Pemikiran Umum

Konsep Derhaka Dalam Teks Melayu Klasik Terpilih

Latar Belakang Konsep Derhaka

Jika kita perhatikan 1teks – teks Melayu Klasik terpilih memang terdapat banyak aksi penderhakaan yang telah dilakukan oleh watak-watak dalam teks-teks berkenaan. Malahan, konsep derhaka ini semacam tidak boleh dikeluarkan daripada teks-teks berkenaan. 2Teks Sejarah Melayu oleh pengarang Tun Sri Lanang versi Shellabear jelas terdapat permulaan satu peristiwa penting yang membawa pada kewujudan konsep ‘Raja’ yang sekaligus membawa konsep derhaka. Jadi, di bawah ini penulis suka perturunkan peristiwa perjanjian atau waadat Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba.

Cite this article as: Augustine Towonsing. (June 14, 2016). Konsep Derhaka Dalam Teks Melayu Klasik Terpilih. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/konsep-derhaka-dalam-teks-melayu-klasik-terpilih/

Sekadar Hiasan: Penentangan bersifat agresif merupakan penentangan paling berani dalam konsep beraja.
Sekadar Hiasan: Penentangan bersifat agresif merupakan penentangan paling berani dalam konsep beraja.

3“Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata – kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum Syarak’ Maka titah Sang Sapurba,’Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba. ‘Maka sembah Dernang Lebar Daun, ‘Janji yang mana itu, Tuanku?’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun rnengubahkanlah’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Baikiah, kabullah hamba akan waadat itu’ Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhana wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah derhaka dan memalingkan muka pada rajanya, Jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.”

 Daripada peristiwa inilah maka konsep daulat dan derhaka bermula. Apa yang menarik, di sini penulis ingin mengupas sedikit berkaitan dengan konsep daulat terlebih dahulu sebelum konsep derhaka dibincang kewujudan konsep daulat ini wujud juga konsep derhaka. Mengikut Dr. Teuku Iskandar, perkataan 4daulat membawa beberapa pengertian iaitu 5bahagia dan kebahagiaan. Perkataan ini juga membawa makna 6ya dan benar. Perkataan ini juga membawa pengertian sebagai 7kuasa dan makna terakhir yang diberikan adalah 8tulah. Sehubungan dengan definisi ‘daulat’ yang diberikan di atas tadi, maka jelas bahawa konsep ini memaparkan supaya rakyat mesti taat, patuh dan setia kepada pemerintah atau sultan. Menentang sultan bererti derhaka. Rakyat yang menderhaka kepada raja atau sultan akan menerima bencana kerana baginda mempunyai kedaulatan. Menurut Ahmad Bahraim 9seseorang raja dianggap berdaulat setelah menjalani satu proses 10adat istiadat. Untuk menunjukkan bahawa seseorang raja itu berdaulat dinyatakan oleh sekalian rakyat dengan seruan ‘daulat tuanku’. SP Star pula mendefinisikan ‘daulat’ sebagai 11perkataan yang berasal daripada perkataan Arab, “daulah” yang bermaksud “negeri”. Walau bagaimanapun, daulat bermaksud kesucian seseorang raja dan bagi masyarakat melayu, konsep ini menjadi batas pemisah antara raja dengan rakyat biasa. Konsep ini juga merupakan unsur asas pada kekuasaan dan keagungan seseorang raja dan kerajaannya. Di Tanah Melayu, telah banyak berlaku kes yang membabitkan persoalan daulat ini.

Sebagai kesimpulan, perjanjian di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun telah membawa kepada bermulanya konsep beraja dengan ‘daulat’ dan ‘derhaka’ yang boleh dianggap sebagai 12kontrak sosial. Dalam perjanjian ini Demang Lebar Daun mewakili rakyat telah bersetuju mempertuankan Sang Sapurba yang mewakili golongan raja sebagai raja dan berjanji akan setia dan tidak menderhaka kepada raja. Manakala pihak raja pula bersetuju akan memerintah kerajaan dengan adil dan tidak akan memalukan rakyatnya dengan kata-kata tetapi sebaliknya jika perlu akan dihukum bunuh. Perkara utama yang jelas dalam perjanjian ini ialah tentang balasan yang diterima oleh kedua – dua pihak sekiranya melanggar perjanjian tersebut.

Definisi Konsep Derhaka

Seperti yang penulis katakan tadi, konsep derhaka hanya wujud apabila termeterainya perjanjian atau waadat di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Walau bagaimanapun, terdapat banyak definisi yang diberikan mengenai konsep derhaka selaras dengan ilmu yang dimiliki oleh manusia. Mengikut Dr. Teuku Iskandar perkataan 13derhaka membawa maksud tidak taat atau 14khianat kepada negara serta bermaksud juga sebagai menentang kekuasaan yang sah. Walau bagaimanapun Prof. Madya Dr. Hj. Azahari Ismail menerangkan bahawa 15derhaka terbahagi kepada dua dimensi iaitu menghina, sabotaj, sudah pandai tetapi tidak menyedarkan atau mengambil tindakan terhadap seseorang yang terpesong atau dengan kata lain tidak membimbing untuk membaikinya.

Manakala Oman Fathurahman menerangkan,  16konsep derhaka sebagai Sifat mutlak kekuasaan raja atau penguasa dalam tradisi politik Islam Melayu. Ini kemudian lebih diperkuat lagi dengan konsep “setia” dan “derhaka”, yang juga menescayakan kemutlakan kekuasaan raja, sehingga rakyat dituntut untuk setia tanpa batas. Mereka yang ingkar (derhaka) kepada raja akan menerima hukuman. Hukum sendiri, dalam Undang-undang Melaka misalnya, dikemukakan sebagai sebuah aspek martabat raja: “…siapa saja yang melanggar apa yang telah dinyatakan dalam undang-undang ini, dinyatakan bersalah melakukan pengkhianatan terhadap Sri Baginda…”. Pada gilirannya, posisi hukum demikian sering kali mengakibatkan munculnya tindakan-tindakan raja yang sewenang-wenang, tidak bertumpu pada asas rule of law, tidak terbuka terhadap keragaman, dan seterusnya membawa kepada pengadilan berdasarkan kuasa mutlak semata – mata. Ini bermaksud rakyat perlu setia kepada raja tanpa berbelah bahagi dan ini menepati definisi kontrak sosial yang diberikan oleh Hobbes (1588-1679) yang mana rakyat 17perlu mengikut perintah raja secara mutlak dan kontrak itu tidak boleh dirungkai sampai bila-bila.

Sehubungan dengan itu, disebut dalam Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu bahawa 18derhaka ialah istilah sosiobudaya dan budaya politik masyarakat Melayu yang bermaksud menafi, menentang, membantah menidakkan atau melakukan perbuatan atau tindakan kontra terhadap pihak yang lebih tinggi taraf atau kedudukan batang tubuh serta peribadi seseorang, pemegang kuasa atau wibawa dalam sesebuah organisasi sehingga ke peringkat kerajaan, negeri dan negara.

Bertentangan dengan derhaka adalah patuh, taat dan setia kepada pihak yang berkenaan. Manakala Cikgu Isa menyatakan,  19istilah ‘derhaka’ berasal daripada istilah Sanskrit “drohaka” dan disebut dengan pelbagai sebutan seperti “durhaka”, 20″derhaka”, dan “derahka”. Dalam kalangan masyarakat Minangkabau, mereka menyebut “dahaga”, “daga”, “dago” dan “dagu”. Beliau juga menyebut, dalam konteks kekeluargaan, derhaka sering dikaitkan dengan perbuatan ingkar seseorang isteri kepada suami, seorang anak kepada ibu bapa dan seseorang terhadap sumpah janjinya atau ikrar. Seawal yang diketahui, penggunaan derhaka dalam sejarah budaya politik Melayu telah ada sejak zaman kerajaan Sriwijaya. Konteks ini mengambil taraf perlakuan tertinggi dalam sesebuah organisasi masyarakat.

Sebagai kesimpulan, ‘derhaka’ di sini membawa maksud menentang, mengkhianati dan tidak taat kepada 21seseorang yang memberi perlindungan atau mempunyai hak ke atas seseorang atau masyarakat. Konsep ini juga wujud selari dengan konsep ‘setia’ dan ‘derhaka’ yang diamalkan oleh masyarakat melayu sejak sekian lama.

Jenis – Jenis Derhaka

Seperti yang penulis katakan tadi, penderhakaan bukan sekadar kepada  raja dalam konteks masa kini. Walaupun, perbincangan ini menumpukan perbincangan tentang bentuk penderhakaan terhadap raja tetapi penderhakaan bukan hanya berlaku ke atas raja sebaliknya istilah ‘derhaka’ ini digunakan juga dalam menghurai bentuk – bentuk penderhakaan yang lain.

Pada pandangan penulis penderhakaan yang paling besar kesan terhadap kehidupan manusia ialah menderhaka kepada Pencipta dan agama kerana Pencipta telah menjadikan manusia serupa dengan imej – Nya. Allah berkuasa menghukum manusia yang melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Penderhakaan bentuk ke dua ialah penderhakaan terhadap suami berdasarkan Islam. Mengikut Ustaz Ahmad Ismail, bahawa 22suami merupakan ketua keluarga dan diberikan beberapa keistimewaan oleh Allah kerana suami menjaga dan memberi nafkah kepada keluarga. Kenyataan beliau disokong oleh ayat yang beliau petik seperti dilihat di dalam petikan di bawah:

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (Al-Nisa’, 4:34)

Ini bermaksud, para isteri tidak boleh menderhaka terhadap suami kerana kaum wanita adalah wajib taat kepada suami. Jadi, jelas di sini bahawa memang wujud penderhakaan terhadap suami. Bentuk penderhakaan yang seterusnya ialah penderhakaan terhadap ibu bapa. Menurut Maulana Abdullah Yusuf Ali menterjemahkan maksud Al – Quran seperti yang berikut;-

“Ha!”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (Al-Israk, 17:23)

Sebagai kesimpulan, seseorang anak diwajibkan berbuat baik terhadap orang tua, menjaga mereka dan berkelakuan dengan baik dan tidak mengeluarkan kata – kata yang kesat terhadap orang tua mereka. Perbuatan seperti ini bukan sahaja dituntut oleh 25agama tetapi juga merupakan perbuatan yang mulia sebagai membalas jasa kedua orang tua yang telah bersusah paya mendidik seseorang sehingga menjadi manusia yang berguna. Sehubungan dengan itu, Prof. Dr. Hamka juga memetik sebuah 26hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Hadis itu menegaskan bahawa berdosa besarlah seseorang yang memaki ibu bapanya. Lalu ada seseorang ingin mendapat kepastian daripada Rasulullah, iaitu dalam realiti ada atau tidak manusia yang memaki ibu bapa sendiri. Dilaporkan, Rasulullah s.a.w. menjawab, “Memang ada. Seseorang mencaci ayah orang dan ibu orang. Lalu orang itu membalas, mencaci maki ayahnya pula dan ibunya pula.” Berbalik kepada definisi yang diberikan oleh Cikgu Isa tadi dalam 27konteks kekeluargaan, derhaka sering dikaitkan dengan perbuatan ingkar seseorang isteri kepada suami, seorang anak kepada ibu bapa dan seseorang terhadap sumpah janjinya atau ikrar. Apa yang menarik di sini ialah bahawa seseorang yang tidak menepati sumpah atau janji juga dianggap derhaka dan ini sesuai dengan definisi yang beliau berikan.

Walaupun terdapat pelbagai jenis penderhakaan yang meliputi segala aspek kehidupan manusia. Tetapi, dalam konteks perbincangan ini tumpuan adalah penderhakaan terhadap raja kerana menurut Abdul Rahman Kassim 28Raja juga adalah ketua bagi menjalankan pemerintahan yang terdiri daripada kanun, syarak, resam dan adat istiadat. Raja adalah sebagai payung bagi negara dan perpaduan bangsa, sesuai dengan ungkapan ‘Raja adalah ibarat payung Allah di muka bumi’. Dengan itu, rajalah yang melindungi negaranya dari segala ancaman atau gejala yang tidak diingini. Raja juga adalah selaku pemimpin dan penaung kepada rakyat serta memegang amanah Allah bagi menjalankan kuasa tertinggi memerintah negara. Hasil dari sistem beraja ini, wujudlah hubungan dua hala antara raja dan rakyat iaitu ‘Raja tak boleh zalim, rakyat tak boleh derhaka’, ‘Raja untuk rakyat dan rakyat untuk Raja’.

Sebagai kesimpulan, jenis – jenis penderhakaan merangkumi penderhakaan terhadap Allah dan agama, ibu bapa, suami dan juga terhadap diri sendiri. Walau bagaimanapun, dalam konteks perbincangan ini  perlu konsep ‘setia’ di antara raja dengan rakyat untuk mencapai perpaduan.

Fokus : Penderhakaan Terhadap Raja

Dalam perbincangan ini, fokus utama ialah bentuk penderhakaan terhadap raja dengan berdasarkan contoh – contoh yang terdapat dalam teks Melayu Klasik Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa dan Sulalatus Salatin. Sehubungan dengan itu, penulis tertarik dengan perbincangan oleh Hassan Karim yang menyebut dalam 29sistem beraja wujud idea kontrak sosial (Social Contract ) di antara pemerintah dengan rakyat. Malahan, menurut beliau idea ini sebenarnya telah wujud sejak 2500 tahun dahulu yang dipopularkan oleh Pluto dalam tulisannya Republic. Malahan, idea ini juga disokong oleh 30ahli – ahli falsafah yang terkemudian yang menerangkan konsep ini secara terperinci dengan berlandaskan pada premis bahawa kuasa dalam pemerintahan terletak di dalam tangan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, berdasarkan dalam kebudayaan kerajaan Melayu Lama dan dalam amalan sistem beraja  konsep ini seolah – olah tidak wujud walaupun konsep ini beransur – ansur menjadi semakin ketara dalam pemerintahan sistem beraja di Asia Tenggara khususnya dalam kerajaan – kerajaan awal Nusantara seperti Kerajaan Melaka, Pasai dan lain – lain.

Dalam teks kajian ini mendapati terdapat beberapa corak penderhakaan yang dilakukan oleh rakyat terhadap pemerintah sebagai menentang tindakan pemerintah yang melakukan kekejaman dan ketidakadilan dalam pemerintahan. Corak – corak penderhakaan yang dilakukan oleh golongan rakyat adalah seperti berikut:-

Penderhakaan Bercorak Agresif

Mengikut Dr. Teuku Iskandar, perkataan 31agresif membawa maksud cenderung 32menyerang atau berlaku secara bermusuhan atau terhadap 33pihak yang lain, bersifat suka 34menyerang. Manakala Macmillan Publishers Ltd. Memberi pengertian istilah agresif 35(aggressive) membawa makna bertindak marah, bersikap kasar menunjukkan seseorang itu mahu melawan, menyerang atau bertengkar dengan seseorang (behaving in an angry or rude way that shows you want to fight, attack, or argue with someone) atau seseorang yang agresif yang menentukan kemenangan atau kejayaan (someone who is aggressive is very determined to win or be successful.)

Berdasarkan pada definisi yang diberikan di atas jelas bahawa corak penderhakaan yang bersifat agresif ini merupakan bentuk penderhakaan yang paling berani dilakukan oleh golongan rakyat terhadap kekejaman yang dilakukan oleh raja. Dalam Sejarah Melayu misalnya Hang Kasturi, disebut bercinta dengan seorang dayang istana yang “dipakai” raja. Perbuatan Hang Kasturi dianggap derhaka kepada raja dan ini kesalahan yang serius. Bukan sahaja Hang Kasturi dibunuh, malah semua anggota keluarganya turut dibunuh. Rumahnya dirobohkan, tapak rumahnya juga dikorek dan dibuang ke laut.

Manakala dalam Hikayat Hang Tuah pula digambarkan Hang Jebat telah menderhaka terhadap Sultan Melaka. Hang Jebat telah menentang Sultan Melaka secara terbuka kerana Sultan telah menjatuhi hukuman bunuh secara tidak adil terhadap Hang Tuah, sahabat Hang Jebat. Peristiwa penentangan Hang Jebat itu merupakan cabaran terbuka secara agresif malahan dalam penentangan ini Hang Jebat juga telah memporak – porandakan negeri Melaka dan ini adalah sebenarnya bertentangan dengan waadat yang telah dibuat di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Hang Jebat sebenarnya berpendirian bahawa raja yang zalim tidak wajar dipatuhi, sebaliknya perlu ditentang. Tetapi karakter Hang Tuah menggambarkan watak yang mahu mempertahankan status quo bahawa “pantang Melayu menderhaka terhadap rajanya”.

Dalam Sulalatus Salatin pula menunjukkan bagaimana Sang Rajuna Tapa menderhaka kepada Raja Iskandar Syah atas kekejaman raja memalukan anaknya di hujung pasar akibat daripada fitnah. Sebagai tindak balas Sang Rajuna Tapa, dia telah bertindak mengkhianati raja dengan mempelawa Betara Majapahit supaya datang menyerang Singapura seperti di dalam suratnya kepada Batara Majapahit.

36Hatta, maka Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Majapahit, demikian bunyinya, “Sang Rajuna Tapa. Bendahari Raja Singapura empunya sembah kepada Betara Majapahit, jikalau Betara hendak mengalahkan Singapura, segeralah datang; hamba ada belot dalam negeri.”

Akibat daripada tindakan Sang Rajuna Tapa maka kerajaan Singapura telah dikalahkan oleh Majapahit yang telah memaksa Raja Iskandar Syah melarikan diri. Apa yang jelas akibat daripada penderhakaan ini nampak bahawa kedua – dua pihak sebenarnya telah melanggar waadat yang pernah dimeteraikan oleh 37Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Akibat daripada kekejaman raja, maka telah membawa kepada kejatuhan kerajaannya dan dipihak penderhaka pula telah dimakan oleh sumpah seperti yang dinyatakan di dalam petikan di bawah:-

38Adapun akan Sang Rajuna Tapa, dengan takdir Allah Taala menunjukkan kuasan – Nya, baharu hendak mengambil beras, tiba – tiba rengkiang beras itu pun berbalik, jatuh ke parit, kaki tiangnya ke atas dan bumbungnya ke bawah; Sang Rajuna Tapa pun jatuh tersungkur di tengah parit itu, laki bini menjadi batu; ada datang sekarang dengan beras itu.

Sebagai kesimpulan, penentangan secara agresif ini merupakan hasil daripada tindak balas golongan rakyat terhadap kekejaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh golongan pemerintah. Untuk menyatakan rasa tidak puas hati penentangan secara agresif dilakukan dan hasilnya jelas bahawa berbalik kepada waadat di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun raja yang zalim akan mendapat balasan  kerajaannya akan hancur manakala rakyat yang menderhaka pula akan dibunuh dan bumbung rumah akan dibalikkan dan demikianlah apa yang terjadi kepada Hang Kasturi dan Hang Jebat kerana menderhakan kepada raja.

Penderhakaan Bercorak Sindiran

Istilah 39‘sindiran’ di sini berupa 40perkataan dan lain – lain yang digunakan untuk mengatai, mengeji, mengejek, mencela orang tidak dengan terus terang. Jadi, ini bermakna penderhakaan jenis ini adalah penderhakaan yang dibuat secara berkias atau tidak dengan terang – terangan sebagai membantah atau tidak bersetuju dengan tindakan raja. Dalam buku Sulalatus Salatin disebut bagaimana penderhakaan Tun Biajid terhadap Sultan Mahmud dengan kata – kata seperti yang berikut:-

41“Hei Sultan Mahmud, demikiankah pekerjaaan tuan hamba akan hamba? Penulisng tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama si Biajid anak Laksamana Hang Tuah.”

Kata – kata ini dilemparkan oleh Tun Biajid kepada Sultan Mahmud sebagai sindiran perbuatan terkutuknya yang bermain dengan isterinya. Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud tidak menghukum Tun Biajid di atas perbuatannya kerana menyedari tindakannya adalah benar dan perbuatan yang dilakukan olehnya memang adalah salah dan patut dibunuh oleh Tun Biajid.

Corak penderhakaan seperti ini dilakukan oleh golongan rakyat sebagai tindak balas dan penentangan dan dalam kes di atas sultan tidak melakukan apa – apa terhadap Tun Biajid kerana kebenaran. Walau bagaimanapun, tindakan Tun Telanai Terengganu pula berbeza sehingga membawa kepada hukuman bunuh seperti di dalam petikan di bawah:-

42“Adapun Telanai Terengganu kita suruh bunuh itu sebab biadab mulutnya, mengata – ngata negeri Melaka di bawah 43kelengkapannya.”

Sebagai kesimpulan bahawa penderhakaan bercorak sindiran yang menggunakan kata – kata dalam keadaan tertentu boleh dihukum bunuh kerana secara terang –terangan menderhaka seperti perbuatan Tun Telanai yang menghina kerajaan Melaka.

Corak Penderhakaan Bersifat Menghalau

Jika ditafsirkan perkataan ‘menghalau’ secara literal lebih merujuk pada perbuatan menyingkirkan seseorang atas sebab – sebab tertentu tetapi pihak yang disingkirkan itu tidak dibunuh atau dicederakan.

Walau bagaimanapun, mengikut tafsiran Dr. Teuku Iskandar bahawa ‘menghalau’ membawa makna 44melakukan sesuatu yang mengarahkan binatang menuju ke sesuatu tempat, menggiring. Makna kedua bermaksud mengenyahkan atau mengusir.

Sebagai kesimpulan daripada definisi yang diberikan bolehlah katakan bahawa perbuatan menghalau itu sebagai perbuatan mengusir seseorang ke tempat lain secara paksa. Corak penderhakaan seperti ini dapat dilihat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Sehubungan dengan itu, perbuatan Raja Perempuan dan Menteri Keempat yang meletakkan peluru palsu semasa dalam peperangan dengan Raja Bersiung dengan tujuan rakyat tidak mati dalam peperangan tersebut. Sehubungan dengan itu, di sebalik tindakan ini sebenarnya merupakan tindakan penderhakaan bercorak menghalau di atas tindakan Raja Bersiung yang kejam dengan meminum dan memakan hati manusia.

Sebagai kesimpulan, jelas dalam kes – kes tertentu golongan rakyat tidak menderhaka secara terang – terangan tetapi dengan bertindak menghalau seseorang raja secara paksa dengan tidak memberikan sokongan kepada raja atau sultan yang berkenaan.

Penderhakaan Bercorak Nasihat

Perkataan ‘nasihat’ di sini bermaksud memberi pandangan dan panduan kepada seseorang apabila seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang melanggar tatasusila atau bertindak dengan tidak mengikut peraturan. Tetapi, penulis berpendapat corak ini bukanlah corak penderhakaan yang boleh dianggap sebagai corak penderhakaan yang sebenar kerana nasihat boleh dianggap sebagai bimbingan atau tunjuk ajar atau buah fikiran.

Seperti yang didefinisikan oleh Dr. Teuku Iskandar yang menyatakan , nasihat 45bermaksud ajaran, petunjuk yang baik serta peringatan. Jadi, pada hemat penulis nasihat bukanlah corak penderhakaan dalam erti kata yang sebenar kerana jika dilihat dalam struktur kerajaan Melayu Melaka dan kerajaan Melayu kuno yang lain memang wujud jawatan Bendahara yang bertindak sebagai penasihat kepada sultan atau raja. Malahan dalam kes – kes tertentu kemakmuran dan kegemilangan sesebuah kerajaan itu bergantung pada kebijaksanaan bendaharanya. Ini jelas dalam Sejarah Melayu dan dalam Hikayat Hang Tuah, dengan kebijaksanaan bendahara Melaka iaitu Tun Perak menasihati raja telah membawa pada kemakmuran kerajaan malahan kegemilangan kerajaan Melaka juga bergantung penuh pada Bendahara Tun Perak. Ini jelas selepas kematian Tun Perak kegemilangan Melaka sebagai sebuah empayar semakin pudar.

Dalam pada itu, berbalik pada penderhakaan bercorak nasihat jelas sekali dalam Hikayat Merong Mahawangsa dinyatakan Menteri Keempat telah datang mengadap Raja Bersiung. Mereka melarang ia daripada makan hati dan darah manusia tetapi dia tidak menerima nasihat itu sebaliknya bersedia untuk berperang dengan Menteri Keempat.

Kalau diteliti kisah di atas, jelas Menteri Keempat memberi nasihat kepada Raja Bersiung. Nasihat di sini bermaksud memberi petunjuk yang benar supaya raja meninggalkan perbuatan kejamnya. Kalau dikaji dalam peristiwa ini, jelas bahawa berlaku peperangan di antara Menteri Keempat dengan Raja Bersiung. Tetapi, apa yang menarik di sini ialah ‘penderhakaan’ yang dibuat oleh Menteri Keempat ini tidak membawa padah kerana dalam ‘penderhakaan’ tadi Menteri Keempat bukannya menderhaka dalam erti yang sebenar kerana dalam peperangan itu dia telah menggunakan peluru palsu sebaliknya dalam hal ini Raja Bersiung telah melanggar waadat yang telah dimeteraikan oleh Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun dan kesannya ialah Raja Bersiung terpaksa melarikan diri dan kehilangan kerajaannya sebagai balasan kepada kekejaman yang dilakukannya ke atas rakyatnya.

Sebagai kesimpulan, penulis dapati ‘penderhakaan’ bercorak nasihat bukanlah penderhakaan dalam erti kata yang sebenar kerana tindakan seperti ini merupakan tugas penasihat raja yakni bendahara atau seseorang yang dianggap berkelayakan untuk membetulkan atau memberi nasihat kepada raja. Ini kerana memberi nasihat untuk membawa ke arah kebaikan itu pada hemat penulis adalah dituntut oleh sosial budaya masyarakat dan juga agama.

Penderhakaan Bercorak Lembut

Dr. Teuku Iskandar mendefinisikan perkataan 46‘lembut’ sebagai tidak keras, mudah lentur, lemah, lembik, lunak, baik hati, elok perangai, sopan, menarik, 47tidak kaku atau garang dan 48tidak keras atau terlalu terang.

Jadi, untuk mengaitkan penderhakaan corak ini penulis suka sekiranya penderhakaan bercorak lembut ini diistilahkan sebagai penderhakaan yang bersifat toleransi iaitu penentangan terhadap raja dengan bukan berdasarkan sikap agresif tetapi dengan menggunakan pemikiran dan tindakan terkawal yang sangat ‘halus’ sehingga penentangan ini tidak mendatangkan kesan ketara walaupun kesan tersebut ada.

Jika dikaji dalam Sejarah Melayu, tindakan Tun Fatimah yang menderhaka kepada Sultan Mahmud secara senyap merupakan satu bentuk penderhakaan yang lembut yang mana sultan tidak dapat menghukumnya. Sehubungan dengan ini, dikatakan Tun Fatimah bertindak tidak senyum dan tidak mahu mengandung zuriat Sultan Mahmud. Hanya apabila, Sultan Mahmud berjanji akan menjadikan anak Tun Fatimah sebagai raja barulah Tun Fatimah bersetuju mengandung anak Sultan Mahmud.

Sekiranya diteliti secara halus, tindakan Tun Fatimah ini bertitik tolak daripada kekejaman Sultan Mahmud yang telah membinasakan keluarga Tun Fatimah kerana hawa nafsu. Sebagai penentangannya, Tun Fatimah telah bertindak menderhaka secara senyap.

Sebagai kesimpulan, bentuk penderhakaan yang dilakukan oleh Tun Fatimah tidak membawa padah kepada Tun Fatimah kerana kalau diteliti dia tidak menderhaka dalam erti kata yang sebenar kerana penulis berpendapat bahawa seseorang itu boleh dikatakan menderhaka kepada raja apabila secara terang – terangan tindakan itu telah memalukan raja dan raja sendiri merasa tercabar sehingga mengeluarkan perintah membunuh penderhaka.

Motif Penderhakaan

Jika dikaji bentuk – bentuk penderhakaan yang telah dibincangkan tadi, jelas terdapat motif di sebalik bentuk corak penderhakaan yang telah dilakukan oleh 49golongan rakyat terhadap raja.

Secara keseluruhan, daripada bentuk penderhakaan yang penulis dapati dalam perbincangan ini motif utama yang boleh dilihat ialah penentangan tindakan kejam raja, memberikan petunjuk, sebagai menghina dan juga sebagai membalas dendam. Dalam kategori penentangan apa yang penulis lihat bahawa Hang Kasturi, Hang Jebat dan Sang Rajuna Tapa merupakan wakil golongan yang menentang raja secara terang – terangan dengan menggunakan tindakan agresif sebagai tindakan menentang kekejaman raja. Apa yang menarik di sini ialah jelas semacam ada kebenaran pendapat Hassan Karim 50bahawa konsep ‘setia’ dan derhaka di antara pemerintah dan rakyat wujud semacam kontrak sosial yang mana dalam hal ini jelas Hang Jebat berpendirian bahawa raja yang zalim tidak wajar dipatuhi, sebaliknya perlu ditentang.

Demikian juga Laksamana Bentan dalam tragedi yang mana isteri Laksamana yang sedang mengandung dibunuh oleh Sultan hanya kerana memakan seulas nangka milik Sultan telah mencetuskan penentangan terbuka Laksamana terhadap Sultan. Kata-kata yang keluar dari mulut Laksamana ketika dia mencabar Sultan Mahmud itu ialah: “Raja adil raja disembah; Raja zalim, raja disanggah,”

Tetapi, apa yang menarik di sini ialah penentangan bentuk agresif ini secara terang – terangan melanggar kontrak sosial yang telah dimeterai oleh Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Walau bagaimanapun, penulis berpendapat bentuk penentangan ini juga mencapai matlamat kerana walau pun ‘penderhaka’ raja terhukum tetapi sebenarnya raja juga turut terhukum maka pada penulis penderhakaan yang dilakukan oleh Hang Jebat dan Sang Rajuna Tapa adalah wajar dalam konteks masa kini kerana penulis berpendapat bahawa kekejaman patut dihentikan.

Dalam aspek penentangan sebagai petunjuk jelas sebagai jalan kebaikan dan dalam hal ini nampaknya memberi nasihat dan petunjuk bukanlah satu penderhakaan asalkan nasihat yang diberikan itu masih berlandaskan kepada waadat yang telah dimeteraikan. Walau bagaimanapun, kesan masih juga dapat dilihat ke atas pihak yang diberikan nasihat yang akhirnya membawa kehancuran kepada kerajaan seperti yang berlaku kepada Raja Bersiung.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pada ‘kontrak sosial’ yang diadakan di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun ada menyebut perkataan ‘memberi aib’ pada pendapat penulis bahawa perkataan ini bukan sekadar ditujukan kepada raja tetapi juga kepada golongan rakyat. Kesan yang paling jelas tentang penderhakaan jenis ini juga telah membawa padah kepada penderhaka seperti Tun Telanai yang menghina negeri Melaka.

Walau bagaimanapun, apa yang jelas dalam bentuk penderhakaan corak lembut dan nasihat adalah corak penderhakaan yang paling berjaya kerana penderhakaan corak ini adalah senyap bersifat ‘lembut’ dan bertoleransi. Tindakan Tun Fatimah contohnya, yang bertindak tidak mahu mengandung zuriat Sultan Mahmud merupakan bentuk penentangan yang lembut kerana perbuatan ‘menggugurkan’ kandungan boleh kelihatan disengajakan atau disebaliknya. Oleh yang demikian, jelas motif penderhakaan rakyat terhadap golongan pemerintah adalah sebagai menentang kekejaman, membalas dendam dan juga  memberi nasihat walau bagaimanapun penulis bersetuju bahawa penderhakaan bercorak lembut dan nasihat adalah tidak bertentangan dengan kontrak sosial yang diadakan oleh Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun melalui perjanjian.

Kesimpulan

Hasil perbincangan ini menunjukkan konsep derhaka telah bermula dengan termeterainya perjanjian di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Jika diteliti perjanjian ini bolehlah dianggap sebagai satu bentuk ‘kontrak sosial’ yang pada pandangan penulis bukannya berbentuk sehala. Oleh yang demikian, penulis berpendapat perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba sebagai satu kontrak sosial di antara rakyat dengan raja.

Kalau diteliti dengan halus isi kandungan perjanjian di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun sebenarnya kedua – dua pihak telah membuat andaian bahawa anak cucu mereka sudah pasti berhadapan dengan kekejaman raja dan penderhakaan rakyat. Walau bagaimanapun, dalam ‘penderhakaan’ rakyat terhadap raja seolah – olah terdapat ruang yang membolehkan rakyat menderhaka kepada raja iaitu melalui penderhakaan ‘halus’ seperti memberi nasihat dan menentang secara spiritual atau secara lembut kerana penulis berpendapat corak ini tidak dinyatakan sebagai derhaka dalam perjanjian yang dibuat oleh Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Sebagai kesimpulan, jelas bahawa teks – teks melayu klasik terpilih yang penulis gunakan dalam perbincangan ini mempaparkan wujudnya konsep derhaka dalam hubungan kontrak sosial di antara pemerintah dan rakyat.

Nota kaki:

1 Teks – teks melayu terpilih yang saya maksudkan ialah teks klasik terdiri daripada Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja – raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Banjar, Syair Sultan Maulana dan Hikayat Hang Tuah.

 2 Sejarah Melayu dikatakan terdapat di dalam 3 versi iaitu versi Shellabear yang dirujuk oleh A.Samad Ahmad sebagai versi A, versi Abdullah sebagai versi B dan edisi Winstedt yang diusahakan oleh R.O Winstedt.

3 Lihat Shellabear W.G. Sejarah Melayu (Edisi Ketiga).,Kuala Lumpur : Fajar Bakti, 1977. hlm. 19 – 20.

4 Lihat Dr. Teuku Iskandar. Kamus Dewan Edisi Ketiga. (Suntingan Hajah Noresah Bt. Baharom).

KL : DBP, 2000, hlm. 276.

5 Maksud ini ditujukan kepada raja – raja yang memerintah.

6 Ini bermakna daulat digunakan ketika menyambut titah raja dan sebagainya

7 Perkataan kuasa di sini merujuk kepada kuasa pada raja atau kerajaan.

8 Maksud tulah sebagai maksud kepada daulat amat jarang digunakan.

9 Lihat Ahmad Bahraim. “Warisan Kesultanan Melayu”. Laman Web Tatabahasabm Tripod Com (Online ), 2002, didapati di http://tatabahasabm.tripod.com/bank/melaka.pdf.

10 Adat istiadat yang dimaksudkan di sini ialah adat pertabalan yang dilaksanakan oleh seseorang biasanya dikendalikan oleh bendahara.

11 Lihat SP Star. “Sistem Beraja”. Laman WebGeocities Com (Online ), 2000, didapati di http://www.geocities.com/cominglucky/sistem_beraja.htm

12 Ini bermaksud bahawa pemerintah dan rakyat membuat perjanjian untuk bekerjasama dalam soal sosial budaya.

13 Lih. Dr. Teuku Iskandar, op. cit, hlm. 295

14 Perkataan khianat juga dirujuk kepada ketidak taatan terhadap Tuhan, orang tua, suami, isteri dan lain – lain.

15 Lihat Prof. Madya Dr. Hj. Azahari Ismail. “Tokoh Guru”, Laman Web Cikgu Net (Online ), 2002, didapati di http://www.cikgu.net/edisikhas/celebritiazahari.php3

16 Lihat Oman Fathurahman. “Derhaka Perspektif Islam”, Laman Web Islamlib Com (Online), 2000, didapati di http://islamlib.com/KOLOM/fathurahman.html

17 Lihat Gregory S. Kavka. Hobbesian Moral And political theory. Princeton Univ Pr, 1986., hlm. 179

18 Lihat Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu.KL : DBP., hlm. 609 – 610.

19 Lihat Cikgu Isa. “Derhaka dalam Kebudayaan Melayu.” Laman Web Geocities Com (Online ),1999, didapati di http://www.geocities.com/SiliconValley/Ridge/8330/fgu_arkib/gu99_08_157_168_agu_derhaka.htm

20 Istilah ini digunakan diterima pakai di dalam sistem ejaan Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka.

21 ‘Seseorang’ yang saya maksudkan di sini ialah Tuhan, Raja, Ibu bapa, ketua dan sebagainya.

23Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sematamata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa (kamu). Jika salah seorang daripada keduaduanya ataupun kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, 24maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan.

22 Lihat Ustz. Ahmad Ismail. “Penderhakaan terhadap suami.” Laman Web Brinkster Com (Online ), 2000, didapati di http://www30.brinkster.com/islamicsquare/artikelislam/sumber16.htm

23 Lihat Maulana Abdullah. Al-Qur’anu ‘l-Karim: Terjemahan dan Huraian Maksudnya, Jilid 3 (terjemahan Abu Salah Muhammad Uthman El-Muhammady) KL: DBP., 1993, hlm. 1324-1325.

24 Tugas-tugas rohaniah dan akhlak sekarang ini dibentangkan kedua-duanya sekali gus. Kita hendaklah jangan menyembah yang lain lagi melainkan Allah sahaja, bukannya kerana “Tuhan

25 Saya berpendapat juga bahawa agama lain seperti agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain – lain agama mewajibkan anak – anak supaya menghormati orang tua.

26 Lihat Prof. Dr. Hamka. Tafsir al-Azhar Juz XV.Surabaya: Yayasan Latimojong, 1981, hlm. 39-47.

27 Lih. Cikgu Isa. Op. cit.

http://www.geocities.com/SiliconValley/Ridge/8330/fgu_arkib/gu99_08_157_168_agu_derhaka.htm

28 Lihat Abdul Rahman Kassim. “Melayu Islam Beraja Dan Nilai – nilai Luhur Yang Terkandung Di Dalamnya.” Laman Web Brunet.Bn.,27 Mac, 1999., didapati di

http://www.brunet.bn/news/pelita/27mac/sasbuday.htm

29 Lihat Hassan Karim. “Apa itu kontrak sosial.” Laman Web MindaRakyat Tripod Com (Online ), 19 Disember 2000., didapati di http://mindarakyat_2.tripod.com/2000dis/i2000-3202.htm

30 Tokoh – tokoh falsafah seperti Hugo Grotius, Kant, Rousseau dan Hobbes bersetuju bahawa wujud konrak sosial di antara pemerintah dengan rakyat.

31 Lih. Dr. Teuku Iskandar, op. cit, hlm. 13

32 Perkataan ini membawa maksud menyerang negara lain.

33 Pihak lain yang dimaksudkan di sini ialah negara lain atau individu lain.

34 Perkataan lain ialah bersengketa atau bermusuhan.

35 Lihat Macmillan Publisher Ltd. Macmillan English Dictionary International Student Edition.

Macmillan Publisher Limited (Dicetak di Malaysia), 2000, hlm.27

36 Lihat A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. KL : DBP.,1997, hlm. 69

37 Di dalam Sulalatus Salatin raja yang memeteraikan perjanjian dengan Demang Lebar Daun ialah

Seri Teri Buana.

38 Lih. A. Samad Ahmad.op. cit., hlm. 70

39 Perkataan lain yang sama makna dengan istilah ‘sindiran’ ialah kiasan.

40 Lih. Dr. Teuku Iskandar, op. cit, hlm. 1285

41 Lih. A. Samad Ahmad.op. cit., hlm. 193

42 Lih. Shellabear W.G. op. cit. hlm. 136

43 Menurut A. Samad Ahmad perkataan ‘kelengkapannya’ sebenarnya ‘kelangkangannya’ kerana beliau kata jika berdasarkan perkataan ‘kelengkapannya’ Telanai Terengganu tidak patut dihukum bunuh tetapi pembunuhan itu lebih merujuk kepada ‘kelangkangannya’ yang membawa penghinaan ke atas Melaka dan harus dibunuh.

44 Lih. Dr. Teuku Iskandar, op. cit, hlm. 430

45 Lih. Dr. Teuku Iskandar, op. cit, hlm. 922

46 Lih. Dr. Teuku Iskandar, op. cit, hlm. 790

47 Istilah ini merujuk bukan kepada rupa seseorang.

48 Apa yang dimaksudkan oleh perkataan ini bukan merujuk kepada warna tetapi lebih kepada sifat seseorang.

49 Apa yang saya dapat lihat di dalam contoh – contoh golongan rakyat yang menderhaka di sini kebanyakannya mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan pemerintah yang mempunyai kepentingan tertentu di dalam kerajaan. Saya tidak melihat golongan rakyat kelas bawahan yang menderhaka, ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan dan juga rakyat mempunyai ‘kesetiaan’ yang tidak berbalah bahagi kepada raja. 50 Lih. Hassan Karim. op. cit., http://mindarakyat_2.tripod.com/2000dis/i2000-3202.htm

Rujukan

Ahmad Ismail. (2000). Penderhakaan terhadap suami.  Diperolehi dari http://www30.brinkster.com/islamicsquaare/artikelislam/sumber16.htm

A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). KL: DBP., 1997.

Abdul Rahman Kassim. ( 27 Mac, 1997). Melayu Islam Beraja Dan Nilai – nilai Luhur Yang Terkandung Di Dalamnya.  

diperolehi dari http://www.brunet.bn/news/pelita/27mac/sasbuday.htm.

Ahmad Bahraim. (2002). Warisan Kesultanan Melayu. Diperolehi dari http://tatabahasabm.tripod.com/bank/melaka.pdf

Azahari Ismail. (2002). Tokoh Guru. Diperolehi dari http://www.cikgu.net/edisikhas/celebritiazahari.php3

Cikgu Isa. (1999). Derhaka dalam kebudayaan melayu. Diperolehi dari http//www.geocities.com/siliconValley/Ridge/8330/fgu_arkib/gu99_08_157_168_1gu_derhaka.htm.

Dr. Teuku Iskandar. Kamus Dewan Edisi Ketiga.(Suntingan Hajah Noresah Bt.Baharom.), KL : DBP.,2000.

 Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu. KL : DBP, 1989.

Gregory s. Kavka. Hobbesian Moral And Political Theory.Princeton Univ. Pr.,1986.

Hassan Karim. (19 Disember 2000). Apa Itu Kontrak Sosial. Diperolehi dari http://mindarakyat_2.tripod.com/2000dis/i2000-3202.htm.

Hamka. (1981).  Tafsir al-Azhar Juz XV. Surabaya : Yayasan Latimojong.

Kassim Ahmad. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1964.

Macmillan Publiser Ltd. Macmillan English Dictionary International Student Edition.  

Macmillan Publiser Limited (Dicetak di Malaysia), 2000.

Maulana Abdullah. Al-Qur’anu ‘l-Karim: Terjemahan dan huraian maksudnya, jilid 3 (Terjemahan Abu Salah Muhammad Uthman El-Muhammady), KL : DBP., 1993.

Oman Fathurahman. (2000). Derhaka Perspektif Islam. Diperolehi dari http://islamlib.com/KOLOM/fathurahman.html

Siti Hawa Haji Salleh (pnyl.). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur : Terbitan Bersama Yayasan Karyawan dan Penerbitan Universiti Malaya, 1998.

Shellabear W.G. Sejarah Melayu Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Fajar Bakti, 1977.

SP Star. (2000). Sistem Beraja. Diperolehi dari http//www.geocities.com/cominglucky/sistem_beraja.htm

Cite this article as: Augustine Towonsing. (June 14, 2016). Konsep Derhaka Dalam Teks Melayu Klasik Terpilih. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/konsep-derhaka-dalam-teks-melayu-klasik-terpilih/

<< Untuk Tidak Terlepas Info Penting Sila Sertai Telegram Channel >>
[ Education Malaysian Ghost Research ]


LEAVE A COMMENT:
The following two tabs change content below.
A member of the UK Geographical Association, the Assistant Afternoon Supervisor of Gurun Secondary School (Kedah, Malaysia), a Geography teacher with 24 years of teaching experience and holds a masters degree in Geography, an outdoor education trainer, an education application developer, an environmental researcher, a photographer, a videographer, a solo paranormal and ghost researcher, as well as the sole founder of Malaysian Ghost Research.

Copyright © 2016 Malaysian Ghost Research. All Rights Reserved.
Information about how to reuse or republish this work may be available at Malaysian Ghost Research Copyright.