Geography Education, Pemikiran Geografi

Pemikiran Geografi: Berakhirnya Dominasi Geografi Wilayah Dan Munculnya Geografi Spatial Sains

PENGENALAN

Hebatnya manusia boleh dilihat dalam aspek pencapaian yang bukan sahaja dalam bidang teknologi tetapi juga dalam bidang falsafah. Dalam pada itu, dalam proses pembangunan nasional yang sedang berjalan khasnya pembangunan yang mana ilmu pengetahuan geografi memainkan peranan yang sangat penting. Seperti yang dikatakan oleh Prof. Kardono Darmoyuwono (1982, dalam Bintaro dan Surastopo 1982) “… peranan ilmu geografi dalam membantu mengembangkan gagasan Wawasan Nusantara sangat jelas. Seperti yang dirumuskan dalam Garis – garis Besar Haluan Negara di mana geografi merupakan salah satu aspek dari delapan aspek Wawasan Nusantara…”

Jadi di sini, jelas bahawa peranan ilmu geografi sangat penting. Sehubungan dengan itu, dewasa ini semakin banyak pendekatan interdisiplin ilmu dalam lingkungan ilmu dan ilmu geografi dapat menjadi pengintergrasi ilmu. Walau bagaimanapun, Prof. Kardono Darmoyuwono menegaskan bahawa tidak bererti geografi bukan merupakan disiplin ilmu yang mempunyai ciri–ciri batasan tersendiri. Malahan menurut beliau lagi terdapat pendapat yang menyatakan geografi adalah suatu ilmu yang berorientasikan kepada masalah interaksi antara manusia dan alam sekitar. Oleh yang demikian, menurut beliau lagi manusia dan alam sekitarnya merupakan objek kajian geografi.

debat pemikiran geografi terhadap pengaturan alam

Tetapi, dalam hubungan manusia dengan persekitarannya atas sebab perbezaan–perbezaan perkembangan persekitaran geografi, perbezaan perkembangan ekonomi, teknologi serta perbezaan konsep berfikir tentang alam sekitar maka tidak hairanlah wujud pelbagai teori tentang kajian hubungan manusia–alam sekitar. Dalam pada itu, dalam perbincangan ini juga pengkaji akan membuat penilaian tentang dua teori yang wujud dalam persekitaran yang berbeza dalam usaha para pendukung teori berkenaan dalam hujah mereka terhadap kaedah bagaimana manusia seharusnya melihat persekitaran. Yakni, dalam perbincangan ini teori geografi sebagai sains ruangan dikatakan sebagai reaksi terhadap ketidakrelevanan Geografi Wilayah.

Dengan kata lain, seolah–olah pendukung teori sains ruangan mengatakan di sini bahawa ‘kami benar dan mereka salah’. Oleh yang demikian, sebagai pengkaji sebelum pengkaji mengiakan atau menidakkan kenyataan ini maka adalah perlu kedua–dua teori ini diberi penilaian yang adil.

LATAR BELAKANG KONSEP

Geografi Wilayah sebenarnya sudah lama bermula yang kelihatan telah mula muncul dengan kesedaran Benhard Veranius tentang konsep pengaturan kembali tentang geografi yang mana Broek dan Webb (1969) menyebut Veranius menyebut tentang konsep dualisme. Apa yang dimaksudkan dengan konsep dualisme ini ialah pembahagian Veranius tentang geografi umum dan geografi khusus. Manakala Bintaro dan Surastopo (1982) berpendapat bahawa konsep dualisme ini berjalan serentak yang mana Veranius mengusulkan supaya geografi umum dan geografi khusus mempelajari unsur–unsur fizikal yang dapat diterangkan dengan ‘hukum’, sedangkan geografi khusus (Geografi Wilayah) yang dikaitkan dengan manusia yang sukar diramalkan sebelumnya harus tetap bersifat deskriptif.

Kalau diteliti daripada kenyataan Bintaro dan Surastopo nampaknya kedua–dua teori ini telah pun wujud berdasarkan pembahagian geografi kepada sifat umum dan khusus tadi. Apa yang menarik tentang konsep Geografi Wilayah ini ialah ia lebih sinonim kepada Richard Hartshorne yang telah memperkenalkan konsep idiografik yang sangat popular sejak tahun 1939 hingga 1953.

Manakala Sains Ruang atau Spatial Sains juga sebenarnya pada pendapat pengkaji bertitik tolak daripada hasil kajian Veranius yang mana kata ‘hukum’ di sini membayangkan unsur sebab akibat yang boleh diuji dengan kaedah saintifik. Apa yang menarik kedua–dua konsep ini pada pandangan pengkaji tidak dapat dipisahkan kerana pengkaji berpendapat terdapat konsep yang tidak dapat diterangkan dengan menggunakan angka tetapi memerlukan penerangan arbitrari dan demikian juga terdapat perkara yang bersangkutan dengan bumi yang boleh atau lebih tepat dijelaskan dengan penggunaan kaedah saintifik. Ironisnya konsep geografi yang diperkenalkan oleh Veranius menjadi bahan perdebatan khususnya debat yang dikaitkan dengan Hartshorne–Schaefer tentang konsep idiografik–nomotetik. Johnston (1989) menyatakan bahawa Harthorne telah memberikan gambaran teratur mengenai muka bumi sebagai wilayah formal.

Kesimpulan yang dapat dibuat tentang kedua–dua teori ini pada pandangan pengkaji sememangnya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing–masing walaupun para pendukung teori ini masing–masing cuba mempertahankan kehebatan dan kerelevanannya terhadap kajian geografi.

KONSEP,  KEKUATAN DAN KELEMAHAN TEORI GEOGRAFI WILAYAH  

LATAR BELAKANG

Teori ini diperkenalkan oleh Hartshorne, malahan beliau berjaya memantapkan kedudukannya dalam disiplin geografi dengan memperkenalkan konsep idiografik (Johnston, 1989). Dalam karya Hartshorne The Nature of Geography: A Critical Survery of Current Thought in The Ligh of The Past beliau memperkenalkan konsep perbezaan wilayah yang dapat dilihat dalam konteks penghasilan sesuatu lanskap yang tertentu yang memperlihatkan konsep keunikan masing–masing. Jika diperhatikan, sebenarnya di sini Hartshorne telah memperkenalkan metode saintifik dalam kajiannya malahan Stueve (2003) menyatakan terdapat beberapa penyelidik yang berpendapat bahawa Hartshorne dengan konsepnya secara langsung telah membawa pendekatan yang hampir kepada pendekatan positivisme daripada metode saintifik.

Dalam pada itu, Tuner (Tuner, 2003, p.55) menegaskan Hartshorne lebih menekankan perhatian terhadap sejarah, perkara yang terperinci dan juga pembahagian fenomena untuk menjelaskan secara terperinci mengenai kawasan.

Jelas bahawa konsep utama yang dibawa oleh Richard Hartshorne dalam teorinya adalah penekanan terhadap perincian sesuatu kawasan dari aspek yang tidak dapat diterangkan dengan menggunakan angka. Pendeknya, Hartshorne cuba memberikan penerangan sejelas–jelasnya tentang ciri – ciri sesuatu lokasi kepada pembaca melalui penerangan yang terperinci.

KEKUATAN TEORI GEOGRAFI WILAYAH

Jika diperhatikan konsep yang dibawa oleh Hartshorne yang memperkenalkan konsep Idiografik sebenarnya telah memberi sumbangan yang besar dalam kajian geografi. Beliau bukan sahaja telah membuat penjelasan yang terperinci tentang sesuatu perkara yang wujud di atas permukaan tetapi juga Johnston (1989) menyatakan bahawa Harthorne telah memberikan gambaran teratur mengenai muka bumi sebagai yang dikenali wilayah formal. Yakni, wilayah formal (atau kawasan seragam) yang mengandungi ciri fenomena yang dikaji itu adalah sama jenisnya, dan kawasan teras atau kawasan berfungsi yang mempunyai ciri–ciri penyatuan yang diwujudkan melalui organisasi di sekitar suatu teras umum yang mungkin merupakan pusat bandar sesuatu kawasan.

Dalam konsep ini Hartshorne menyatakan bahawa dalam proses kajian fenomena yang sama, beliau meletakkan penggunaan peta sebagai asas. Beliau juga menggunakan format yang sama iaitu deskripsi apabila membuat huraian struktur geologi untuk satu–satu kawasan: iaitu huraian terperinci tentang bentuk muka bumi, tanah–tanih, iklim, sejarah, penggunaan kawasan untuk tujuan pertanian dan juga pembangunan dalam bidang perbandaran dan pengangkutan.

David (1975) menyatakan bahawa Barat Amerika mengingatkan kita bahawa penilaian kawasan banyak bergantung kepada pengetahuan tentang sejarah. Jadi di sini, pengkaji berpendapat penerangan yang terperinci tentang sesuatu fenomena yang dibuat oleh Hartshorne signifikan dengan kenyataan beliau. Apa yang pengkaji maksudkan dengan signifikan di sini ialah penerangan yang terperinci tadi tentang fenomena di sesuatu kawasan memberikan gambaran yang jelas kepada penyelidik terkemudian yang ingin melihat nilai kawasan berkenaan dari sudut sejarah silam dan sudah tentulah pendekatan yang dibuat oleh Hartshorne dapat memberikan maklumat yang dikehendaki.

Kesimpulannya, kekuatan teori Hartshorne ialah gambaran teratur mengenai muka bumi sebagai yang dikenali wilayah formal dengan memberikan penerangan yang terperinci tentang fenomena – fenomena yang dikaji di sesuatu kawasan. Keadaan ini diperjelaskan dengan kata – kata beliau:

“ tugas geografi adalah untuk memberikan gambaran dan tafsiran yang tepat, teratur dan rasional mengenai ciri muka bumi yang berubah–ubah…”

Richard Hartshorne, 1939.

Jadi, berdasarkan kepada kata–kata Hartshorne, tugas ahli geografi itu adalah memberikan gambaran dan tafsiran yang tepat, teratur dan rasional mengenai ciri–ciri muka bumi yang berubah–ubah. Pada pendapat pengkaji, apa yang penting dalam pendekatan ini ialah penerangan jelas yang dibuat itu sebenarnya sangat berguna kepada penyelidik di kemudian hari khususnya penyelidik yang ingin mencari sejarah tentang sesuatu fenomena.

Malahan pendekatan Hartshorne ini disokong dengan pendapat Ackerman (1963) yang menyatakan bahawa pembetulan bagi kecacatan yang utama dalam kajian geografi memerlukan lebih banyak lagi penyelidikan dan latihan dalam pengkhususan sistematik yang mana menurut beliau hal ini tidak berlawanan dengan falsafah bidang yang memberikan keutamaan kepada penggabungan kawasan kerana katanya, kajian sistematik yang lebih terperinci akan menghasilkan tafsiran yang lebih mendalam tentang kawasan.

KELEMAHAN TEORI GEOGRAFI WILAYAH

Istilah kelemahan dalam teori Geografi Wilayah sebenarnya hanya timbul apabila timbul konsep Sains Ruangan yang sinonim dengan istilah kaedah saintifik dan statistik yang mana ahli–ahli geografi yang terkemudian daripada angkatan Hartshorne yang mengatakan bahawa teori ini tidak sofistikated dan umum.

Apa yang cuba diperkatakan sebagai kelemahan di dalam teori Hartshorne oleh ahli geografi yang terkemudian ialah analisis Geografi Wilayah gagal membuat ramalan pada masa hadapan. Dalam pada itu juga, Carl (1925, di dalam University of Aberdeen, The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960), menyatakan Geografi Wilayah mengkaji setiap fenomena secara berasingan tetapi sebenarnya sesuatu kawasan mempunyai bentuk, struktur dan fungsi membentuk satu sistem yang bersangkut dengan pembangunan, perubahan dan pelengkapan. Tanpa gambaran sebenar dan hubungannya, hanya wujud disiplin khusus dan bukan geografi seperti yang diketahui umum. Beliau menambah lagi bahawa dalam situasi analogi sejarah yang mungkin terdiri daripada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya tetapi hasil kajian bukanlah sejarah.

Malahan ada penyelidik yang berpendapat bahawa kaedah kajian Geografi Wilayah adalah sangat statik yang hanya dianggap sebagai katalog tentang wilayah–wilayah yang berbeza. Yakni, apa yang dipentingkan adalah kebolehan membuat ramalan untuk masa depan dan ini tidak dapat dilakukan dalam aliran wilayah.

Bukan sekadar tanggapan bahawa Geografi Wilayah sangat statik tetapi tanggapan bahawa Geografi Wilayah tidak saintifik merupakan tamparan yang hebat kepada pendekatan ini. Pendekatan Hartshorne menjadi tergugat dengan kemunculan pendekatan Spatial Sains yang dipelopori oleh Schaefer.

KEMUNCULAN SPATIAL SAINS, KEKUATAN DAN DEBAT DENGAN EOGRAFI WILAYAH

LATAR BELAKANG DAN KEKUATAN

Kemunculan Spatial Sains dalam tahun 1950-an telah membawa revolusi dalam metodologi kajian geografi khasnya Geografi Manusia yang dikatakan mengalami transformasi radikal yang dikaitkan dengan penggunaan ahli geografi yang memberi penekanan kepada hujah sistematik berteraskan prinsip–prinsip pengujikajian dan kuantifikasi kerana menurut Schaefer(1953, dalam Johnston, 1989) geografi perlu dianggap sebagai sains yang memberikan perhatian kepada rumusan hukum berkenaan taburan keruangan ciri–ciri tertentu yang terdapat di permukaan bumi.

Selaras dengan revolusi kuantitatif dan revolusi organisasi ruang maka wujud pula konsep revolusi teoritikal dengan itu geografi telah disifatkan sebagai sains. Untuk itu, maka tradisi geografi yang lebih kepada penghuraian dan keunikan perlu beralih kepada penjelasan dan generalisasi.

Oleh itu, Rodrigue (2002) menyatakan bahawa teori ini Spatial Sains menggalakkan penyelidikan yang spesifik dalam topik tertentu tanpa perlu mengetahui banyak perkara serta apa yang menarik kepada seseorang penyelidik kerana tradisi pemikiran ini lebih kepada fenomena kemanusiaan. Dalam hal ini, Rodrigue memperlihatkan bahawa penyelidikan tidak semestinya merangkumi semua fenomena di atas permukaan bumi seperti yang dicadangkan oleh Hartshorne di mana kajian fenomena permukaan bumi sebagai satu komponen.

Manakala Pattison menyatakan bahawa perubahan pemikiran Barat adalah disebabkan oleh kepercayaan terhadap kepentingan Spatial Sains yang memisahkan apa yang berlaku dalam sesuatu pengalaman iaitu jarak, bentuk, arah dan kedudukan.

Sebagai kesimpulan, apa yang dipentingkan dalam teori Spatial Sains ialah kepentingan penggunaan kaedah saintifik dan kuantifikasi dalam kajian yang membolehkan penjelasan dan ramalan ke arah penjelasan dan generalisasi. Malahan dalam konteks kajian pendekatan Spastial Sains, jarak, bentuk, arah dan kedudukan tempat dipentingkan yang mana ini sangat berbeza dengan Geografi Wilayah yang mengutamakan konsep tempat.

KEJATUHAN KONSEP GEOGRAFI WILAYAH DAN KEMUNCULAN GEOGRAFI SPATIAL SAINS

Dalam konteks debat Hartshorne-Schaefer yang bermula dalam tahun 1953 yang mana Schaefer mencabar konsep penghuraian dan perbezaan oleh Hartshorne dengan menyatakan geografi adalah sains yang mana faktor ditentukan oleh distribusi khusus atau beberapa penentu di atas permukaan bumi (Howard L. Gaunthier dan Edward J. Taaffe’) dan kesan debat hebat ini telah menyebabkan berlakunya pertentangan ramai ahli geografi (Johnston, 1997 p. 44-70).

Sebagai kontras debat yang diperkatakan dapat dilihat dari sudut seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.

perkara yang dominan menjadi bahan penting debat hartshorne-schaefer

Berdasarkan Jadual 1 di atas, jelas bahawa pendekatan Geografi Wilayah mementingkan kawasan bersifat kepada penerangan atau penghuraian yang dianggap oleh sesetengah ahli geografi sebagai penerangan yang berlebihan berbanding dengan pendekatan Spatial Sains yang mengutamakan konsep ruang untuk mendapat hukum umum berdasarkan kepada analisis dan penjelasan.

Manakala Doyran (2001)  menyatakan bahawa Schaefer mendapati walaupun Hartshorne menyertakan data tetapi bagi Schaefer data berkenaan adalah silap dan membawa maksud yang tidak jelas dan tidak mengemukakan pendekatan nomotetik.

Di samping itu juga Kilpinen (1996) pula menyatakan bahawa populariti Geografi Wilayah yang bermula pada tahun 1939 tetapi pendekatan geografi ini mempunyai beberapa masalah. Antara masalahnya adalah keterlaluan memberikan huraian yang mana beliau menyatakan Geografi Wilayah secara literal menyamai ciri-ciri format inventori geografi fizikal dan budaya. Selain dari itu, beliau menyatakan Geografi Wilayah juga hampir menyerupai teori kerana wilayah tidak wujud sekadar untuk keselesaan alat logik untuk membahagikan permukaan bumi. Sehubungan dengan itu juga, beliau menyatakan penggabungan konsep wilayah dengan penyelidikan berteraskan penghuraian membuatkan Geografi Wilayah menjadi alat penyelidikan yang sangat baik tetapi tidak efektif dalam aplikasi praktikal. Dalam persoalan kepelbagaian corak dalam geografi Kilpinen juga menyatakan Geografi Wilayah gagal menerangkan kepelbagaian corak dalam geografi kerana beliau menyatakan Geografi Wilayah sangat terikat terhadap penghuraian asal–usul fenomena dan bukannya membantu ahli geografi memahami kenapa corak fenomena sedemikian rupa. Tambahan pula, beliau menyatakan kemungkinan masalah Geografi Wilayah tidak saintifik merupakan masalah terbesar dalam konsep Geografi Wilayah. Apa yang dimaksudkan tidak saintifik di sini pada pendapat pengkaji ialah kerana pendekatan Geografi Wilayah tidak membuat analisis dan tidak menjelaskan tentang corak fenomena geografi yang dikaji yang pada pendapat ahli geografi Spatial Sains perlu untuk memahami corak fenomena berkenaan.

Selain daripada itu, dalam perkembangan pembangunan dalam tahun 1960-an semakin ramai ahli geografi mencari perkaitan di antara pembangunan dengan kaedah kajian dalam geografi. Dalam pada itu, Ackerman, (1963) menjelaskan geografi adalah spatial distribusi yang membawa kepada kemunculan sains sosial dan sains tingkah laku.

Dalam pada itu juga, Carl (1925) menyatakan bahawa Geografi Wilayah mengkaji setiap fenomena secara berasingan tetapi sebenarnya sesuatu kawasan mempunyai bentuk, struktur dan fungsi membentuk satu sistem yang bersangkut dengan pembangunan, perubahan dan pelengkapan. Tanpa gambaran sebenar dan hubungannya, hanya wujud disiplin khusus dan bukan geografi seperti yang diketahui umum. Beliau menambah lagi bahawa dalam situasi analogi sejarah yang mungkin terdiri daripada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya tetapi hasil kajian bukanlah sejarah. Apa yang beliau rujuk di sini adalah pendekatan Geografi Wilayah yang memberikan penjelasan sejelas mungkin tentang proses sesuatu fenomena tetapi beliau kata hasil kajian bukan sejarah kerana pendekatan ini mengkaji kesemua fenomena.

Manakala Wooldridge (1946) pula menyatakan bahawa perbandingan pandangan tentang fenomena, dengan berhati–hati mendidik kebiasaan menyebut kayu daripada pokok… kaedah Geografi adalah sukar menyatakan sesuatu yang benar, berbeza dengan usaha yang diperkenalkan oleh sains analisis. Ini bermaksud Wooldridge menyatakan bahawa Geografi Wilayah tidak memberi penerangan kepada perkara yang berguna sebaliknya hanya membuat huraian. Pengkaji berpendapat, apa yang beliau maksudkan di sini ialah persoalan–persoalan ‘kenapa begitu?’ tidak dijawab oleh pendekatan Geografi Wilayah.

Selain daripada itu, George (1946) menyatakan Geografi Wialayah yang cuba membuat sempadan wilayah yang tidak kelihatan tetapi itu sebenarnya tidak penting. Apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah sempadan wilayah sebenarnya tidak perlu dalam kajian geografi apabila membuat kajian fenomena. Pendapat beliau memang mempunyai kebenaran, berdasarkan pendekatan Spatial Sains yang mencari hukum generalisasi sempadan tidak perlu kerana fenomena yang dikaji bukanlah ingin mencari persamaan sebaliknya mencari jawapan kepada persoalan–persoalan yang bersangkutan dengan topik kajian yang lebih cenderung kepada mencari jawapan persoalan ‘kenapa begitu’.

Manakala, John (1955) pula mempersoalkan Geografi Wilayah yang tidak mampu memberikan penjelasan tentang fenomena yang berlaku dan mencadangkan agar kongkongan yang telah membelenggu selama beberapa puluh tahun perlu dihentikan. Beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap proses dalam geografi fizikal sudah terkandung di dalam Geografi Fizikal dan demikian juga sejarah yang terkandung dalam Geografi Budaya. Beliau mencadangkan agar kita memulakan perkara baru “menyusuri operasi hukum alam terhadap bumi”. Beliau menambah lagi bahawa persoalan yang timbul berkaitan dengan tanah, langit dan air yang terlalu dekat dengan kita perlu difahami. Menurut beliau lagi persoalan ini dan hasil perkongsian dalam pencarian jawapan terhadap fenomena ini merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Apa yang dimaksudkan oleh beliau mengenai kehidupan dan fenomena di sini adalah dalam Geografi Wilayah persoalan tentang ciri–ciri fenomena yang pelbagai dan mengapa sedemikian rupa tidak dijelaskan yang pada pandangan beliau adalah sangat perlu kerana sudah menjadi lumrah manusia mempunyai minat dan mempunyai keinginan ingin tahu tentang sesuatu fenomena secara mendalam. Walau bagaimanapun, keinginan seperti ini dimatikan dalam pendekatan Geografi Wilayah.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan pendapat Derek (1978) yang menyatakan, apa yang telah dihasilkan oleh ahli geografi sebelum ini sekurang–kurangnya telah memformulasikan dan menjelaskan teori tertentu dan ini penting kerana menunjukkan kaedah yang telah diperkenalkan dalam bidang sains yang lain mungkin sesuai dalam bidang geografi juga. Beliau menambah, apa yang penting di sini ialah kaedah itu nampaknya dapat memberikan asas teknik yang perlu untuk elaborasi dasar umum. Apa yang penting sekarang menurut beliau ialah diharap geografi dapat menjelaskan dengan lebih baik dan berjaya mencapai persoalan dalam objektif sosial. Pengkaji berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan oleh Gregory di sini ialah pendekatan Geografi Wilayah itu sebenarnya telahpun memberikan asas untuk kajian seterusnya dan apa yang diharap ialah pendekatan baru dapat mencapai kejayaan yang lebih baik dalam mencari penyelesaian persoalan dalam objektif sosial dan bukannya bersaing di antara satu sama lain.

PENDAPAT DAN CADANGAN

Seperti kata Stueve (2003) kita perlu fikir dengan teliti konsep utama setiap paradigma (Geografi Wilayah dan Spatial Sains) sebelum membuat keputusan umum tentang yang mana lebih baik. Jadi selepas mempertimbangkan pendapat ahli geografi yang memberikan pandangan dan penjelasan adalah bertepatan jika dikatakan bahawa kemunculan idea geografi sebagai Spatial Sains adalah tepat dalam konteks ketidakrelevanan Geografi Wilayah dalam kajian tentang fenomena geografi dengan alasan bahawa Geografi Wilayah tidak mampu menjawab persoalan sikap ingin tahu manusia tentang ‘kenapa begitu’ terhadap sesuatu fenomena, keterlaluan memberikan huraian serta masalah terbesar tidak saintifik.

Walau bagaimanapun, pengkaji sependapat dengan beberapa ahli geografi yang memberikan pandangan lain tentang konsep Geografi Wilayah dalam konteks teori. Malahan dalam konteks ini juga sebenarnya Shaefer, F. K (1953) tidak menolak konsep Hartshorne. ini jelas melalui pengakuan beliau:

“ Pengkaji tidak begitu optimis dalam kes ahli geografi patut menolak usaha mencari hukum, kepentingan aspek kewilayahan penting mengikut keperluannya sendiri dan mengehadkan dirinya terus kepada penghuraian perkara–perkara tidak perlu.”

Schaefer, F. K. (1953).

Ini dapat menjelaskan bahawa Shaefer sendiri tidak menolak konsep yang diperkenalkan oleh Hartshorne kerana menurut beliau ia adalah penting mengikut pandangan pendukungnya untuk tujuannya sendiri. Pengkaji berpendapat bahawa konsep ini seharusnya diamalkan oleh ahli–ahli geografi dalam usaha mencari satu hukum yang universal dan bukannya saling bersaing kerana ini Turner (2002) menyatakan bahawa persaingan di antara ahli geografi bukan sahaja membawa keburukan kepada geografi itu sendiri tetapi juga mematikan usaha mencari jawapan persoalan–persoalan yang dihadapi.

Manakala Wrigley (1965) berpendapat bahawa geografi tidak boleh membatasi diri dalam menggunakan analisis untuk penelitiannya. Analisis apa pun dapat digunakan asalkan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Malahan beliau menyatakan hal ini dengan alasan bahawa geografi adalah berasaskan kepada masalah yang melihat interaksi hubungan manusia dengan alam sekitar. Apa yang Wrigley tekankan di sini pada pendapat pengkaji ialah pendekatan Geografi Wilayah dan Spatial Sains itu adalah sama–sama baik kerana kedua–dua pendekatan ini mempunyai tujuan yang sama iaitu ke arah mencari jawapan tentang persoalan interaksi manusia dengan alam sekitar.

Demikian juga Stueve (2003) menyatakan pendiriannya yang menyebut bahawa adalah baik kalau kedua–dua paradigma ini disatukan dalam satu kesatuan yang dapat bersama–sama menyelesaikan masalah berkaitan dengan fenomena distribusi spatial. Kesimpulannya, tidak semua ahli geografi menolak atau menerima pendekatan Geografi Wilayah dan Spatial Sains sebaliknya mereka mengambil jalan tengah dalam usaha mencari penyelesaian terhadap persoalan yang bersangkut paut dengan persoalan interaksi manusia dengan hubungannya dengan alam sekitar.

KESIMPULAN

Bermula daripada latar belakang dan melihat debat dan juga pendapat para ahli geografi dari aspek perkaedahan kajian terhadap fenomena sememangnya Geografi Wilayah gagal memberikan apa yang sepatutnya untuk memenuhi keperluan dalam bidang kajian. Dalam pada itu, kerana kegagalan ini maka ketidakrelevanannya telah memberi ruang kepada geografi sebagai Spatial Sains mendominasikan kajian fenomena geografi. Walau bagaimanapun, kemunculan Spatial Sains sebagai pendekatan yang dominan tidak pula mematikan pendekatan Geografi Wilayah malahan kedua–dua pendekatan ini masih seiring dalam usaha mencari penyelesaian tentang persoalan hubungan manusia dengan alam sekitar tetapi mengikut pendekatan masing–masing. Oleh yang demikian, sekiranya dilihat dari aspek teori dan kepentingan geografi itu sendiri pengkaji sependapat dengan Tuner, Wrigler dan Kirk yang mana pertentangan yang berlaku di antara kedua–dua konsep ini dapat mengatasi masalah kajian dalam bidang geografi sekiranya kedua–dua konsep ini digabungkan kerana pengkaji berpendapat bahawa tidak semua fenomena di permukaan bumi dapat dijelaskan dengan menggunakan statistik dan begitu juga terdapat fenomena yang memerlukan penjelasan. Pendek kata, untuk kepentingan bidang geografi itu sendiri maka ahli geografi perlu berubah ke arah geografi integrasi.


Sumber Rujukan

Ackerman, E.A. (1963). Where is research frontier? Annals of the Association of American Geographers 53:429-40

Bintaro, R. dan Surastopo.(1982). Metode Analisa Geografi. Jakarta Barat: Lembaga Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial.

Broek, J.O.M & Webb, W.J. (1968). A Geography of Mankind. New York: McGraw Hill.

David, L. (1975). “Past Time, Present Place; Landscape and Meaning,” Geographical Review, Vol. 65, pp. 1-36

Hartshorne, R.(1959). Perspective on the Nature of Geography. Lancaster, Pennsylvania: Association of American Geographers.

Hartshorne, R.(1939).The Nature of Geography, Lancaster, Pennsylvania: Association of American Geographers.s

Johnston, R. J. (1997).  Geography and Geographers.  Oxford University Press, Inc.  New York, NY 10016.

Johnston, R. J. (1989). Geografi dan Ahli Geografi (Mokhtar Ahmad, Trans.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia. ( Karya asal diterbitkan pada tahun 1945).

Kardono Darmoyuwono(1982). “Pengantar sidang Redaksi.”, dalam Bintaro, R. dan Surastopo.(1982). Metode Analisa Geografi. Jakarta Barat: Lembaga Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial. Hlm. Pengantar sidang redaksi.

Schaefer, F.K.(1953)., dalam Johnston, R.J. (1989). Geografi dan Ahli Geografi (Mokhtar Ahmad, Trans.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia. ( Karya asal diterbitkan pada tahun 1945).

Turner, B. L.  2002.  Contested Identities: Human-Environment Geography and Disciplinary Implications in a Restructuring Academy.  Annals of the Association of American Geographers.  92 (1), pgs. 52-74.

Rujukan Dalam Talian (Online References)

Carl, S. (1925), Dalam University of Aberdeen.(n.d.). The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari http://www.abdn.achronicleuk/~geo337/gg3012/regional.html

Derek, G.(1978). dalam University of Aberdeen.(n.d.). The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari http://www.abdn.achronicleuk/~geo337/gg3012/regional.html

Doyran, M. (2001). Marxism. Diakses dari http://www.mail-archive.com/marxism@lists.panix.com/msg19309.html

George, K. (1946), dalam University of Aberdeen.(n.d.). The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari http://www.abdn.achronicleuk/~geo337/gg3012/regional.html

Harward, L. Gaunthier dan Edward J. Taaffe’(n.d.). Critique of ‘The Development of geographic thought in the United States by Howard. Diakses dari http://www.geog.tamu.edu/~soma/homework_3.doc

John, L. (1955). dalam University of Aberdeen.(n.d.). The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari http://www.abdn.achronicleuk/~geo337/gg3012/regional.html

Kilpinen, J.T.(1996). The Quantitative Revolution. Diakses dari http://www.valpo.edu/geomet/geo/courses/geo466/topics/quant.html

Pattison, W.D. (n.d.). The Four Traditions Of Geography. Diakses dari http://www.ncge.org/publications/journal/classic/fourtraditions.doc )

Rodrigue, C.M. (2002). Four Traditions of Geography. Diakses dari http://www.csulb.edu/~rodrigue/geog140/lectures/4tradgeo.html

Shaefer, F. K. (1953), Dalam University of Aberdeen.(n.d.). The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari http://www.abdn.achronicleuk/~geo337/gg3012/regional.html

Stueve, K. (2003). Hartshorne-Schaefer Debate and Turner. Diakses dari http://geog.tamu.edu/~stueve/GEOG610/Week3Essay.doc

University of Aberdeen. (n.d.) The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari http://www.abdn.ac.uk/~geo337/gg3012/regional.html

William, P.D .(n.d.). The Four Traditions Of Geography. Diakses dari http://www.ncge.org/publications/journal/classic/fourtraditions.doc

Wikipedia.org (2016). Human Geography. Diakses dari https://en.wikipedia.org/wiki/Human_geography

Wooldridge, S. W. (1946), dalam University of Aberdeen.(n.d.). The rise and fall of Regional Geography (chronicle 1920 to chronicle 1960). Diakses dari        http://www.abdn.achronicleuk/~geo337/gg3012/regional.html


Cite this article as: Augustine Towonsing. (July 16, 2016). Pemikiran Geografi: Berakhirnya Dominasi Geografi Wilayah Dan Munculnya Geografi Spatial Sains. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/pemikiran-geografi-berakhirnya-dominasi-geografi-wilayah-dan-munculnya-geografi-spatial-sains/

<< Untuk Tidak Terlepas Info Penting Sila Sertai Telegram Channel >>
[ Education Malaysian Ghost Research ]


LEAVE A COMMENT:

Related Post

The following two tabs change content below.
A member of the UK Geographical Association, the Assistant Afternoon Supervisor of Gurun Secondary School (Kedah, Malaysia), a Geography teacher with 24 years of teaching experience and holds a masters degree in Geography, an outdoor education trainer, an education application developer, an environmental researcher, a photographer, a videographer, a solo paranormal and ghost researcher, as well as the sole founder of Malaysian Ghost Research.

Copyright © 2016 Malaysian Ghost Research. All Rights Reserved.
Information about how to reuse or republish this work may be available at Malaysian Ghost Research Copyright.