalam kalangan sarjana apabila membentangkan hubungan manusia dengan alam sekitar. Perbelahan adalah berpunca daripada dua unsur iaitu; manusia dan alam sekitar dengan persoalan siapa yang lebih dominan mempengaruhi ‘hubungan’ berkenaan.

Dalam pada itu, hubungan manusia dengan alam ini berkisar pada ruang permukaan bumi yang menjadi ‘rumah’ pada manusia dalam menjalankan kegiatan harian. Sebagai manusia ekonomi, manusia menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi melalui interaksi dengan persekitaran fizikal dalam tradisi hubungan budaya manusia dengan alam sekitar. Malahan, Foster (1979: p.70) menyatakan bahawa Aristotle telah membuat tanggapan manusia sebagai objek yang selalu bertindak mencari kebahagian dan ini menjelaskan bahawa manusia memerlukan alam sekitar untuk mencapai tujuannya.

Dalam konteks proses hubungan tadi, kelangsungan perhubungan ini dijelaskan oleh Ratzel (1892) yang menyatakan manusia merupakan komuniti yang sama dengan haiwan dan tumbuhan terpaksa bertungkus-lumus untuk hidup. Pengkaji berpendapat perkataan ‘bertungkus-lumus’ di sini membawa makna manusia mempunyai hubungan dengan alam sekitar yang mana manusia menganggap alam sekitar sebagai ‘rumah’ yang menyediakan keperluan manusia dan untuk itu manusia berinteraksi dengan alam sekitar mendapatkan keperluan melalui budaya manusia yang dikaitkan dengan aktiviti ekonomi.

ALAM SEKITAR DAN HUBUNGAN DENGAN MANUSIA

Dalam tradisi hubungan manusia dengan alam sekitar melibatkan ruang permukaan bumi sebagai ruang aktiviti kehidupan yang mana Boehm(1996) menyatakan alam sekitar merujuk pada ruang permukaan bumi yang mempunyai perkaitan dengan cuaca, tanah-tanih, bentuk muka bumi, geomorfologi , hidrologi dan tumbuh-tumbuhan. Oleh yang demikian jelas bahawa manusia geografi adalah wujud seiring dengan persekitaran fizikal.

Dalam pada itu, susunan alam sekitar ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap aktiviti manusia ekonomi khususnya kelompok manusia yang kurang memiliki teknologi dalam peningkatan hasil di kawasan terpencil. Dalam pada itu United Nations Development Programme (UNDP, 2001) menyebut bahawa satu usaha diperlukan untuk membangunkan manusia untuk mengembangkan potensi mereka ke tahap maksimum dan ke arah produktif dan kreatif mengikut keperluan dan minat masing-masing. Ini bermaksud dalam kes tertentu manusia tidak mencapai potensi maksimum dalam aktiviti ekonomi mereka tetapi pengkaji berpendapat ‘usaha’ yang dimaksudkan di sini mungkin sekali ialah geografi ekonomi.

Oleh yang demikian, jelas dalam aktiviti kehidupan manusia peranan geografi ekonomi sangat penting untuk menentukan kejayaan hubungan manusia dengan alam sekitar dalam konteks kemajuan ekonomi. Geografi ekonomi bukan sahaja memainkan peranan dalam penentuan arah ekonomi komuniti sesuatu kawasan tetapi juga penting kerana peranan sebagai alat mengkaji sumber ekonomi dalam ruangan permukaan bumi yang diduduki oleh manusia.

Seperti kata Janmaat(2001), hubungan rapat dengan alam sekitar akan membawa kualiti hidup yang tinggi. Ini menunjukkan perkataan ‘hubungan rapat’ di sini membawa makna manusia menjalankan aktiviti kehidupan melalui interaksi dengan alam sekitar dengan menggunakan geografi ekonomi sebagai alat komunikasi.

model hubungan manusia alam sekitar

Dalam menjelaskan hubungan manusia-alam sekitar, pengkaji menggunakan ilustrasi yang digambarkan melalui Rajah 1 di atas yang mana kelangsungan hubungan manusia ekonomi dengan alam sekitar berlangsung dalam ruang permukaan bumi yang ditandai dengan ruangan kekotak putus-putus yakni manusia dan alam sekitar berada di atas permukaan bumi yang ditunjukkan oleh anak panah. Hubungan langsung di antara manusia ekonomi dengan alam sekitar sememangnya sudah wujud melalui ruang permukaan bumi tetapi interaksi yang berkesan hanya wujud apabila manusia mempunyai pengetahuan dan teknologi yang mencukupi untuk mencapai keperluan melalui aktiviti peringkat primer. Dalam pada itu, sebagai manusia ekonomi yang selalu mementingkan keuntungan maka manusia ekonomi tadi memerlukan pengetahuan tentang sumber dari alam sekitar yang boleh dimanfaatkan.

Dengan itu, Geografi Ekonomi wujud di antara manusia ekonomi dengan alam sekitar. kewujudan geografi ekonomi memainkan peranan penting dalam konteks interaksi ini maka manusia bukan sahaja dapat memaksimumkan keuntungan tetapi juga dapat mengurus sumber dengan berkesan melalui pengetahuan tentang sumber melalui peranan geografi ekonomi.

PERANAN GEOGRAFI EKONOMI DALAM HUBUNGAN MANUSIA-ALAM SEKITAR SEBAGAI ALAT PENGURUSAN SUMBER

Peranan geografi ekonomi seperti yang pengkaji nyatakan di atas tadi adalah sangat penting sebagai alat pengurusan sumber yang mana pengetahuan dalam bidang ini dapat membantu manusia memanfaatkan sumber di permukaan bumi untuk memenuhi keperluan hidup.

Tanpa pengurusan sumber yang berkesan akan membawa kemerosotan dan pembaziran sumber sekaligus akan merugikan manusia ekonomi itu sendiri. Ironisnya pertumbuhan penduduk dunia yang semakin bertambah telah memberi bebanan terhadap usaha penghasilan makanan. Dalam pada itu, sisa buangan hasil interaksi manusia dengan alam sekitar juga bertambah maka untuk itu Goldsmith, Allen, Allaby, Davoll & Lawrence(1972) mencadangkan supaya usaha diperlukan untuk menguruskan sumber serta menguruskan pelupusan bahan buangan untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia.

Sehubungan dengan itu, dalam menerangkan peranan geografi ekonomi dalam hubungan tradisi manusia dengan alam sekitar, pengkaji membincangkan peranan geografi ekonomi dalam usaha manusia memanfaatkan sumber mengikut wilayah. Apa yang maksudkan wilayah di sini ialah pembahagian ruang ekonomi mengikut daya kepekatan aktiviti ekonomi seperti ilustrasi model di bawah.

model intensiti ekonomi mengikut wilayah ekonomi

Dalam menjelaskan peranan geografi ekonomi dalam hubungan manusia-alam sekitar model Rajah 2 digunakan sebagai ilustrasi dengan mengandaikan kawasan pedalaman, luar bandar dan zon peralihan dan bandar dan bandar besar sebagai wilayah ekonomi dalam kajian geografi ekonomi. Melalui model ini diandaikan intensiti ekonomi semakin meningkat ke arah pusat bandar. Walau bagaimanapun, apabila wilayah ekonomi berkenaan semakin jauh dari pusat pembangunan seperti bandar dan bandar besar yakni semakin jauh ke kawasan pedalaman maka akan berlaku difusi intensiti ekonomi secara relatif dan dengan andaian semua pusat pertumbuhan ekonomi walaupun berada di kawasan pedalaman menyerupai atau hampir pada model rekaan di atas.

Dalam wilayah ekonomi pedalaman, pengkaji mengandaikan pengetahuan dan teknologi manusia adalah terbatas. Untuk itu, manusia dengan kemampuan yang ada berinteraksi dengan alam sekitar secara langsung di mana kawasan ini penduduk menjalankan aktiviti ekonomi primer seperti bercucuk tanam, mengutip hasil hutan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pertimbangan dan andaian perkembangan teknologi di kawasan ini boleh juga didapati aktiviti sekunder yang mungkin melibatkan aktiviti pemprosesan hasil hutan seperti kayu balak secara komersial dan juga perlombongan yang melibatkan pembinaan kilang memproses kayu balak.

Dalam zon peralihan dan luar bandar pengkaji mengandaikan kawasan ini dapat dihubungi dengan pengangkutan darat. Oleh yang demikian, intensiti ekonomi juga adalah lebih banyak. Walau bagaimanapun, di kawasan ini masih ada aktiviti ekonomi peringkat primer tetapi diandaikan bahawa pengurusan sumber di kawasan ini adalah lebih baik termasuk teknologi yang lebih baik dalam aktiviti primer. Dalam pada itu, kawasan ini sudah wujud industri sekunder kerana diandaikan industri primer diusahakan secara besar-besaran. Dalam pada itu, wujud juga industri tertier yang bersangkut dengan perkhidmatan pengangkutan dan juga pembelian hasil pertanian melalui orang tengah. Selain daripada itu, aktiviti ekonomi tertier yang melibatkan penawaran barangan runcit, membaiki kereta motor dan juga perkhidmatan makanan segera boleh didapati dengan banyak di kawasan ini.

Manakala, zon bandar dan bandar besar merupakan zon ekonomi yang paling penting malahan pusat seperti zon ini boleh membawa penyebaran ekonomi ke kawasan zon peralihan, luar bandar bahkan kawasan pedalaman. Kewujudan industri primer di dalam wilayah ekonomi ini dengan mengambil kira lokasi bandar berkenaan khasnya bandar yang terletak di kawasan pinggir pantai yang sudah tentu aktiviti primer seperti industri perikanan merupakan aktiviti penting. Kewujudan industri sekunder juga mengandaikan bahawa ia wujud selaras dengan kewujudan aktiviti industri primer. Perkhidmatan tertier dan kuaternari merupakan aktiviti terpenting di kebanyakan bandar dan bandar besar seperti perkhidmatan telekomunikasi, pengangkutan, perbankan dan juga perkhidmatan kepakaran.

Sebagai kesimpulan, peranan geografi ekonomi dalam konteks hubungan manusia-alam sekitar adalah sangat penting. Bukan sekadar sebagai alat melihat sumber yang boleh dimanfaatkan tetapi pengkaji juga berpendapat ia juga dijadikan sebagai alat pengurusan sumber untuk menentukan sumber digunakan sepenuhnya.

GEOGRAFI EKONOMI DALAM TRADISI HUBUNGAN MANUSIA-ALAM SEKITAR

 1] Zon Ekonomi Kawasan Pedalaman

Dari aspek alam sekitar boleh dikatakan kawasan pedalaman terdiri daripada bentuk muka bumi yang berada pada aras ketinggian melebihi 100 meter dari aras laut dan boleh dianggap 95% atau lebih merupakan kawasan hutan. Jumlah populasi adalah sangat kurang dan tumpuan aktiviti ekonomi adalah sangat terhad. Pendapat sarjana yang menyatakan bahawa alam sekitar menentukan aktiviti manusia seperti Frederich Ratzel (1892) yang menyatakan manusia merupakan komuniti yang sama dengan haiwan dan tumbuhan terpaksa bertungkus-lumus untuk hidup dalam konteks wilayah ekonomi ini mungkin ada kebenaran berdasar aktiviti ekonomi primer yang melibatkan aktiviti pertanian dan pengutipan hasil hutan seperti akar kayu, rotan dan buah – buahan hutan pada masa dahulu.

Contoh terbaik yang boleh menerangkan tentang kegiatan ekonomi peringkat ini boleh dirujuk kepada kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sararwak yang melibatkan penduduk asli yang terlibat dalam kegiatan ekonomi primer secara tradisional.

Dalam kes tertentu aktiviti primer masih bersifat klasik akibat kemiskinan

Walau bagaimanapun, dalam konteks masa perkembangan geografi ekonomi yang dicapai oleh manusia ekonomi dalam hubungan tradisinya dengan alam sekitar halangan alam sekitar berjaya diatasi dan sedikit sebanyak kawasan ini juga wujud aktiviti ekonomi sekunder yang melibatkan pengeluaran hasil hutan dan sumber mineral secara komersial yang melibatkan pembinaan kilang-kilang memproses kayu balak dan juga kilang membersihkan bahan mineral termasuk juga aktiviti perlombongan batu-batan.

industri primer secara komersial

Walaupun kegiatan aktiviti primer merupakan aktiviti terpenting di zon ekonomi pedalaman tetapi peranan geografi ekonomi memainkan peranan penting. Pengetahuan dan penggunaan teknologi semakin disedari kepentingan oleh manusia di kawasan ini dalam usaha mereka memaksimumkan hasil pengeluaran. Dalam pada itu, aktiviti ekonomi primer mengikut peredaran masa membawa kepada pengkomersialan khususnya dalam bidang pertanian yang memanfaatkan peranan geografi ekonomi.

aktiviti primer pertanian secara komersial

Dalam Gambar 3 di atas, menunjukkan hubungan interaksi manusia-alam sekitar semakin matang mengikut masa dalam peranan geografi ekonomi dalam aktiviti primer. Pengetahuan dan penggunaan teknologi berjaya membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk di kawasan pedalaman.

aktiviti ekonomi tertier di kawasan pedalaman

Selain daripada itu keupayaan manusia dan peranan geografi ekonomi telah membawa impak besar kepada ekonomi di kawasan ini. Gambar 4 seperti yang ditunjukkan di atas merupakan salah satu contoh aktiviti ekonomi tertier yang terdapat di kawasan pedalaman di Taman Negara Resort Tembeling, Pahang yang mana geografi ekonomi memainkan peranan penting dengan menjadikan alam sekitar sebagai produk.

2] Zon Ekonomi Kawasan Luar Bandar Dan Zon Peralihan

Dalam konteks perbincangan ini kawasan luar bandar yang pengkaji maksudkan ialah kawasan lingkungan terjauh yang pengaruh bandar boleh sampai. Ini bermaksud kawasan ini boleh dihubungi dengan pengangkutan darat dengan mudah. Manakala, zon peralihan ialah kawasan pinggir bandar yang terletak dalam lingkungan pengaruh bandar yang bersempadan dengan kawasan luar bandar.

Secara umum, alam sekitar di kawasan ini diandaikan mengalami banyak perubahan disebabkan pembinaan penempatan, perindustrian dan guna tanah untuk tujuan yang lain. Walau bagaimanapun, kawasan ini sudah mempunyai kegiatan ekonomi yang lebih banyak berbanding dengan kawasan pedalaman. Sungguhpun begitu, kawasan ini khususnya kawasan luar bandar masih terdapat kegiatan ekonomi primer yang mana penduduk terlibat secara langsung dalam interaksi alam sekitar sama ada dalam bidang pertanian, perlombongan atau pembalakan. Dalam kes tertentu khususnya kawasan yang mempunyai sungai, tasik semula jadi, kolam dan sebagainya aktiviti perikanan juga dijalankan oleh penduduk. Dalam Gambar 5 di bawah, jelas bahawa kawasan luar bandar dan juga zon peralihan masih menjalankan aktiviti ekonomi primer tetapi peranan geografi ekonomi merupakan kunci utama dalam aktiviti hubungan manusia – alam sekitar.

aktiviti penternakan ikan secara komersial

Dalam pada itu, aktiviti lain seperti aktiviti ekonomi sekunder dan tertier boleh didapati di kawasan ini. Ini disebabkan oleh interaksi manusia-alam sekitar yang sangat aktif dan dinamik membawa kepada kepelbagaian aktiviti ekonomi. Di kawasan ini diandaikan bahawa manusia sudah mempunyai kepakaran, pengetahuan dan teknologi dalam usaha memanfaatkan alam sekitar dan ini dikaitkan dengan peranan geografi ekonomi yang memberikan maklum balas terhadap pandangan manusia terhadap persekitaran di kawasan tempat tinggal mereka berhubung dengan sumber dan juga pengurusan sumber berkenaan dengan berbalik kepada model hubungan manusia-alam sekitar seperti yang dijelaskan. Dalam kawasan ini aktiviti tertier yang melibatkan perkhidmatan borong, runcit, komunikasi dan juga perhubungan yang bukan sahaja penting untuk keselesaan manusia tetapi juga penting dalam usaha manusia dalam memanfaatkan sumber.

perniagaan runcit merupakan aktiviti tertier terpenting di kawasan luar bandar

Dalam konteks hubungan reruang dan penyebaran aktiviti ekonomi yang ada dan pengetahuan seperti ini merupakan peranan penting geografi ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Department of Anthropology and Geography University Nebraska-Lincorn (2003) yang menyatakan geografi ekonomi penting sebagai kajian tentang faktor pengaruh lokasi aktiviti ekonomi, pengaruh ruang dan lokasi terhadap perkembangan dan pembangunan sistem ekonomi serta corak aktiviti ekonomi dunia dan wilayah.

3] Zon Ekonomi Bandar/Bandar Besar

Secara visual keadaan alam sekitar di kawasan ini memperlihatkan keadaan bentuk muka bumi yang telah diubah suai secara dramatik yang mengwujudkan pandangan lanskap budaya dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi. Walau bagaimanapun, sesetengah kawasan masih juga terdapat bentuk muka bumi fizikal yang tidak mengalami perubahan seperti kawasan yang terletak di kawasan pinggir pantai yakni kawasan yang menghadap laut dan lautan.

sesetengah bandar masih mengamalkan aktiviti geografi ekonomi primer seperti perikanan

Keadaan susunan alam sekitar seperti ini bukan sahaja mempengaruhi aktiviti ekonomi tetapi juga mengujudkan sumber ekonomi kepada populasi bandar berkenaan. Dalam pada itu, teknologi memainkan peranan penting dalam hubungan interaksi manusia – alam sekitar di kawasan ini seperti yang dinyatakan ole Zen M.T (1979) yang menyatakan pada dasarnya teknologilah yang memberikan nilai tambah bahan mentah yang diolah. Ini bermakna, di kawasan zon ekonomi bandar memperlihatkan keupayaan manusia berinteraksi dengan alam sekitar secara kreatif dengan mengadakan pelbagai teknologi hasil daripada interaksi manusia-alam sekitar dengan memperalatkan geografi manusia sebagai alat menganalisis dan menguruskan sumber yang ada.

Di dalam zon ekonomi bandar, pelbagai aktiviti ekonomi dijalankan bermula peringkat ekonomi primer sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat kuaternari yang melibatkan perkhidmatan kepakaran dan profesional. Aktiviti ekonomi primer melibatkan perikanan, pertanian moden di pinggir bandar. Selain daripada itu, aktiviti ekonomi sekunder juga boleh didapati seperti kilang pembuatan barangan pengguna seperti peralatan elektrik dan peralatan harian. Perkhidmatan tertier yang semakin banyak malahan banyak kemudahan-kemudahan awam yang telah diswastakan termasuklah tandas awam yang memperlihatkan betapa geografi ekonomi bandar memperlihatkan perubahan corak ekonomi mengikut masa.

Perkhidmatan lain seperti pengangkutan dan perhubungan di kawasan ini juga adalah sangat penting dan mempunyai saling perkaitan di antara aktiviti ekonomi sama ada aktiviti ekonomi bandar atau pun aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman. Dalam aspek perkhidmatan kuaternari juga memainkan peranan penting dalam perkembangan aktiviti manusia-alam sekitar.

Malahan sesetengah aktiviti pembangunan memerlukan khidmat pakar. Sebagai contoh, dalam pembangunan Bandar Laguna Merbok, di Sungai Petani memperlihatkan bagaimana perkhidmatan kepakaran penting untuk sesetengah pembangunan yang mana dalam kes ini pemaju telah mendapatkan khidmat pakar daripada pandangan pakar Feng Shui Jeffery Tei tentang lokasi kawasan Bandar Laguna Merbok yang telah memberikan khidmat kepakarannya dengan memberi pandangan positif tentang lokasi bandar berkenaan yang dianggap sebagai ‘lokasi yang terletak dalam lombong emas’ Petani Jaya Sdn. Bhd (2003). Selain daripada itu, khidmat kepakaran dalam bidang lain juga mudah di dapati di kawasan zon ekonomi bandar seperti perkhidmatan perundangan, perbankan dan sebagainya malahan kewujudan kepelbagaian aktiviti di kawasan Bandar memberikan pandangan baru kepada manusia dalam hubungannya dengan alam sekitar. Kewujudan sistem pengangkutan dan perhubungan yang banyak mengubah

persekitaran fizikal kawasan ini telah membawa kepelbagaian aktiviti ekonomi dari kelas yang terendah sehinggalah ke kelas yang lebih tinggi melibatkan perkhidmatan kuaternari.

kemajuan dalam industri tertier seperti pengangkutan membawa kepada perkembangan ekonomi primer

Kewujudan dan perkembangan pesat sistem pengangkutan di kawasan bandar, luar bandar dan juga kawasan pedalaman bukan sahaja memudahkan pergerakan manusia tetapi juga telah mempercepatkan proses perkembangan hubungan manusia-alam sekitar. Malahan, Colin J. Thomas dan Rosemary D.F Bromley (2003) menyatakan kewujudan sistem pengangkutan mempengaruhi pergerakan manusia dalam mendapatkan perkhidmatan. Apa yang dimaksudkan oleh mereka ialah perkhidmatan tertier yang melibatkan perdagangan yang menawarkan barangan keperluan. Walau bagaimanapun, pengkaji berpendapat bahawa kewujudan industri tertier seperti ini bukan sahaja telah mempercepatkan dominasi manusia ke atas alam sekitar tetapi juga mempengaruhi penyebaran pengaruh kuasa ekonomi bandar ke kawasan luar bandar.

Malahan konsep ini adalah seiring dengan geografi ekonomi yang mana World Resource Institute (1999) menyatakan kebanyakan negara mengadakan dasar yang cuba menumpukan keperluan hasil daripada peningkatan terhadap manusia di bandar-bandar di samping mendapatkan faedah daripada pembangunan seperti perkembangan ekonomi dan kecekapan sistem komunikasi. Ini menunjukkan bahawa hubungan manusia dengan alam sekitar di kawasan bandar adalah sangat pantas akibat daripada perkembangan dan pembangunan ekonomi hasil daripada peranan geografi ekonomi.

KESIMPULAN

Pengetahuan manusia tentang peranan geografi ekonomi sangat jelas apabila dilihat dari aspek wilayah ekonomi kawasan pedalaman, luar bandar dan bandar. Malahan, aktiviti ekonomi manusia yang menggambarkan hubungan manusia-alam sekitar menunjukkan trend hubungan langsung dengan alam sekitar di kawasan luar bandar dan pedalaman adalah lebih ketara walaupun aktiviti yang serupa boleh juga didapati di kawasan bandar dan zon peralihan bandar di mana aktiviti ekonomi primer di kawasan berkenaan adalah sangat jelas walaupun hubungan manusia-alam sekitar berada pada tahap komersial tetapi produk masih berteraskan kepada alam sekitar semata-mata.

Walau bagaimanapun, kepentingan geografi ekonomi semakin jelas apabila dilihat intensiti aktiviti ekonomi dengan merujuk model hubungan manusia-alam sekitar seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Di mana, hubungan manusia-alam sekitar semakin jelas dengan memperlihatkan kepelbagaian aktiviti manusia di kawasan bandar dan sub bandar yang mana manusia terlibat dengan aktiviti bermula dengan aktiviti ekonomi primer dan wujud pula ekonomi sekunder yang menyokong industri primer sehingga industri primer diusahakan secara komersial. Dalam pada itu, untuk menyokong kedua-dua industri tadi wujud pula industri tertier yang memberikan perkhidmatan kepada kedua-dua industri tadi sama ada perkhidmatan pemasaran atau pengangkutan jelas bahawa hubungan manusia-alam sekitar semakin jauh terurus.

Di samping itu juga, perkhidmatan industri kuaternari pula semakin penting khususnya di bandar-bandar besar yang memperlihatkan usaha manusia-alam sekitar memanfaatkan sepenuhnya sumber untuk kesejahteraan hidup. Pendek kata, peranan geografi ekonomi adalah sangat penting dalam usaha manusia dalam urusan harian mereka untuk mencapai kesejahteraan hidup. Dalam hubungannya dengan alam sekitar maka geografi ekonomi seolah – olah sebagai alat pengolah, pentafsir dan pengurus sumber yang ada dan dengan pengetahuan manusia tentang geografi ekonomi maka sudah tentu manusia dapat hidup sejahtera serta dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada.


Buku Rujukan

Colin J. Thomas dan Rosemary D.F Bromley.(2003). Retail revitalization and small town centres: the contribution of shopping lingkages. Applied Geography ,23, 48 – 68.

Foster E.M.(1979). Aspek – aspek Novel. Kuala Lumpur:DBP

Fong C.T. (1994). Malaysia Wonders of The Heartland Pahang. Kuala Lumpur : Country Editions Sdn. Bhd.

Friedrich Ratzel. (1926). Antropologie in geography. Annals of the Association of American Geographers 53:429-40

Edward Goldsmith, Robert Allen, Micheal Allaby, John Davoll dan Sam Lawrence. (1972). A Blueprint for Survival.The Ecologist Vol.2 1.

Petani Jaya Sdn. Bhd. (2003). “Sitting on a ‘Gold Mine’”.Berita Bandar Laguna Merbok The Resort Township Vol. 15, KDN No: PP 9969/4/2004. Author.

United Nations Development Programme. (2001). Human Development Report 2001: Making new technologies work for human development. New York: Oxford University Press.

Zen M.T. (Ed.). (1979). Menuju Kelestarian Lingkungan Hidup. Jakarta: PT Gramedia

Rujukan Dalam Talian ( Online References )

Boehm, R.G. (1996). Association of American Geographers : Cultural and Human Geography. Diakses dari http://www.aag.org/Careers/Cultural_Human_Geography.html

Department of Anthropology and Geography University Nebraska-Lincorn.(2003).

Human and Economic Geography. Diakses dari http://www.unl.edu/ag/geography/human.htm

Janmaat, J. (2001, Februari 9). Re: [EP] Practices to reconnect. Mesej diperolehi dari http://www.ises.abo.fi/tren/ecological/0397.htm

World Resource Institute. (1999). Population and Human Well-Being: Urban Growth. Diakses dari http://www.wri.org/wri/wr-98-99/citygrow.htm


Cite this article as: Augustine Towonsing, "Geografi Ekonomi: Kepentingan Peranan Dalam Hubungan Tradisi Manusia Dengan Alam Sekitar," in Malaysian Ghost Research, July 11, 2016, https://www.malaysian-ghost-research.org/geografi-ekonomi-kepentingan-peranan-dalam-hubungan-tradisi-manusia-dengan-alam-sekitar/

Related Post

The following two tabs change content below.
A member of the UK Geographical Association, the Assistant Afternoon Supervisor of Gurun Secondary School (Kedah, Malaysia), a Geography teacher with 22 years of teaching experience and holds a masters degree in Geography, an outdoor education trainer, an education application developer, an environmental researcher, a photographer, a videographer, a solo paranormal and ghost researcher, as well as the sole founder of Malaysian Ghost Research.

Copyright © 2016 Malaysian Ghost Research. All Rights Reserved.
Information about how to reuse or republish this work may be available at Malaysian Ghost Research Copyright.

Loading Facebook Comments ...

Leave a Comment