Geography Education, Pemikiran Geografi

Landskap Budaya: Hubungan Dan Peranan Dalam Penempatan Manusia

Pengenalan Landskap Budaya

Apabila memperkatakan tentang penempatan manusia maka kita tidak dapat melarikan diri daripada memperkatakan landskap budaya kerana penempatan manusia adalah sebahagian daripada landskap budaya dan landskap budaya itu sendiri merupakan hasil daripada kegiatan manusia dalam interaksi hubungannya dengan persekitaran fizikal.

Dalam landskap budaya itu sendiri meliputi kajian bentuk muka bumi mikro, tumbuhan semula jadi, bangunan dan pola – pola   penempatan (Vogeler,   1996). Namun dalam konteks perbincangan ini landskap budaya membawa makna segala unsur yang wujud di atas permukaan bumi hasil daripada aktiviti manusia dalam hubungannya dengan alam sekitar melalui interaksi positif kegiatan ekonomi sebagai manusia ekonomi.

Gambar 1 landskap budaya memainkan peranan penting dalam penempatan manusia

Sehubungan dengan itu, istilah manusia ekonomi tidak dapat dipisahkan dalam kajian landskap budaya kerana landskap budaya merupakan hasil interaksi manusia ekonomi dengan persekitaran fizikal. Yakni, manusia geografi merupakan manusia yang menumpukan aspek–aspek persekitaran, kebudayaan, aktiviti ekonomi dan hubungan sosial kelompok manusia (Boehm, 1996).

Oleh itu, dalam konteks hubungan penempatan manusia dengan landskap budaya maka tumpuan perbincangan ini hanya merujuk pada landskap budaya di atas permukaan bentuk muka bumi fizikal yang mengalami perubahan melalui interaksi dalam hubungan manusia ekonomi dengan persekitaran fizikal.

Walau bagaimanapun, persoalan yang timbul di sini ialah di antara dua unsur tadi iaitu objek manusia dan landskap budaya perlu ditentukan unsur yang mempunyai peranan dominan terhadap unsur lain. Oleh yang demikian, penyelidik menganggap bahawa manusia merupakan unsur dinamik yang mempunyai kemampuan mengatasi halangan persekitaran fizikal. Pandangan ini bertitik tolak daripada pendapat para sarjana yang menyokong pemikiran serba kemungkinan yang mana melalui pemikiran ini manusia dianggap mempunyai peranan yang positif dan boleh mengatasi rintangan atau sekatan alam sekitar.

Pandangan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Ratzel (1892) yang menyatakan manusia merupakan komuniti yang sama dengan haiwan dan tumbuhan terpaksa bertungkus lumus untuk hidup. Kenyataan ini memang bertepatan sekali kerana dengan jelas sekali manusia dari sejak dahulu lagi berusaha bertungkus–lumus untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal tetapi dalam konteks perbincangan ini penyelidik melihat maksud ‘bertungkus–lumus’ di sini merujuk pada usaha manusia mengatasi halangan persekitaran fizikal dan bukan sekadar menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal yang dianggap dominan menentukan kehidupan manusia.

Sehubungan dengan itu juga, penyelidik bersetuju dengan pendapat Vidal De La Blache (1926) yang menyatakan bahawa perbezaan komuniti yang terdedah kepada alam sekitar fizikal yang serupa boleh dijelaskan oleh perbezaan sistem nilai, sifat dan kebudayaan. Dalam pada itu juga, penyelidik tertarik dengan kenyataan Frederich Ratzel (1892) yang menyatakan bahawa manusia merupakan komuniti yang sama dengan haiwan dan tumbuhan terpaksa bertungkus – lumus untuk hidup.

Oleh itu, memang bertepatan sekali kerana dengan jelas manusia dari sejak dahulu lagi berusaha bertungkus – lumus untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal tetapi dalam konteks perbincangan ini penyelidik melihat perkataan ‘bertungkus – lumus’ di sini merujuk pada usaha manusia mengatasi halangan persekitaran fizikal dan bukan sekadar menyesuaikan diri dengan persekitaran fizikal yang dianggap dominan menentukan kehidupan manusia.

Oleh yang demikian, berbalik pada topik perbincangan penyelidik berpendapat penempatan manusia sememangnya mempunyai hubungan dengan landskap budaya yang mana kedua – dua unsur ini saling berkaitan. Dengan itu dalam perbincangan ini penyelidik akan menggunakan Landskap budaya Kawasan bandar Sungai Petani sebagai kajian kes dalam memperkatakan hubungan penempatan manusia dengan landskap budaya.

Pengaruh Landskap Budaya Terhadap Penempatan Manusia

Kajian Kes : Bandar Sungai Petani

Bandar ini terletak di tebing Sungai Petani dan nama bandar ini juga mengambil sempena nama sungai berkenaan yang merupakan cawangan kepada Sungai Merbok. Bandar ini telah mengalami pembangunan pesat sejak tahun 1997 dan kini bandar Sungai Petani mempunyai 10 bandar satelit iaitu Bandar Aman Jaya, Banda Mutiara, Bandar Puteri Jaya, Bandar Sri Astana, Bandar Sri Cendana, Bandar Laguna Merbok, Bandar Puteri Hill Park, Legenda Heights, Darulaman Perdana dan Bandar Utama (Wikipedia, 2017).

Namun, kini dalam tahun 2017 Sungai Petani mempunyai populasi sebanyak 228,843 orang (worldpopulationreview.com, 2017) yang berbeza dengan laporan jumlah populasi yang diterbitkan oleh Wikipedia pada tahun 2010 yang menyebut Sungai Petani mempunyai bilangan populasi sebanyak 456, 605 orang.

Dari segi fizikal, bandar ini terletak di kawasan dataran yang mempunyai ketinggian lebih kurang 4 meter dari permukaan laut. Dihubungkan dengan kawasan lain dengan sistem pengangkutan darat sama ada dari utara, selatan, timur dan barat. Bandar ini boleh dimasuki melalui lebuh raya Utara Selatan dengan menggunakan pintu masuk Sungai Petani Utara atau Selatan.

Dari aspek keistimewaan lokasi, sememangnya Bandar Sungai Petani mempunyai kedudukan yang istimewa yang terletak di tengah – tengah perjalanan di antara Kedah Utara dengan Selatan yang mana bandar ini menjadi bandar persinggahan di samping sebagai pusat pentadbiran dan agihan barangan dan perkhidmatan.

Sejajar dengan perkembangan semasa kini Sungai Petani menjadi bandar terbesar di negeri Kedah mengambil alih kedudukan Alor Setar sebagai bandar terbesar pada tahun 2010 (Wikipedia, 2017; Rehab Abdul Shukur, 2015)

Landskap Budaya Bandar Sungai Petani

Penyelidik berpendapat, ukuran asas untuk menilai maju mundur sesebuah kawasan adalah bertitik tolak pada gambaran landskap budaya sesebuah kawasan berkenaan. Ini bermakna semakin banyak pembangunan di sesuatu kawasan dengan kewujudan pelbagai landskap budaya sesuatu kawasan memberi gambaran visual terhadap tahap kemajuan sesebuah kawasan yang mana The Cultural Landscape Foundation (2016) menyatakan landskap budaya merupakan tempat yang memberi gambaran terhadap asal usul dan hubungan berterusan sesuatu tempat dengan persekitaran fizikal.

Walau bagaimanapun, dalam memperkatakan landskap budaya di Bandar Sungai Petani, penyelidik rasa sudah memadai penyelidik mengambil contoh – contoh landskap budaya yang utama sahaja sebagai kerangka kepada landskap budaya yang begitu kompleks di kawasan ini.

Secara amnya, bandar ini mempunyai perhubungan darat yang sangat maju dan telah dinaiktaraf sejak tahun 1999 yang menghubungkan dengan kawasan lain. Landskap budaya penting di kawasan ini boleh dibahagikan kepada beberapa zon iaitu pusat bandar yang terdiri daripada bangunan pentadbiran dan perniagaan, zon penempatan yang terletak di kawasan sekitar yang mempunyai kepelbagaian kelas, kawasan pertanian yang terletak 10 kilometer dari kawasan pusat bandar, kawasan perindustrian yang terletak di beberapa kawasan seperti Bakar Arang, Taman Desa, Aman Jaya dan beberapa kawasan lain.

Dalam pada itu corak landskap budaya yang semakin jauh dari pusat bandar dibina penempatan – penempatan manusia, bangunan perniagaan sederhana, kawasan  perindustrian dan jarak bangunan semakin jauh di antara satu dengan lain.  penyelidik berpendapat penumpuan kawasan bangunan pentadbiran dan bangunan utama di pusat bandar ini sangat signifikan terhadap kawasan penempatan di bandar Sungai Petani yang mana penyusunan landskap budaya bangunan di pusat bandar membolehkan penduduk sekitar menjalankan kegiatan urusan harian dengan mudah tanpa banyak membuang masa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Walau bagaimanapun, jelas menunjukkan bahawa bangunan yang dibina pada peringkat awal tidak teratur serta tidak seragam serta kelihatan uzur. Dari segi kepentingan, bangunan yang dibina di kawasan bandar Sungai Petani mempunyai landskap yang teratur khususnya bangunan baru dan jarak di antara bangunan juga adalah luas berbanding dengan kawasan pusat bandar yang mana kedudukan bangunan yang terlalu rapat.

Gambar 2 landskap budaya sungai petani 2001

Kewujudan setiap bangunan ini tidak dibina dalam tahun yang sama. Ini disebabkan oleh keperluan semasa mengikut peredaran masa. Dalam konteks ini penyelidik berpendapat bahawa faktor masa sangat berperanan dalam konteks perkembangan aktiviti manusia yang membawa kepada pembangunan.

Gambar 1 menunjukkan landskap budaya yang terdapat di Sungai Petani pada tahun 2001 yang mempunyai peranan dan pengaruh terhadap kawasan penempatan di kawasan ini. Bangunan – bangunan ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, menjadi pusat membeli – belah dan juga pusat pentadbiran tetapi juga mempengaruhi pertumbuhan kawasan penempatan manusia.

Walaupun, John Corbett menyatakan ruang masa mengehadkan aktiviti manusia tetapi penyelidik berpendapat ruang masa bukanlah penentu muktamad kerana penyelidik yakin bahawa manusia menghasilkan landskap budaya seperti bangunan untuk kegunaan bagi memenuhi keperluan semasa. Pada masa kini, Sungai Petani mempunyai landskap budaya yang mempunyai kepentingan dan peranan tersendiri kepada manusia ekonomi di bandar ini.

Hubungan Landskap Budaya Bandar Sungai Petani Dalam Penempatan Manusia

Seperti yang penyelidik katakan tadi bahawa ukuran asas melihat status kemajuan sesebuah bandar adalah dengan melihat pada gambaran visual keadaan landskap budaya semasa di sesuatu tempat. Dengan merujuk pada unsur ini maka unjuran penilaian sepintas lalu tentang kemajuan sesebuah kawasan dapat memberi gambaran jelas. Oleh yang demikian, landskap budaya di sesuatu kawasan boleh dilihat hubungannya dengan unsur lain dalam ruang berkenaan.

Pusat Rekreasi

Landskap budaya pusat rekreasi awam memainkan peranan dalam aspek sosial masyarakat untuk meluangkan masa serta untuk tujuan riadah. Dalam hal ini jelas kerana adanya kemudahan yang mudah didapati dalam lingkungan kawasan penempatan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk. Landskap Taman Jubli Perak merupakan satu contoh terbaik landskap budaya yang berfungsi sebagai pusat riadah penduduk setempat di samping pusat-pusat riadah lain seperti Kelab Sungai Petani, Kelab Bandar Laguna Merbok dan Kelab Cinta Sayang.

Gambar 3 landskap budaya pusat rekreasi

Pusat Membeli-belah dan Pasaraya

Landskap budaya kompleks membeli – belah yang begitu banyak di kawasan bandar seperti Central Square, SP Plaza, Petani Parade, Amanjaya Mall, River Front City, Tesco Sungai Petani Selatan, Tesco Sungai Petani Lagenda Heights, Giant Hypermarket, Mydin Hypermarket, Village Mall, Econsave Bandar Puteri Jaya, Econsave Taman Petani Jaya dan G Mart bukan sahaja membuka peluang perniagaan, peluang pekerjaan tetapi juga telah memberikan kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan keperluan. Malahan pusat – pusat membeli – belah ini memainkan peranan yang sangat penting dalam penyediaan barangan keperluan pengguna seperti yang dinyatakan oleh Colin J. Thomas dan Rosemary D.F Bromley (2003) bahawa kemudahan kompleks membeli – belah di sesuatu kawasan merupakan tarikan kepada penduduk sekitar berkunjung ke pusat bandar.

Pusat Pentadbiran

Landskap budaya kompleks pentadbiran yang terdapat di Sungai Petani seperti Kompleks Mahkamah Sungai Petani, Kastam Diraja Malaysia Sungai Petani di bandar Aman Jaya, Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Kuala Muda, Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri di Jalan Lencongan Timur, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda di Jalan Badlishah, Penjara Sungai Petani, Masjid Sultan Muzaffar Syah di Jalan Kolam Air ini menjadi pusat pentadbiran dan merupakan landskap budaya yang sangat penting bagi penduduk di Sungai Petani.

Pusat Perhubungan dan Kemudahan Awam

Landskap budaya pusat kemudahan awam seperti Pejabat Pos Sungai Petani di Jalan Pengkalan, Pasar Awam Sungai Petani di Jalan Pasar, Stesen Bas Sungai Petani di Jalan Petri, Stesen Bas Ekspress di Kompleks UKIR, Kompleks Stesen Keretapi di Jalan Pasar, Telekom Malaysia di Jalan Petani, Tenaga Nasional Berhad di Jalan Petri dan Hospital Sultan Abdul Halim di Jalan Lencongan Timur.

Pusat Kebudayaan dan Keagamaan

Landskap budaya di Bandar Sungai Petani ini juga menunjukkan sebagai pusat kebudayaan masyarakat majmuk yang terdiri daripada masyarakat India, Cina dan Melayu yang  mengamalkan cara hidup yang unik tetapi dalam keadaan harmoni. Dalam pada itu, fenomena seumpama ini dapat dilihat berdasarkan kewujudan landskap budaya tertentu bagi bangunan ibadat serta kawasan tertentu yang didominasikan oleh ras tertentu seperti kawasan Pekan Lama yang didominasikan oleh penduduk Cina manakala kawasan yang lain pula lebih kepada campuran.

Oleh yang demikian, budaya masyarakat setempat tadi telah membentuk satu corak landskap budaya mencerminkan kebudayaan masyarakat setempat yang bukan sahaja mempengaruhi kewujudan satu corak landskap budaya tetapi mencerminkan penempatan manusia. kewujudan landskap budaya bangunan masjid di sesuatu kawasan mencerminkan bahawa majoriti penduduk di kawasan berkenaan adalah penduduk yang beragama Islam dan kemungkinan besar penduduknya adalah berbangsa Melayu dalam konteks kawasan bandar Sungai Petani dan demikianlah selanjutnya jika didapati bangunan tokong, kuil dan gereja.

Pusat Pendidikan Tinggi

Landskap budaya pusat pendidikan tinggi yang terdapat di Sungai Petani seperti Institut Perguruan Malaysia Sultan Abdul Halim di Jalan Kuala Ketil dan Universiti Teknologi Mara (UITM) cawangannya yang terletak di Merbok.

Pusat Perbankan

Landskap budaya pusat perbankan yang terdapat di Sungai Petani seperti Maybank, HSBC, CIMB, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Tabung Haji, Bank Islam, Public Bank, RHB Bank, Affin Bank, UOB, Hong Leong Bank dan Bank Persatuan.

 Landskap Budaya Sebagai Gambaran Status Ekonomi

Dalam aspek ekonomi pula, landskap budaya memberikan gambaran status ekonomi penduduk di kawasan ini. Justeru itu, penduduk menjalankan kegiatan ekonomi dari skala peringkat primer hinggal peringkat yang lebih besar peringkat tertier. Pada peringkat primer, penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar seperti Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka para petani dan nelayan menjalankan kegiatan ekonomi peringkat primer yang mana hasil tadi akan di bawa ke pusat bandar untuk dijual sama ada pekan sehari dan juga pasar malam.

Dengan kewujudan sistem perhubungan dan pengangkutan yang semakin maju maka ekonomi penduduk juga meningkat walaupun bermula dari kelas yang paling rendah sebagai pengedar surat khabar, penjual bergerak kepada peringkat yang lebih tinggi seperti gerai tetap, kedai makan, restoran seterusnya gedung membeli – belah.

Kemajuan ini adalah disebabkan oleh kewujudan landskap budaya itu sendiri. Di pusat bandar pula pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan bermula daripada peringkat sekunder sehinggalah peringkat tertier yang mana penduduk dari kawasan lingkungan bandar Sungai Petani datang ke bandar dengan bas, teksi atau kenderaan sendiri untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Jika dilihat daripada aspek penawaran barangan di kawasan pusat bandar menunjukkan pelbagai barangan yang ditawarkan, restoran, kemudahan pusat kesihatan yang mudah didapati. Di kawasan dua kilometer dari pusat bandar barangan yang ditawarkan semakin rendah yang hanya terdapat gerai-gerai makan, pusat membaiki kereta, stesen minyak serta kedai gunting untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Walau bagaimanapun, kerana peranan pusat bandar sebagai landskap budaya yang mempunyai hubungan langsung dengan kawasan penempatan maka Reilly (1929) menyatakan bahawa manusia akan bergerak ke kawasan bandar untuk mendapatkan atau memasarkan hasil ekonomi. Jadi, dapat disimpulkan landskap budaya kawasan ini mempunyai perkaitan dan hubungan langsung dengan penempatan manusia.

Walau bagaimanapun, dalam konsep peletakan kawasan penempatan yang bertaraf mewah kebanyakan berada di kawasan zon luar pusat di bandar-bandar satelit seperti Bandar Laguna Merbok. Keadaan ini berlaku kerana kawasan penempatan ini mengamalkan konsep penempatan berpusat yang mana semua kemudahan diletakkan di kawasan penempatan manusia yang bukan sahaja menawarkan kemudahan pusat membeli-belah, pendidikan, perindustrian tetapi juga menyediakan pusat rekreasi (Petani Jaya, 2003) dan untuk kes ini penyelidik mendapati peletakan kawasan penempatan mewah tidak semuanya berada di kawasan luar bandar dan penyelidik berpendapat penyebaran mengikut guna tanah bandar model Sektor (Homer Hoyt, 1939).

Kadang kala landskap budaya itu juga mencerminkan status ekonomi, sosial dan aktiviti penduduk kawasan berkenaan.

Gambar 4 landskap budaya mencerminkan status ekonomi penduduk

Berdasarkan Gambar 4 di atas, jelas menunjukkan landskap budaya ini mencerminkan status penempatan yang terletak di luar bandar. Dari aspek ekonomi, boleh andaikan penduduk di kawasan berkenaan merupakan penduduk kelas ekonomi peringkat bawah.

Manakala Gambar 5 menunjukkan landskap budaya kawasan pola penempatan terancang dengan status ekonomi yang lebih tinggi serta taraf sosial yang lebih tinggi berbanding dengan contoh Gambar 2.

Jadi, ini dapat menjelaskan bahawa landskap budaya mempunyai hubungan langsung dengan penempatan manusia yang mana landskap budaya boleh digunakan sebagai ukuran asas menilai tahap kemajuan penduduk setempat.

Gambar 5 lanskap budaya penempatan kelas sederhana bandar Laguna

Walau bagaimanapun, berbeza dengan landskap budaya di kawasan penempatan Bandar Laguna Merbok yang merupakan bandar satelit kepada bandar Sungai Petani mempunyai hubungan yang lebih jelas  dengan penempatan manusia yang mana kawasan ini menunjukkan konsep landskap budaya bandar memainkan peranan penting dalam pembentukan penempatan manusia. Keadaan ini dijelaskan seperti Rajah 1 dan Rajah 2 di bawah.

Rajah 1 model landskap budaya bandar laguna

Rajah 2 model pelbagai pusat landskap budaya bandar laguna merbok

Model landskap Bandar Laguna Merbok jelas menunjukkan bahawa landskap budaya ini dapat mencerminkan penempatan manusia sama ada aspek kebudayaan, sosial atau ekonomi. Dalam contoh Bandar Laguna Merbok, bandar ini boleh dikatakan sebagai sebuah bandar yang ideal kerana dalam landskap budaya dalam bandar ini telah disediakan semua kemudahan awam termasuk pasar, balai bomba, sekolah, pusat perdagangan, perindustrian ringan dan rekreasi yang memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan ini. Jika dilihat dalam model yang penyelidik sediakan jelas menunjukkan penyusunan landskap budaya yang kemas dan teratur bukan sahaja memudahkan pergerakan sosial penduduk tetapi juga menunjukkan susunan landskap budaya sesebuah kawasan yang mencerminkan organisasi hubungan landskap itu sendiri dengan penempatan kawasan sekitar.

Kesimpulan

Pada masa kini di mana – mana sahaja kita pergi, sama ada di kota besar, tepi laut, ke luar bandar kita melihat persekitaran fizikal telah banyak berubah. Pelbagai bentuk landskap budaya menyambut kedatangan kita. Semua ini sekadar menyedarkan kita bahawa manusia kini mampu mengatasi halangan persekitaran fizikal dan penyelidik berpendapat selaras dengan geografi masa semakin banyak landskap budaya yang akan diwujudkan. Dalam pada itu, landskap budaya bukan sekadar menunjukkan bahawa manusia mampu mengatasi halangan fizikal tetapi landskap budaya juga menjadi ukuran penting dalam melihat kemajuan sesebuah kawasan. Dalam konteks sosiologi landskap budaya bukan sekadar menunjukkan status kemajuan sesebuah kawasan tetapi juga dapat mencerminkan budaya, sosial dan ekonomi penduduk setempat. Oleh yang demikian sememangnya landskap budaya mempunyai hubungan dengan penempatan manusia. Malahan Boehm (1996) menyatakan landskap budaya mempunyai hubungan kuat dengan antropologi dan arkeologi.

Oleh itu, dapat simpulkan landskap budaya merupakan gambaran asas kepada struktur sosial, ekonomi dan budaya manusia yang menghuni ruang permukaan bumi. Malahan penempatan manusia merupakan sebahagian daripada landskap budaya itu sendiri dan landskap budaya itu sendiri mempunyai hubungan dengan penempatan yang mencerminkan status sosial, ekonomi dan kebudayaan manusia ekonomi dalam konsep landskap budaya.

Cite this article as: Augustine Towonsing. (June 30, 2017). Landskap Budaya: Hubungan Dan Peranan Dalam Penempatan Manusia. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/landskap-budaya-peranan-dalam-penempatan/

Sumber Rujukan

Boehm, R. G. (1996). 1996. Association of American Geographers: Cultural & Human Geography. Diakses dari Laman Web http://www.aag.org/Careers/Cultural_Human_Geography.html

Corbett, J. (n.d). Torsten Hägerstrand: Time Geography. Diakses dari Laman Web http://www.csiss.org/classics/content/29

De La Blache, V. (1926). The Geographical Tradition. Oxford : Blackwell.

Haris, C. D & Ullman, E. L. (1945). “Model pelbagai guna.”, dalam Katiman Rostam. (1988). Pengantar Geografi Bandar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hoyt, H. (1939). “Model Sektor.”, dalam Katiman Rostam. (1988). Pengantar Geografi Bandar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pejabat Daerah Kuala Muda/Yan. (n.d). Statistik/Perangkaan. Diakses dari Laman Web http://www.kedah.gov.my/jabkedah/DKualaMuda/

Petani Jaya Sdn. Bhd. (2003). Bandar Laguna Merbok: The Resort Township. Diakses dari Laman Web http://www.blm.com.my/

Ratzel, F. (1926). Antropologie in geography. Annals of the Association of American Geographers 53:429-40

Rehab Abd Shukur. (2015). Sungai Petani Bandar Transformasi Daripada Luar Bandar Hingga Bandaraya Moden 2015. Diakses dari Laman Web http://agc-blog.agc.gov.my/agc-blog/?p=1651

Sabli. (2001). Sungai Petani Webpage. Diakses dari Laman Web http://www.webspawner.com/users/sungaipetani/

The Cultural Landscape Foundation. (2016). About Cultural Landscape. Diakses dari Laman Web https://tclf.org/places/about-cultural-landscapes

Thomas, C.J & Bromley, R.D.F. (2003). Retail revitalization and small town centres: the contribution of shopping lingkages. Applied Geography ,23, 48 – 68.

Vogeler, I. (1996). Culture and Cultural Lanscapes. Diakses dari Laman Web http://www.uwec.edu/geography/ivogeler/w188/define.htm

Worldpopulationreview (2017). Population of Cities in Malaysia (2017). Diakses dari Laman Web http://worldpopulationreview.com/countries/malaysia-population/cities/

Wikipedia (2017). “Populasi Penduduk”. Diakses dari Laman Web https://ms.wikipedia.org/wiki/Sungai_Petani#Populasi_penduduk

Wikipedia (2017). Sungai Petani. Diakses dari Laman Web https://ms.wikipedia.org/wiki/Sungai_Petani

Related Post

The following two tabs change content below.
A member of the UK Geographical Association, the Assistant Afternoon Supervisor of Gurun Secondary School (Kedah, Malaysia), a Geography teacher with 23 years of teaching experience and holds a masters degree in Geography, an outdoor education trainer, an education application developer, an environmental researcher, a photographer, a videographer, a solo paranormal and ghost researcher, as well as the sole founder of Malaysian Ghost Research.

Copyright © 2017 Malaysian Ghost Research. All Rights Reserved.
Information about how to reuse or republish this work may be available at Malaysian Ghost Research Copyright.

Loading Facebook Comments ...

Leave a Comment