Geography Education, Pemikiran Geografi

Penjagaan Alam Sekitar: Cabaran Dan Pengurusan Sisa Pepejal Domestik

Pengenalan

Pengurusan sisa pepejal dan pelupusan  terbuka Sifar Menjelang 2020 secara bersepadu bukan sekadar matlamat tetapi merupakan satu usaha ke arah menguruskan sisa pepejal hasil aktiviti manusia serta menjaga alam sekitar yang tercemar. Penjagaan alam sekitar adalah sangat penting kerana ia merupakan aset penting kepada kesejahteraan hidup manusia.

Cite this article as: Augustine Towonsing. (April 15, 2017). Penjagaan Alam Sekitar: Cabaran Dan Pengurusan Sisa Pepejal Domestik. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/pengurusan-sisa-pepejal-domestik/

Dalam pada itu, Mohammed Fadzli (2000) menegaskan alam ini adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan hidup manusia yang  banyak bergantung pada sumber-sumber semula jadi di muka bumi ini. Allah telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran manusia. Bumi yang luas dijadikan sebagai tempat tinggal kita, gunung-ganang pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Air dengan keanehannya, angin dengan keajaibannya dan langit pula penuh dengan rahsianya.

Oleh yang demikian, jika manusia tidak menguruskan sisa buangan hasil daripada aktiviti harian maka ia akan memudaratkan sumber sedia ada yang membawa ancaman kesejahteraan hidup manusia. Malahan, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa membelanjakan di antara 40 hingga 70% hasil cukai taksiran tahunan bagi tujuan mengutip dan melupuskan sampah.  Di samping itu, PBT juga menghadapi masalah bagi mendapatkan kawasan yang sesuai untuk melupuskan sampah yang semakin banyak dibuang itu.

Pengurusan sisa pepejal domestik memerlukan satu sistem pelupusan sistematik untuk memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.
Pengurusan sisa pepejal domestik memerlukan satu sistem pelupusan sistematik untuk memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

Oleh yang demikian, usaha pelaksanaan pengurusan sisa pepejal bersepadu adalah sangat penting memandangkan statistik pembuangan sampah meningkat setiap tahun yang mana PBT menyatakan setiap individu membuang sisa pepejal 1 kilogram setiap hari (Jaringan Kerajaan Tempatan,1999) Jika semua sampah yang dihasilkan oleh seluruh penduduk dikumpulkan selama 1 bulan sahaja, ia akan memenuhi kira-kira empat buah Menara Kuala Lumpur! Jumlah sampah yang terhasil dijangka terus meningkat bersama-sama dengan pertambahan bilangan penduduk dan cara pembuangan sampah yang tidak terkawal oleh kita semua.

Sebagai kesimpulan, sekiranya tiada usaha bersepadu menguruskan buangan sisa pepejal maka bukan ia membawa masalah pencemaran tetapi juga akan mengganggu kesejahteraan hidup manusia dan untuk itu maka usaha yang telus dan bersepadu diperlukan untuk memastikan supaya alam ini terjaga. 

Isu pencemaran sisa pepejal

Usaha menjadikan Malaysia sebagai negara bersih pada tahun 2020 melalui kempen “Malaysia Segar” ke arah Matlamat Pelupusan Terbuka Sifar menjelang 2020 dan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu merupakan suatu usaha yang murni bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia.

Dalam pada itu, kesedaran terhadap kualiti air yang menurun pada kadar 0.9 peratus pada tahun 1994 merupakan satu contoh kesan pencemaran air akibat daripada pengurusan sisa pepejal yang tidak konsisten. Sehubungan dengan itu, pencemaran sungai yang kian teruk yang melibatkan 116 batang sungai di seluruh negara merupakan bukti bahawa tahap pencemaran akibat daripada pembuangan sisa pepejal di negara ini memerlukan perhatian (Mingguan Malaysia, 3 Ogos 1997). Walau bagaimanapun, bilangan sungai tercemar telah menurun dan menurut Malaysian Digest (2016) menyatakan masih terdapat 43 batang sungai di Malaysia yang kebanyakkan di kawasan bandar masih tercemar. Demikian juga kawasan peranginan kawasan air terjun seperti Air Terjun Parit di Cameron Highland turut tercemar dengan sisa pepejal seperti sampah menyebabkan air menjadi busuk akibat daripada pembuangan sisa pepejal dari Kampung Taman Sedia yang tidak mempunyai sistem pembetungan yang sempurna menyebabkan air terjun tercemar teruk (Jegathesan, M., 25 Ogos 1995) yang berpunca daripada sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab (Stuivenberg, 2010). Demikian juga Hutan Lipur Sungai Tua di Ulu Yam yang dicemari dengan bahan sisa buangan domestik daripada pengunjung (Stuart Micheal, 2017) yang tidak bertanggungjawab.

Lanjutan daripada itu, pencemaran yang berlaku  ke atas sungai di negara ini berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sistematik yang mana berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan menunjukkan sebahagian besar ladang ternakan khinzir di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan tidak mempunyai sistem pengurusan sisa (najis khinzir). Dalam kajian mendapati 95% daripada ladang ternakan ini tidak mempunyai sistem pengurusan sisa yang efektif sebaliknya terus menyalurkan bahan buangan sisa terus ke dalam sungai (Mingguan Malaysia, 3 Ogos 1997).

Tidak cukup dengan masalah pencemaran sisa ke dalam sungai, penduduk Kepong pula gelisah akibat keputusan Dewan Bandar raya Kuala Lumpur memutuskan untuk menjadikan kawasan seluas empat hektar di Taman Beringin sebagai tapak pelupusan baru (Raymond Teing, 21 May 1998).  Sehubungan dengan itu, pencemaran bauksit dari kawasan lombong bauksit di Kuantan, Pahang juga merupakan isu pencemaran air terhadap sumber air minuman di Pahang (Jonathan Edward, 2016).

Sebagai kesimpulan, isu pencemaran yang dinyatakan di atas adalah sebahagian daripada isu pencemaran sisa pepejal yang dihadapi oleh penduduk negara ini dan hal ini memperkuatkan lagi keperluan pengurusan sisa pepejal yang mantap.  Oleh itu, langkah-langkah tertentu diperlukan untuk memastikan masalah ini dapat diatasi bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia.

Malaysia Segar : Langkah Ke Arah Matlamat Pelupusan Terbuka Sifar Menjelang 2020 dan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu

Untuk mencapai matlamat ini maka langkah drastik diperlukan untuk menentukan agar kesejahteraan hidup manusia terjamin melalui beberapa langkah mengikut peranan kerajaan, agensi swasta dan juga individu:

Peranan Kerajaan

Saya berpendapat peranan kerajaan dalam soal pengurusan sisa pepejal adalah yang paling utama kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa membuat keputusan terhadap sebarang isu termasuklah masalah pengurusan sisa pepejal. Maka untuk ini, peranan kerajaan dalam usaha mencapai matlamat yang dinyatakan adalah seperti berikut:-

Melakukan Pemantauan Ke Atas Badan Yang Dipertanggungjawabkan

Peranan kerajaan melakukan pemantauan ke atas agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang adalah sangat perlu khasnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya sentiasa peka terhadap pembuangan sisa pepejal yang boleh menghasilkan toksik. Pemantauan adalah perlu untuk mengelakkan sikap sambil lewa kakitangan berkenaan seperti kejadian seorang krew media tempatan yang terhidu gas sisa toksik yang membawa kepada kelumpuhan dan tindakan kakitangan JAS yang melakukan pemeriksaan ke kawasan pelupusan berkenaan tanpa pakaian pelindung keselamatan seharusnya tidak berlaku (Amlir Ayat, 22 Disember 2000). Oleh yang demikian, maka adalah perlu kerajaan sentiasa memastikan supaya agensi yang bersangkutan menentukan aspek keselamatan dan juga aspek pemeriksaan sentiasa dipatuhi oleh agensi yang terlibat.

Memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menguruskan sisa pepejal

Penyerahan semula kuasa mengurus sisa pepejal kepada PBT adalah perlu memandangkan masalah yang berlaku sekarang masih tetap serupa semasa PBT menguruskan sisa pepejal berkenaan. Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diwakili oleh Norizan Sharif menyatakan masalah pengurusan sisa pepejal yang telah diswastakan tidak mengalami perubahan malahan beliau berpendapat matlamat kerajaan untuk menswastakan pengurusan sisa pepejal telah gagal (Norizan Sharif, 2003 di dalam Utusan Malaysia, 19 Februari 2003). Sebagai kesimpulan, pengurusan sisa pepejal memerlukan pengurusan yang mantap. Untuk itu, kerajaan perlu menetapkan garis panduan untuk agensi terlibat menguruskan sisa pepejal.

Melaksanakan standard kualiti Pengurusan Sisa Pepejal

Untuk memastikan matlamat kerajaan tercapai sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan standard kualiti pengurusan sisa pepejal untuk memastikan pengurusan sisa pepejal berjalan dengan sempurna. Kaedah ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana budaya kerja seumpama ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan tempatan iaitu Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Sarawak yang telah memperkenalkan prosedur penting dalam pengurusan sisa pepejal dengan memperkenalkan MS ISO 9002:1994 yang bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan mengikut standard yang telah ditetapkan (Majlis Dearah Dalat dan Mukah, 1994). Pelaksanaan standard kualiti dalam pengurusan sisa pepejal dapat memastikan supaya pengurusan sisa pepejal berjalan dengan baik.

Menyediakan Lebih Banyak Tong Kitar Semula

Kelemahan yang masih ketara pada masa ini ialah kekurangan tong kitar semula untuk memudahkan penduduk setempat membantu pihak berkuasa untuk mengitar semula. Sebagai contoh, pembuangan kertas dan botol minuman merata-rata telah meningkatkan kos pembersihan dan pelupusan sampah yang merugikan.

Oleh yang demikian, sewajarnya tong-tong kitar semula diwujudkan di mana-mana khususnya bangunan-bangunan pejabat, restoran dan pusat komersil untuk pembuangan kertas, botol, tin aluminium dan sebagainya supaya bahan-bahan tersebut diproses selain dikeluarkan semula bagi tujuan penggunaan industri sekaligus merendahkan keperluan pembersihan dan pelupusan. Dari segi yang lain, ia juga dapat mengurangkan pencemaran berbahaya terhadap alam sekitar lantaran kemungkinan sampah sarap tersebut mengandungi bahan-bahan yang berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan. Antara bahan-bahan yang telah dikategorikan sebagai sangat berbahaya adalah asbestos, karbon, radioaktif dan lain-lain lagi (Kamarul Rashdan Salleh, 2003).

Di samping itu juga, keputusan Alam Flora menyediakan tong Sampah percuma di setiap rumah merupakan langkah bijak yang bukan sahaja memudahkan pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik tetapi juga dapat memudahkan penduduk mengumpul sisa pepejal sebelum dihantar untuk dilupuskan (Berita Harian, 2 Mei 1999).

Mengurangkan Pengeluaran Plastik

Sisa pepejal yang paling kerap ditemui ialah plastik. Oleh yang demikian, penggunaan plastik dalam industri makanan dan sebagai bakul di pusat-pusat membeli – belah telah menyebabkan pertambahan sampah sarap, tambahan pula plastik dalam kegunaan harian kita memakan masa di antara 10 hingga 1,000 tahun untuk reput (LeBlanc, R., 2017).

Oleh yang demikian, cadangan pengurangan penggunaan plastik dapat mengurangkan sisa pepejal yang mana penggunaan plastik sebenarnya boleh diganti dengan bakul kertas. selain daripada itu, pengurangan penggunaan plastik juga dapat mengurangkan penggunaan minyak petroleum untuk tujuan penghasilan plastik (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, 2000) tambahan pula penggunaan petroleum untuk menghasilkan plastik akan menjejaskan bekalan petroleum. Langkah drastik Negeri Selangor tidak membenarkan penggunaan bagi plastik bermula pada tahun 2017 (FreeMalaysiaToday, 2016) merupakan satu langkah bijak menanggani masalah pencemaran sisa pepejal.

Penggunaan Teknologi Moden Dalam Pelupusan Sisa Pepejal

Penggunaan teknologi pelupusan sisa pepejal juga merupakan satu usaha untuk mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal. Untuk itu, penggunaan teknologi insinerator untuk mengatasi masalah sisa pepejal serta teknologi gasifikasi dan peleburan abu dianggap sebagai teknologi terkini dan paling selamat menguruskan sisa pepejal (Asuki Abas, 4 September 2003; Jaringan Kerajaan Tempatan, 1999; Fuad Hadinata Yaacob, n.d.; Laupa Junus, 2003).

Selain daripada itu, dengan adanya teknologi baru ini, masalah berkaitan pencemaran alam sekitar yang sering dihadapi dalam pengurusan sisa pepejal, khususnya di tapak-tapak pelupusan akan dapat diatasi. Antara masalah tersebut ialah bau busuk, pencemaran air bawah tanah disebabkan ‘leachate’  dan pembiakan makhluk pembawa penyakit seperti tikus dan lalat yang sering dikaitkan dengan kekotoran. Penggunaan teknologi ini juga sudah pasti dapat meningkatkan tahap pengurusan sisa pepejal di negara ini.

Jadual 3.0: Jenis teknologi moden untuk tujuan pelupusan sisa pepejal.
Nama Teknologi
CIRI
SISTEM
THERMAL
OXIDATION
PLANT (TOP)
PLASMA PYROLISIS
VITRIFICATION
(PPV)
INCINERATOR
Proses
Pembakaran
Dua peringkat.
Boleh membakar
sisa organik dalam
bentuk pepejal,
enapcemar dan
cecair kepada gas
dan abu lengai.
Pembakaran pada suhu
15,000oC menggunakan
‘plasma arc’. Sisa
ditukarkan menjadi gas
dan abu.
Pembakaran berasaskan
diesel. Loji boleh
dilengkapi dengan sistem
pengeringan sisa
sebelum pembakaran dan
pusat rawatan kumbahan
untuk merawat
‘leachate’.
KelebihanMampu
mengurangkan sisa
sehingga 95-100%.
Tidak
menghasilkan asap
hitam, bau & bunyi
bising serta
mematuhi
peraturan alam
sekitar.
Mampu mengurangkan
sisa sehingga 98-100%.
Mampu mengurangkan
sisa sehingga 96-100%.
Kapasiti
& Kos
Kos pembinaan
loji berkapasiti 50
tan : RM 12 juta.
Kos rawatan sisa :
RM 7.50 - RM 50
/tan.
Kos pembinaan sangat
tinggi. Kos rawatan sisa
dianggarkan
RM160/tan.
-
KesesuaianSesuai untuk PBT
yang kecil kerana
beroperasi secara
automatik dan
tidak memerlukan
pekerja
berkemahiran
tinggi untuk
beroperasi.
Memerlukan kakitangan
profesional untuk
mengendalikan loji.
Memerlukan operator
mahir dan separuh mahir
untuk mengendalikan
loji.
Hasil
Sampingan
Abu lengai untuk
membuat perekat
bahan konkrit,
baja & blok
penahan hakisan.
‘Slag’ untuk dijadikan
bata, jubin dan asas
untuk pembinaan jalan
raya. Rawatan lanjut
menghasilkan bahan api
metanol cecair dan
tenaga elektrik.
Boleh menghasilkan
tenaga elektrik. 13%
tenaga elektrik
dihasilkan boleh
digunakan semula oleh
loji dan selebihnya boleh
dijual.
Di mana
teknologi
sedang
digunakan
Amerika Syarikat.
Loji perintis di
Bangi, Selangor.
Jepun, Amerika
Syarikat, Kanada, India
dan Sweden.
Kebanyakannya untuk
merawat sisa toksik.
Jepun, Korea, Taiwan
dan Singapura.
Sumber: Disesuaikan daripada Jaringan Kerajaan Tempatan, 1999.

Memperketatkan Kajian Kesan Pembangunan Ke Atas Alam   Sekitar Dan   Memperbanyakkan Program Pendidikan Kitar Semula

Kesedaran tentang penjagaan alam sekitar adalah sangat penting yang mana pengetahuan yang tinggi tentang kesan aktiviti tertentu terhadap persekitaran dapat membantu manusia menguruskan sumber alam dengan lebih berkesan. Untuk mencapai matlamat, program kitar semula perlu mempunyai kumpulan sasaran yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan tentang alam sekitar tetapi juga meningkatkan kemahiran menguruskan alam sekitar (Caneer, 1997)

Pendidikan formal dan informal, melalui latihan teknik, media massa dan badan-badan pertubuhan bukan Kerajaan serta kumpulan penduduk memainkan peranan yang semakin penting dalam proses melahirkan kesedaran alam sekitar di negara ini (PM Office, 2004) yang memperlihatkan pentingnya peranan NGO dan badan-badan kerajaan.

Selain daripada itu, Program Pendidikan Kitar Semula juga adalah sangat penting untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada penduduk bagaimana menguruskan sendiri bahan buangan atau sisa pepejal di rumah dan pejabat. Kesan pendidikan ini telah membawa kesan positif dan menurut Roy Ballantyne (2003) menyatakan bahawa satu kajian ke atas pelajar, guru dan ibu bapa di Poland dalam satu kajian kesan program pendidikan kitar semula telah memberi kesan positif di mana ¾ daripada peserta program meneruskan program kitar semula di rumah yang memperlihatkan bahawa program seumpamanya dapat membawa impak kepada kesedaran dan pengetahuan penduduk tentang pengurusan sisa pepejal.

Masalah pencemaran berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Tetapi, punca masalah bukan disebabkan oleh masalah sisa buangan tetapi berpunca di peringkat akar umbi pemikiran manusia sebagai manusia ekonomi.

Peranan mata pelajaran geografi sebagai asas pemikiran aliran geografi melalui kajian alam sekitar sangat penting menentukan hala tuju kelestarian alam sekitar dan sebagai asas pengurusan sisa pepejal domestik.
Peranan mata pelajaran geografi sebagai asas pemikiran aliran geografi melalui kajian alam sekitar sangat penting menentukan hala tuju kelestarian alam sekitar dan sebagai asas pengurusan sisa pepejal domestik.

Hilangnya perkataan ‘geografi’ dalam pemikiran manusia sebagai manusia geografi ekonomi kepada manusia ekonomi menyebabkan kesedaran manusia ekonomi terhadap istliah kelestarian alam semakin pudar kerana pemikiran ekonomi hanya memikirkan kaedah memaksimumkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kelestarian alam.

Geografi mampu mengubah aliran pemikiran manusia ekonomi kepada pemikiran geografi ekonomi jika mata pelajaran geografi dijadikan sebagai tunjang pembangunan negara seperti yang dilaksanakan oleh negara Indonesia yang menjadikan geografi sebagai salah satu penentu hala tuju pembangunan negara (Kardono Darmoyuwono, 1982). Ini bermaksud, ilmu geografi perlu dijadikan sebagai mata pelajaran teras sekaligus menjadi landasan pemikiran generasi muda ke arah kelestarian alam.

Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)

Peranan pengurusan sisa pepejal bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab semua pihak khasnya pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk jabatan-jabatan kerajaan. Peranan berkenaan adalah seperti berikut:-

Mengitar Semula Bahan Buangan Dalam Syarikat

Kitar Semula di syarikat-syarikat komersial adalah penting kerana syarikat-syarikat ini merupakan penyumbang utama daripada jumlah sisa buangan. Operasi yang dijalankan oleh syarikat-syarikat dan industri menghasilkan banyak barangan yang boleh dikitar semula seperti daripada kafeteria, stor, gudang simpanan barang, kedai-kedai pencetak dan tempat-tempat penerbitan. Pengumpulan barang-barang untuk dikitar semula memerlukan satu peruntukan kewangan tetapi pada masa yang sama dapat mengurangkan jumlah sampah yang harus dilupuskan. Penjualan barang-barang yang dikitar semula dapat memberi pulangan hasil yang dapat menampung kos kitar semula.

Menganjurkan Hari Kitar Semula

Peranan badan-badan bukan kerajaan serta jabatan-jabatan kerajaan terhadap aktiviti ini sebenarnya dapat membantu orang ramai menyedari perlunya penjagaan alam sekitar dengan mengitar semula sisa pepejal yang tidak diperlukan. Melalui aktiviti ini NGO dan badan-badan kerajaan bukan sahaja dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang perlunya penjagaan alam sekitar tetapi juga dapat mengurangkan pencemaran fizikal yang dikaitkan dengan sampah-sarap (Kitar Semula, 2001).

Sebagai kesimpulan, peranan NGO dan badan-badan kerajaan yang lain dalam usaha memperkenalkan kempen kitar semula kepada penduduk setempat adalah sangat penting sebagai organisasi pemangkin kesejahteraan negara.

Peranan Individu Dan Masyarakat Setempat

Peranan mengurus sisa pepejal sebenarnya bermula di rumah serta ahli masyarakat setempat. Peranan positif individu dalam masyarakat dapat memberikan kesan positif terhadap keberkesanan pengurusan sisa pepejal yang dapat dilihat seperti berikut:-

Program Kitar Semula Di Rumah

Amalan kitar semula di rumah merupakan amalan yang penting yang dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal. Amalan ini penting kerana tidak semua sisa buangan di rumah tidak boleh dikitar semula. Malahan individu di rumah boleh melaksanakan kaedah  – kaedah berikut untuk mengitar semula:

Amalan Hijau Membeli-Belah

Amalan hijau semasa membeli belah adalah sangat penting bagi memastikan sisa buangan dapat dikurangkan  di mana amalan tersebut termasuklah:-

Merancang Destinasi Semasa Pergi Membeli-Belah

Amalan merancang destinasi semasa membeli-belah sangat penting dengan meletakkan kenderaan pada jarak yang tidak begitu jauh di antara tempat membeli-belah yang dapat mengurangkan kos (Bulletin Perlindungan Pengguna, 2000). 

Merancang Barangan Yang Hendak Dibeli

Amalan ini penting untuk memastikan pengguna tidak membeli barangan tidak perlu yang akhirnya akan menambah bahan buangan  (Buletin Perlindungan Pengguna, 2000). Selain daripada itu, pengguna rumah perlu mengamalkan amalan membeli barangan yang boleh dicas semula seperti bateri boleh cas untuk kegunaan lampu suluh dan sebagainya.

Membawa Beg Sendiri Semasa Membeli-belah

Membawa beg sendiri dapat mengurangkan penggunaan beg plastik yang menambahkan bahan buangan plastik  (Buletin Perlindungan Pengguna, 2000 ; Uniworld, 2004). Selain daripada, amalan membawa tempat pengisi makanan semasa membeli makanan siap juga dapat membantu mengurangkan sisa buangan di rumah.

Membuang Sampah Pada Tempat Yang Betul

Amalan membuang sampah di merata tempat merupakan perbuatan yang harus dielak kerana budaya ini akan menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengutip semula sampah malahan sampah-sarap yang tidak dimasukkan ke dalam tong yang disediakan boleh dialihkan oleh aliran air permukaan seterusnya dipindahkan ke sungai dan laut yang akan membawa kesan negatif terhadap hidupan akuatik.  Sikap tidak prihatin ini sebenarnya sering menjadi punca terhadap pencemaran alam sekitar (Mohd. Rizuan Mohamad, 2004). Oleh yang demikian, pengguna harus mempunyai rasa tanggungjawab meletakkan sisa pepejal mengikut tong yang ditetapkan untuk tujuan kitar semula (Uniworld, 2004).

Pembuangan sampah di merata tempat merupakan punca utama pencemaran sistem saliran sungai dan menjadi cabaran dalam pengurusan sisa domestik.
Pembuangan sampah di merata tempat merupakan punca utama pencemaran sistem saliran sungai dan menjadi cabaran dalam pengurusan sisa domestik.

Pendidikan dan sikap rasa tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat adalah sangat penting bagi menentukan kebersihan sentiasa terjaga di mana sikap ini penting menentukan tindakan terhadap tanggungjawab terhadap pengurusan sampah (Utusan Pengguna, Mei-Jun 2004; Uniworld, 2004; Stephen Bugu, 1998).

Kesimpulan

Alam sekitar adalah tempat tinggal yang dikongsi oleh manusia dan juga hidupan lain tetapi kesedaran masyarakat umum terhadap penjagaan alam sekitar masih sangat rendah (Mohd. Ridzuan Mohamad, 2004). Malahan, terdapat 4.6% penduduk luar bandar dan 4% penduduk bandar masih menganggap sungai merupakan tempat buangan sisa kumbahan (Sikap Menentukan Tindakan, Mei-Jun 2004) dan kesan daripada pembuangan sampah sarap ke dalam sungai terpaksa memakan kos pembersihan yang sangat tinggi seperti Sungai Pinang di Pulau Pinang yang memerlukan kos RM50 juta (Ahmad Syahir Kassim, 3 Mac, 2003) yang mana sepatutnya peruntukan berkenaan boleh disalurkan kepada keperluan lain.  Keadaan ini sebenarnya membawa kesan yang negatif ke atas alam sekitar dalam masa jangka panjang. Oleh yang demikian, jika kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk menguruskan sisa pepejal tetapi tahap kesedaran penduduk terhadap kepentingan tanggungjawab individu dalam usaha ini akan menyebabkan matlamat ke arah pelupusan terbuka sifar menjelang 2020 dan pengurusan sisa pepejal bersepadu tidak akan tercapai. Kajian menunjukkan bahawa golongan muda tertarik kepada keunikan alam sekitar tetapi masih ramai yang tidak mengetahui tentang perubahan alam sekitar akibat tindakan manusia (Domka, 1997) malahan dinyatakan juga bahawa tahap pengetahuan golongan muda dan kanak-kanak terhadap alam sekitar tidak sempurna atau mempunyai kefahaman yang salah yang bergantung kepada kawasan (Domka, 2001; Mirowski, 1999). Maka untuk itu, pelan pendidikan secara formal berkaitan dengan pendidikan kitar semula dan pendidikan alam sekitar boleh dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kefahaman masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar atau di kawasan kejiranan  kita akan bertukar menjadi kawasan pembuangan sampah seperti yang berlaku pada bandar Karachi, Pakistan yang bertukar menjadi ‘tong sampah’ (The Star Online, 2017).

Cite this article as: Augustine Towonsing. (April 15, 2017). Penjagaan Alam Sekitar: Cabaran Dan Pengurusan Sisa Pepejal Domestik. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/pengurusan-sisa-pepejal-domestik/

SUMBER RUJUKAN

Ahmad Syahir Kassim. (3 Mac 2003). “RM50j bersih Sungai Pinang.” Utusan Malaysia, Kuala Lumpur.

Alam Flora Sediakan Tong Percuma. (5 Februari 1999). Berita Harian, Kuala Lumpur.

Amlir Ayat. (22 Disember 2000). “Tangani ancaman pembuang toksik secara telus.”Utusan Malaysia, Kuala Lumpur.

Asuki Abas. (4 September 2003). “Cara terbaik lupus sampah”. Utusan Malaysia, Kuala Lumpur.

Bulletin Perlindungan Pengguna.(2000) Amalan Hijau Membeli-belah. Bulletin Perlindungan Pengguna Bil 5/2000. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Malaysia dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Pengguna (WP) Kuala Lumpur.

Caneer, B. (1997). What recycling means to me? Survey at the Marshall Space Flight Center. Diperolehi dari http://www.recyle.mcfc.nasa.gov/survey/survey.html

Domka, L. (2001). Programme effectiveness in facilatating intergenerational influence in invironmental education: Lessons from the field. Journal of Environmental Education 33(3), 8-15.

Domka, L. (1997). Relationship between environmental knowledge and environmetal attitude of young students. Journal of Environmental Education 33(3), 17-21.

Fuad Hadinata Yaacob. (n.d.). Insenarator Kaedah Terbaik. Diperolehi dari http://members.tripod.com/smeh/geinsenarator.htm

FreeMalaysiaToday. (2016). Selangor to ban retail use of plastic bags in 2017. Diperolehi dari http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2016/12/21/selangor-to-ban-retail-use-of-plastic-bags-in-2017/

Malaysian Digest. (2016). “ 43 Rivers In Malaysia Polluted, Says Minister”. Diperolehi dari http://malaysiandigest.com/news/613026-43-rivers-in-malaysia-polluted-says-minister.html

Mohammed Fadzli. (Mei 2000). “Individu dan alam sekitar”. Bulletin Perlindungan Pengguna. BIL 5/2000.  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Malaysia dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Pengguna (WP) Kuala Lumpur.

Jagethesan, M. (25 Ogos 1995). “Pencemaran Sungai Di Cameron Highlands.” Utusan Malaysia, Kuala Lumpur.

Jaringan Kerajaan Tempatan. (1999). “Fakta-Fakta Asas Pengurusan Sisa Pepejal Di Kawasan Pihak berkuasa Tempatan.”Jaringan Kerajaan Tempatan Terbitan Dwi Tahunan Bil. 1/99. Kuala Lumpur.

Jonathan Edward. (2016). Bauxite mining polluting Pahang’s drinking water, scientist warns. Diperolehi dari http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/bauxite-mining-polluting-pahangs-drinking-water-scientist-warns

Kamarul Rashdan Salleh. (2003). Menilai Pembangunan Mapan Di Malaysia. Diperolehi dari http://www.umno-reform.com/dis03/kamarul02122003.htm

Kardono Darmoyuwono. (1982). Pengantar Sidang Redaksi. Dalam R. Bintaro, dan Surastopo. (Eds.), Metode Analisa Geografi. Jakarta Barat: Lembaga Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. (2000). Kurangkan Penggunaan Plastik. Diperolehi dari  http://www.kpdnhq.gov.my/homepage/hep/BPD/5_2000/5_2000_7.htm

Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan. (n.d.). “Program Kitar Semula”. Diperolehi dari http://www.kpkt.gov.my/jkt/asset_jkt/Kitarsemula.htm

Kitar Semula. (n.d.). Kitar semula di pejabat. Diperolehi dari http://www.kitarsemula.com/Malay/AtWork_m.asp

Kitar Semula. (2001). Hari Kitar Semula Peringkat Kebangsaan. Diperolehi pada  Web http://www.kitarsemula.com/Malay/NationalDay_m.asp

Laupa Junus. (20 Februari, 2003). “Musnahkan dioksin sampah melalui insinerator.” Utusan Malaysia, Kuala Lumpur.

LeBlanc, R. (2017). How Long does It Take Garbage to Decompose? Diperolehi dari https://www.thebalance.com/how-long-does-it-take-garbage-to-decompose-2878033

Majlis Daerah Dalat dan Mukah. (1994). Prosedur Penting: Pengurusan Sisa-sisa Pepejal. Diperolehi dari http://www.moeswk.gov.my/mukahdalat/prosedur.html

Mirowski, P. (1999). Factors influencing children’s environmental alltitudes. Journal of Environmental Education 30 (4), 33.

Mohd. Ridzuan Mohamad. (2004). Selamatkan Sungai Kita. Utusan Pengguna Jil. 27 Bil. 12, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pulau Pinang.

Najis Khinzir Antara Punca Pencemaran. (3 Ogos 1997). Mingguan Malaysia, Kuala Lumpur.

Norizan Sharif. (2003), di dalam Utusan Malaysia. (19 Februari 2003). “MBM: Serah Kembali Pengurusan Kutipan Sampah kepada PBT.”, Kuala Lumpur.

Pencemaran Sungai Kian Kritikal. (3 Ogos 1997). Mingguan Malaysia, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Office. (2004). Rancangan Malaysia: Rancangan Malaysia Ke Lima (RML). Diperolehi dari http://www.pmo.gov.my/RancanganWeb/Rancangan.nsf/0/d9e50d5989e150274825674b00335215?OpenDocument

Raymond Teing. (21 Mei 1998). “Sampah: Penduduk Kepong Gelisah.”. Utusan Malaysia, Kuala Lumpur.

Roy Ballantyne. (2003). Evaluating the impact o fa school Waste Education Programme upon student’s, parents’ and teachers’ Environmental knowledge, attitudes and behaviour. International Research In Geographical and Environmetal Education Vol. 12:2, 2003, Channel View Books.

Sikap Menentukan Tindakan. (Mei-Jun, 2004). Utusan Pengguna Jil. 27(12). Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Stephen Bugu. (1998). Do Attitudes Matter?: Waste Disposal and Wetland Pollution in the Cape Coast Municipality of Ghana. Malaysian Journal of Tropical Geography, 29(2):69-81, Jabatan Geografi Universiti Malaya.

Stuivenberg, J. (2010). Most Polluted Waterfall in Malaysia. Diperolehi dari  http://waterfallsurvivors.blogspot.my/2010/06/most-polluted-waterfall-in-malaysia.html

Stewart Micheal. (2017). Stinking attitude pollutes forest parks. Diperolehi dari http://www.thestar.com.my/metro/community/2017/03/29/stinking-attitude-pollutes-forest-parks-littering-habit-results-in-sorry-state-of-affairs-at-recreat/

The Star Online. (2017). Karachi turning into ‘rubbish bin’. Diperolehi dari http://www.thestar.com.my/news/regional/2017/03/06/karachi-turning-into-rubbish-bin-pakistans-financial-capital-struggling-to-cope-with-waste-managemen/

Uniworld. (2004). Sampah di sana-sini. Diperolehi dari http://uniworld2.tripod.com/Grn/Archive/B003.html


Cite this article as: Augustine Towonsing. (April 15, 2017). Penjagaan Alam Sekitar: Cabaran Dan Pengurusan Sisa Pepejal Domestik. Retrieved from https://www.malaysian-ghost-research.org/pengurusan-sisa-pepejal-domestik/
The following two tabs change content below.
A member of the UK Geographical Association, the Assistant Afternoon Supervisor of Gurun Secondary School (Kedah, Malaysia), a Geography teacher with 23 years of teaching experience and holds a masters degree in Geography, an outdoor education trainer, an education application developer, an environmental researcher, a photographer, a videographer, a solo paranormal and ghost researcher, as well as the sole founder of Malaysian Ghost Research.

Copyright © 2017 Malaysian Ghost Research. All Rights Reserved.
Information about how to reuse or republish this work may be available at Malaysian Ghost Research Copyright.

Loading Facebook Comments ...

Leave a Comment